Politik & Negara 05 Oct, 2023

Akta Pendanaan Politik: Percepat proses penggubalan! Bagi jamin ketelusan, tingkatkan kepercayaan awam!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap Kerajaan hari ini mempercepat proses untuk menggubal Rang Undang-Undang Pendanaan Politik bagi menjamin ketelusan dan meningkatkan kepercayaan awam terhadap ahli politik. 

Ahli Parlimen Bera itu berkata, proses untuk merangka undang-undang tersebut telah bermula ketika beliau menerajui Kerajaan sebelum ini. 
Katanya, Akta Pendanaan Politik amat penting bagi membolehkan parti politik mengumpul dana secara sah dengan setiap sumbangan diisytiharkan dan tidak dianggap sebagai satu kesalahan jenayah. 
"Isu dana politik ini penting. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat untuk bertanding, mereka mengumpul dana bagi membantu parti mereka bertanding tetapi di Malaysia  agak sukar sebab kita tidak ada akta untuk mengumpul dana. 
"Agak membahayakan kepada parti politik pada sekarang ini. Parti politik tidak boleh berniaga, tidak boleh ada anak syarikat. Kalau tidak boleh berniaga mana parti hendak dapat duit. 
"Kalau UMNO, (kutip) RM1 seorang (ahli) untuk sekali seumur hidup. Dengan RM1 macam mana UMNO ada dana untuk membantu parti bergerak dan menempuh pilihan raya, jadi tentu perlu mendapat sumbangan daripada mana-mana pihak," katanya. 


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Integriti dan Tatakelola Kebangsaan 2023 Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) di Kota Kinabalu pada 4 Oktober 2023. 
Turut hadir, Pengerusi ADFIM, Izwan Zainuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB); Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Arshad Mohamad Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Credit Corporation, George Taitim Tulas. 
Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan Kerajaan untuk memperkenal Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta.
"Saya juga menyambut baik komitmen Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan Pelan Integriti Nasional dan memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam sebagai panduan urus tadbir bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta. 
"Kalau boleh semua tadi (Akta Pendanaan Politik dan Akta Tatakelola Sektor Awam), kita minta (kerajaan) percepat, sekarang banyak benda tidak ada dalam akta," katanya. 
Sementara itu ketika berucap, beliau mencadangkan supaya sebuah badan pengawasan bebas ditubuhkan dan diberi kuasa untuk melaksanakan audit dan semakan berkala terhadap tingkah laku pegawai awam khususnya ahli politik, memastikan mereka mematuhi standard yang telah dipersetujui dan diterima umum. 
"Badan ini dianggotai individu-individu yang mempunyai watak yang tidak tercalar dan kelayakan yang tidak dapat dipertikai.
"Mereka juga harus mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan pembetulan, termasuk mengesyorkan tindakan disiplin, dalam kes di mana standard ini dilanggar," katanya. 


Pada masa yang sama, Ismail Sabri juga meminta kerajaan memberikan fokus kepada kepentingan rakyat terutama golongan miskin dan negeri-negeri kurang membangun dalam Belanjawan 2024. 
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kedua-dua perkara tersebut amat penting bagi memastikan nasib rakyat terus terbela. 
"Saya harap Belanjawan 2024 memberikan fokus kepada kepentingan rakyat terutama rakyat miskin dan negeri-negeri yang memerlukan dana untuk pembangunan seperti Sabah dan Sarawak. 
"Kita ada isu sekolah daif...  memang daif, boleh runtuh sesetengah sekolah itu, cikgu-cikgu yang mengajar tidak ada tempat tinggal terpaksa menyewa jauh. 
"Saya difahamkan di Sabah dan Sarawak juga, klinik desa tidak terurus dengan baik. Jadi, kita harap yang lebih banyak menyentuh rakyat dalam Belanjawan 2024," katanya. 
Belanjawan 2024 akan dibentang di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, 13 Oktober 2023. - KitaReporters/Kenyataan Media
20
13
0
5
0
You will be interested