Serangan ke atas Gaza perlu dihentikan dengan kadar segera bagi menjamin tempoh bertenang dan mempercepat serta memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ramai telah mengikuti perkembangan terbaharu mengenai respons daripada pihak Hamas terhadap cadangan ke arah gencatan senjata.
"Ia tentunya perkembangan yang sangat mustahak tatkala ia pastinya akan menjamin serta membuka ruang untuk menghentikan perang dan pembantaian.
"Saya yakin ia akan memberi sedikit kelegaan buat warga Gaza pada ketika ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu, 4 Oktober 2025.

Hamas, pada 4 Oktober 2025, mengumumkan kesediaan untuk “segera” memasuki rundingan bagi membebaskan semua tebusan Israel berdasarkan pelan damai Gaza yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ini dilihatkan sebagai satu perkembangan yang dilihat berpotensi memecah kebuntuan selepas berbulan-bulan usaha gencatan senjata gagal.
Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menerima pelan Trump tanpa syarat.
Hamas menegaskan, ia bersedia untuk memasuki rundingan segera melalui perantara bagi membincangkan butiran pertukaran tebusan, selain menyatakan kesediaan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada “sebuah pihak berkuasa Palestin yang bebas, berdasarkan konsensus nasional Palestin serta sokongan Arab dan Islam.”
Anwar berkata, beliau maklum akan kenyataan Trump, khusus pada seruannya agar Israel menghentikan serangan dan pengeboman supaya langkah yang kukuh dan teguh ke arah perdamaian dapat digerak dan dijelmakan.
"Justeru, aspek dan dimensi yang terpenting saat ini adalah kebijaksanaan dan sikap kesabaran yang tinggi terutama untuk menghentikan serangan dalam kadar segera.
"Ini akan menjamin tempoh bertenang dan mempercepat serta memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza," tegas beliau.
Katanya, semua mengakui keamanan yang kekal tidak akan tercapai dalam sekelip mata.
"Namun, ia mesti dibina dengan kesabaran yang jitu, langkah demi langkah, dan kita tidak akan mampu menerima sebarang penangguhan dalam mengakhiri penderitaan warga Gaza.
"Tragedi sadis yang telah menghentak nurani dunia ini mesti segera dihentikan," tegasnya.

Perdana Menteri berkata. negara-negara Arab, terutamanya Qatar bersama Turkiye dan dunia Islam khususnya, kini menggalas peranan yang penting dalam memastikan proses gencatan senjata ini berterusan, lantas menghidupkan kembali prospek ke arah penyelesaian politik.
Amerika Syarikat juga, katanya. memikul tanggungjawab yang besar, khususnya dalam memberi tekanan kepada Israel untuk tunduk dan hormati kewajibannya serta mesti memberi ruang dan peluang kepada diplomasi.

"Pada akhir bulan ini, saya akan menyambut kedatangan Presiden Trump ke Kuala Lumpur bersempena dengan Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang ASEAN-AS.
"Saya menanti serta mengharapkan suatu ruang dialog dan wacana yang segar dan terbuka tentang bagaimana Malaysia, bersama rakan-rakan, dapat menyumbang serta membentuk satu order dunia yang adil dan damai yang berkekalan yang tentunya akan mencakup serta menjamin hak rakyat Palestin dan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan bermaruah," jelas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media
