Sebagai usaha mengurangkan ketegangan berterusan di sempaan Kemboja-Thailand, Malaysia menyarankan kepada kedua-negara berbalah agar tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa pada jam 10.00 malam, 13 Disember 2025 (UTC+7) ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengadakan perbincangan menerusi telefon mengenai ketegangan berterusan di sempadan Kemboja-Thailand.
"Susulan perbincangan itu, saya dengan telah mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
"Dalam perbincangan tersebut, saya menyuarakan kebimbangan serius Malaysia serta menggesa kedua-dua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan, dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut,
"Ini termasuklah penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa pada jam 10.00 malam, 13 Disember 2025 (UTC+7)," jelas beliau.

Sebelum ini, satu gencatan senjata tanpa syarat telah dicapai pada 28 Julai 2025 di Kuala Lumpur, Malaysia, dengan bantuan kerajaan Malaysia. Perjanjian ini juga dikenali sebagai Kuala Lumpur Peace Accord (Perjanjian Damai Kuala Lumpur).
Namun, pertempuran kembali tercetus pada Disember 2025 selepas Thailand menuduh Kemboja melanggar perjanjian asal menerusi insiden periuk api dan serangan ketenteraan.
Menurut Anwar, bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan, Malaysia telah meminta penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team atau AOT) yang diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memantau situasi di lapangan.
"Misi ini akan turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat, bermula pada waktu yang sama.
"Dapatan pemantauan lapangan dan satelit ini akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, 16 Disember," ujarnya.
Kata beliau, laporan tersebut akan memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak, demi kepentingan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau.

"Malaysia kekal fokus untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi memastikan dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama," tegas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media