Politik & Negara 15 Apr, 2025

Pak Lah insan berjiwa besar! Memimpin dengan wajah tidak marah, tangan tidak menggenggam kuasa! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


"Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) tidak sekadar pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baharu dalam politik kekuasaan di Malaysia. 

Dengan pendekatan Islam Hadhari, beliau menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau menerima berita kembalinya ke rahmatullah sahabatnya yang juga Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Isnin, 14 April 2025 dengan perasaan yang amat menyentak jiwanya.

"Masih segar pada ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba. 

"Namun pada saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam," ujarnya.

Beliau memberitahu, dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan. 

"Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung.

"Pak Lah tidak sekadar pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baharu dalam politik kekuasaan di Malaysia. 

"Dengan pendekatan Islam Hadhari, beliau menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai," tegas Perdana Menteri.



Menurut Anwar, di bawah kepemimpinan Abdullah, Malaysia telah menyaksikan reformasi dalam bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.

"Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. 

"Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan," katanya.

Namun, kata Perdana Menteri, lebih daripada segala pencapaian itu, Abdullah mengajarkan kita erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.

"Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi, meskipun diasak bertubi-tubi. 

"Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas.

"Kepada keluarga Tun Jeanne, anakanda Khairy Jamaluddin dan keluarga besar beliau, saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi. 

"Selamat jalan, Pak Lah. Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. 

"Semoga ruh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau," doa Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media


5
11
0
14
0
You will be interested