Politik & Negara 23 Feb, 2023

Tahniah Jab Imigresen! Sindiket pemerdagang migran tumpas! 4 pegawai sendiri, 63 warga Indo ditahan!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

WARGA Indonesia yang dibawa oleh sindiket penyeludupan migran ditahan dari dua bas dalam Ops Kenyalang di Bintulu, Sarawak pada 17 Februari 2023. - kredit foto : JIM


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan empat pegawainya dan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit satu sindiket penyeludupan migran di Bintulu, Sarawak pada 17 Februari 2023 lalu. 

Empat pegawai JIM terbabit dan lelaki warga Indonesia yang berumur 38 tahun dipercayai ketua sindiket itu akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti penyeludupan

Kredit foto : JIM


Penahanan mereka berikutan kejayaan JIM menumpas sindiket tersebut dengan menangkap 63 warga Indonesia di dalam operasi `Ops Kenyalang’ di Bintulu yang dilancarkan pada pukul 9.45 malam.

Warga asing itu yang terdiri 37 lelaki dan 26 wanita berumur 22 tahun hingga 52 tahun ditangkap di dua lokasi berasingan. 

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata pada tangkapan pertama, pihaknya berjaya menahan 30 warga Indonesia itu di rumah transit berkenaan di Bintulu dan turut merampas wang RM25,000 dan Rp3 juta (RM856).

Beliau berkata, 33 orang lagi warga asing itu ditahan semasa pemeriksaan dilakukan terhadap dua buah bas di sekitar Bandar Bintulu yang disyaki membawa penumpang warga asing itu berdasarkan maklumat yang diterima.


KHAIRUL DZAIMEE DAUD


Menurutnya, warga asing yang ditahan itu sudah mempunyai tiket penerbangan ke Kuala Lumpur dan mereka juga merupakan orang yang telah disenaraihitamkan dalam sistem jabatan daripada memasuki ke Malaysia.

``Kami menahan lelaki berusia 38 tahun itu kerana disyaki menjadi ketua sindiket penyeludupan migran manakala empat pegawai Imigresen  ditahan akibat dipercayai terlibat dengan kegiatan tersebut.  

``Pegawai Imigresen terbabit dikatakan akan menurunkan cap keselamatan ke atas pasport warga asing berkenaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat sampai ke destinasinya,’’ katanya dalam kenyataan di laman Facebook JIM pada 19 Februari 2023.


kredit foto : JIM 


Ops Kenyalang disertai oleh pasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, JIM Putrajaya dan JIM Sarawak.

Warga asing yang mendapat cap keselamatan itu seterusnya dibawa ke rumah-rumah transit yang disediakan oleh sindiket sebelum mereka dihantar ke lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan Lapangan Terbang Bintulu untuk meneruskan perjalanan mereka selanjutnya ke Semenanjung. 


Kredit foto : JIM


Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan maklumat awal bahawa sindiket tersebut telah beroperasi hampir lapan bulan lalu dan warga asing yang hendak masuk ke Malaysia akan dikenakan bayaran RM5,000 atau RM6,000 seorang kepada sindiket itu. 

Menurut beliau, sindiket berkenaan dikatakan menguruskan 30 hingga 40 orang setiap kali kemasukan warga asing ke negara ini dan mereka dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM80,000 sebulan.

``Semua warga asing yang ditangkap itu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan JIM akan terus memburu sindiket yang terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang,’’ katanya. - KitaReporters


 

 WANG tunai yang dirampas pada Ops Kenyalang pada 17 Februari 2023 di Sarawak. - kredit foto : JIM

habis

8
13
0
17
0
You will be interested