Politik & Negara 09 Aug, 2025

Cadangan Pasukan Pemerhati ASEAN! Bantu usaha pemantauan, bantuan sempadan Thailand-Kemboja! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Cadangan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN atau ASEAN Observer Team (AOT) ke sempadan Thailand-Kemboja telah diketengahkan bagi membantu usaha pemantauan. Perdana Menteri  menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand. - KitaReporters



Cadangan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN atau ASEAN Observer Team (AOT) ke sempadan Thailand-Kemboja telah diketengahkan bagi membantu usaha pemantauan, bantuan kemanusiaan serta pengurusan perubatan di kawasan sempadan tersebut.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit bersama delegasi masing-masing di Perdana Putra, Putrajaya pada 7 Ogos 2025.

"Pertemuan ini amat bermakna kerana kami mencapai kesepakatan penting untuk meneruskan dialog dan mengekalkan gencatan senjata di sempadan Thailand-Kemboja yang bermula sejak 28 Julai lalu. 

"Ia mencerminkan iltizam bersama untuk menjunjung keamanan dan kestabilan serantau yang amat mustahak dalam landskap geopolitik hari ini," jelasnya.




Menurut beliau, perbincangan selama 30 minit itu  turut menyentuh cadangan penempatan pasukan AOT bagi membantu usaha pemantauan, bantuan kemanusiaan serta pengurusan perubatan di kawasan sempadan.

"Saya menghargai keyakinan yang diberikan oleh Thailand dan Kemboja kepada Malaysia untuk terus menerajui rundingan damai dan memantau situasi di sempadan, khususnya melalui peranan penting Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

"Alhamdulillah, kedua-dua negara turut mencapai beberapa persetujuan penting, termasuk komitmen untuk mematuhi sepenuhnya gencatan senjata tanpa sebarang bentuk serangan, tidak menambah kekuatan atau mengubah penempatan tentera, mengelak tindakan provokatif, serta menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam.

"Insya-Allah, saya dan seluruh pasukan Malaysia akan terus berusaha menyokong proses damai ini atas kepercayaan dan keyakinan bahawa keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog, persahabatan dan keikhlasan," tegas Perdana Menteri dalam satu kenyataan dalam akaun rasm Facebooknya. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
5
0
11
0
You will be interested