Politik & Negara 26 May, 2025

Sidang Kemuncak ASEAN, ASEAN-GCC-China cerminkan kejayaan! Kerjasama realiti dunia multipolar! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

.



Malaysia yakin penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur yang bermula pada 26 Mei 2025 ini mencerminkan kejayaan dalam membentuk semula corak kerjasama sejajar dengan realiti dunia multipolar hari ini.

GCC merujuk kepada Majlis Kerjasama Teluk Parsi.

"Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China itu melambangkan kekuatan perpaduan blok serantau yang pastinya akan memberi kesan positif kepada dunia," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN untuk Sidang Kemuncak ASEAN 2025 kali ini.



Beliau berkata, pencapaian satu dekad sejak penubuhan Komuniti ASEAN, memberi semangat dan keyakinan baharu kepada rantau ini.

"Ini juga mencerminkan daya tahan luar biasa meskipun dunia kini semakin kompleks dan penuh cabaran.

"Mengambil kira peralihan dalam susunan geopolitik dan sistem perdagangan global kini, saya maklumkan bahawa pemusatan ASEAN dan persaudaraan antara negara-negara anggota penting untuk terus bersatu menghadapi cabaran yang ada ini secara bersama," tambahnya sewaktu berucap pada sesi Plenary sempena Sidang Kemuncak ASEAN.



Perdana Menteri turut nyatakan penghargaan Malaysia kepada dukungan semua pihak dalam memastikan bahawa Kepengerusian ASEAN kali ini dapat membawa semua negara anggota ke arah pertumbuhan yang adil dan mampan serta daya tahan yang berterusan.

Terdahulu, Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025 ini menghimpunkan ribuan delegasi dari seluruh pelosok rantau bagi memperkukuh kerjasama dan membina masa depan ASEAN yang lebih terangkum dan mampan.

"Alhamdulillah, pagi ini saya menyambut ketibaan para pemimpin negara anggota ASEAN sebelum memulakan mesyuarat rasmi pertama di bawah Kepengerusian Malaysia tahun ini.

"Sebagai tuan rumah, Malaysia komited untuk menerajui ASEAN dengan semangat kesepakatan, keberanian dan visi yang jelas bagi terus mengangkat martabat ASEAN, dihormati di persada dunia dan menjadi kebanggaan bersama rakyat rantau ini," jelas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media




15
15
0
10
0
You will be interested