Politik & Negara 28 Jan, 2024

ICJ kecewakan warga dunia! Akui Israel cenderung lakukan genosid! Tapi gagal hentikan perang! - MAPIM

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Keputusan Mahkamah Dunia atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak nampak ke arah menghentikan peperangan di Gaza tetapi hanya mengakui aparteid Israel cenderung melakukan genosid bila ICJ mengeluarkan arahan aparteid Israel perlu mengambil langkah berkesan mengelak genosid. 

Kami berpendirian apa yang jelas ialah keputusan ini tidak menyebut sepatah pun mengenai gencatan senjata. 

Padahal terbukti keganasan aparteid Israel jelas bersalah atas jenayah genosid yang mengorbankan ribuan rakyat awam di Gaza.  

ICJ telah mendengar bukti Afrika Selatan yang tidak dapat disangkal oleh aparteid Israel. Apa yang dihujahkan oleh aparteid Israel hanya mencabar jurisdiksi ICJ dan mengulangi hak mempertahan diri.    



ICJ telah mengarahkan aparteid Israel tidak menghilangkan bukti-bukti genosid di Gaza. Ini bermakna ICJ menerima fakta ada perlanggaran Konvensyen Genosid.

Malah ICJ telah mengarahkan aparteid Israel menghukum mereka yang mengisytiharkan niat genosid yang dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi Israel. Apakah ini akan dipatuhi aparteid Israel? 

Sebab itu reaksi kecewa daripada penduduk Gaza malah Tebing Barat telah disuarakan terhadap keputusan ICJ. Apa yang mereka mahukan adalah gencatan senjata diarahkan untuk keganasan aparteid Israel dihentikan serta merta.

Kami berpendirian sementara ICJ telah membuat keputusan yang dianggap menyebelahi tuntutan Afrika Selatan, namun ICJ tidak menangani isu pokok, bahawa serangan apartied Israel yang terus berlaku tidak dihalang dan aparteid Israel tidak dipertanggungjawab terhadap jenayah perang dan jenayah genosid yang jelas dilakukan terang-terangan.

ICJ telah mengarah aparteid Israel melapor kembali dalam tempoh satu bulan kepada ICJ mengenai langkah Israel. 

Padahal serangan terus dilancarkan sudah lebih daripada 100 hari tanpa henti dan membunuh hampir 150-200 warga Gaza sehari. 

Sementara itu, ada pula yang mati kerana tidak menerima rawatan, kebuluran dan kerana penyakit yang mulai merebak. Soalnya kenapa harus tunggu sebulan lagi?



Kami mengusulkan kerajaan Malaysia melakukan pencelahan dalam pembicaraan kes tuntutan Afrika Selatan itu agar keputusan yang lebih adil dan mengukuhkan hujah gencatan senjata perlu dilakukan segera.

Reaksi PM aparteid Israel Natanyahu terhadap keputusan ICJ jelas menunjuk sikapnya bahawa dia tidak akan peduli dengan arahan ICJ. 

Dia telah mengisytiharkan akan meneruskan malah meningkatkan operasi militari di Gaza. Oleh itu apa jaminan warga Gaza akan selamat walaupun keputusan ICJ mengarahkan langkah mengelak genosid.

Yang jelas ialah aparteid Israel telah melakukan perlanggaran Konvensyen Genocide dan jenayah perang dengan sokongan penuh serta bantuan tanpa had Amerika Syarikat. 

Persekongkolan Amerika sangat jelas. Keputusan ICJ sewajarnya mempersoal status Amerika membantu Israel dengan senjata tercanggih untuk membunuh seramai mungkin warga Gaza.

Amerika mesti turut dipertanggungjawab juga terhadap serangan aparteid Israel di Gaza. 

Keupayaan aparteid Israel melancar serangan berskala besar adalah akibat Amerika merestui dan menaja sepenuhnya operasi Israel. 

Malah semua calon Presiden Amerika untuk pilihan raya 2024 nanti menyatakan sikap bahawa operasi militari Israel di Gaza perlu diteruskan.

Ada yang menyatakan bukan aparteid Israel bergantung kepada Amerika, akan tetapi hakikatnya Amerika yang memerlukan Israel.

Isunya sekarang ialah sementara keputusan ICJ itu adalah mengikat namun ia tidak dapat dikuatkuasakan. 



Apakah jaminan Israel akan menghentikan serangan dan membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar melalui pintu Rafah? 

Laporan pelarian Gaza malah ditembak ketika cuba mendapat bantuan kemanusiaan di Khan Yanis sudah cukup membuktikan Israel tidak peduli kepada arahan ICJ.

Kami berpendirian masyarakat dunia tidak terlalu mengharapkan pembelaan ICJ . Bantahan perlu diteruskan dan tekanan kepada Israel hendaklah dipertingkatkan.


Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)


18
12
0
13
0
You will be interested