
Malaysia naik 19 anak tangga ke kedudukan ke-88 menerusi data dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF), menurut laporan terkini Indeks Kebebasan Media Dunia.
Indeks negara kini mencatatkan 56.09 mata pada tahun 2025 ini, yang menunjukkan peningkatan berbanding kemerosotan 2024 apabila menjunam 34 anak tangga kepada kedudukan 107 dengan 52.07 mata.
Ranking terbaik pernah dicapai oleh negara ialah di tangga ke-73 pada tahun 2023.
Meskipun meningkat, RSF kekal mengkategorikan landskap media Malaysia sebagai berada dalam ‘situasi bermasalah’.

Di ASEAN, Malaysia kekal di belakang Thailand di kedudukan ke-85, namun mengatasi Brunei (97), Filipina (116), Singapura (123), Indonesia (127), Laos (150), Kemboja (161), Myanmar (169), dan Vietnam (173).
Februari 2025 lalu, kerajaan memperkenal kod etika kewartawanan untuk menangani cabaran media sosial.
Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia (MMM) diluluskan di Parlimen pada Mac 2025, membuka laluan kepada sebuah badan bebas untuk menyelia media.
Dalam pada itu, RSF dan pemerhati lain masih menggesa Malaysia memansuhkan undang-undang era kolonia seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Indeks Kebebasan Media Dunia menilai kebebasan media melibatkan 180 negara berdasarkan faktor seperti konteks politik, rangka kerja undang-undang, kebebasan media, ketelusan, dan keselamatan wartawan. - KitaReporters/Kenyataan Media
