Politik & Negara 09 Nov, 2023

Hebat kanak-kanak Palestin! Ditarbiah semangat jihad sejak kecil! Inilah rahsia kekuatan mereka!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


NAEEM Musthaha masih kecil ketika ayahnya, seorang pejuang Hamas daripada Briged Al-Qassam ditembak mati oleh tentera aparteid Zionis Israel. Sejak itu, dia menggalas tanggungjawab ketua keluarga, menjaga ibu dan empat adiknya.

Ketika berusia 13 tahun, dia bertemu Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau Nadir Al-Nuri yang kebetulan melakukan kerja-kerja kebajikan membantu rakyat Palestin di Gaza.

Nadir Al-Nuri berkahwin dengan ibunya, Reem Al-Minawi, ketika dia berusia 16 tahun. Hasil perkahwinan itu, dia mendapat tiga adik lagi menjadikan lapan adik beradik.

Naeem yang menganggotai sukarelawan MyAqsa Defenders menceritakan suka duka kehidupan kanak-kanak dan remaja di Palestin yang hidup seperti telur di hujung tanduk namun semangat mereka kuat dan sanggup mati demi agama dan bumi Palestin. 

Ikuti luahan rasa pemuda dari Gaza itu ketika menyampaikan kuliah subuh di Surau Al-Sobah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Naeem menyampaikan Kuliah Subuh dalam bahasa Arab dan diterjemahkan oleh Ustaz A Firdaus Kadir.


"Penjajah-penjajah seperti Itali dan Britain yang menjajah negara-negara Arab, mereka memiliki negara sendiri dan mereka menakluk sesebuah negara untuk meluaskan kuasa dan empayar tapi berbeza dengan negara Palestin, penjajah kami tidak mempunyai negara, datang dan menjajah kami sebagai sebuah negara. Jadi,memang tidak masuk akal dan pertempuran menjadi lebih sukar dan berpanjangan.

"Dan, jika melihat perjuangan rakyat Palestin dengan sirah Rasulullah SAW, kita dapat saksikan ada persamaan kerana kedua-duanya berjuang atas matlamat tauhid, akidah dan mempertahan Islam, bukan sekadar perjuangan untuk bangsa.

"Justeru, perjuangan kami bukan hanya rakyat di sini tapi umat Islam seluruh dunia yang berkongsi satu akidah iaitu Islam. Lebih bahaya, Israel bukan hanya mahu membina negara haram di Palestin tapi meluaskan pengaruhnya di negara Arab malah seluruh dunia.

Kanak-kanak di Palestin tidak takut mati, kami ditarbiah dengan roh al-Quran, kata Naeem.


"Jika mereka tidak mampu memerintah, mereka akan pastikan negara itu mengikut telunjuk Zionis. Ini terbukti dengan sokongan kuat Amerika Syarikat yang sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mempertahan negara haram itu. Begitu juga dengan sesetengah negara Arab yang bersekongkong dengan Israel.

"Anda pasti tahu kisah dua remaja yang ikut berperang bersama Nabi SAW dan membunuh Abu Jahal. Walaupun masih kecil berbanding kegagahan pemimpin Quraisy itu, semangat yang ditanam oleh Rasulullah SAW menjadikan mereka berani. Itulah semangat atau roh yang ditarbiah kepada kanak-kanak dan pemuda Palestin.  

"Aku ingin berkongsi kisah pemuda bernama Ibrahim Rahyan berusia 16 tahun di Gaza yang ikut berperang melawan Israel. Bagi menenang hati anak itu, ibu bapanya berkata, janganlah kamu pulang melainkan syahid, berjuang lah tanpa takut mati, insya-Allah kami tidak akan bersedih. 

"Ibrahim akhirnya syahid dan bapanya, seorang ulama hadis di Palestin menerima berita itu dengan hati yang lapang tanpa menitis air mata kerana dia tahu syurga menanti anaknya.

"Apa yang aku ceritakan dari kisah Ibrahim dan keluarganya adalah contoh daripada banyak cerita bagaimana kanak-kanak dan pemuda di Palestin ditarbiah dengan semangat jihad sejak kecil. 


Naeem membacakan doa dengan penuh khusyuk menggambarkan keikhlasan rakyat Palestin dalam perjuangan menentang Zionist Israel.


"Aku juga ingin ceritakan mengenai kisah seorang pakcik yang dirawat di hospital. Satu hari dia didatangi seorang kanak-kanak perempuan dan bertanya sama ada lelaki itu memiliki telefon bimbit sebab dia mahu menghubungi ayahnya. 

 "Lelaki itu terus menghubungi ayah kanak-kanak perempuan itu tapi tiada siapa yang menjawab. Begitu juga lelaki itu menghubungi ibu kanak-kanak perempuan itu tapi tiada sesiapa yang menjawab. Lalu, kanak-kanak itu bertanya apa yang berlaku kepada keluarganya.

"Apabila lelaki itu bertanya kepada pihak hospital, dia diberitahu, ibu bapa kanak-kanak itu sudah syahid selepas serangan Israel. Bayangkah apa akan terjadi kepada kanak-kanak itu apabila dewasa. Begitu juga aku ingin kongsi kisah seorang budak lelaki yang kematian ibu bapanya.

"Apabila ditanya apa perasaan kamu, kanak-kanak itu menjawab, semua itu adalah ringan saja jika kematian itu demi mempertahankan agama dan bumi Anbia. 

"Ditanya bagaimana dia akan membesar tanpa ibu bapa, dengan selamba dia menjawab, di Palestin kanak-kanak seperti aku tidak akan membesar sebab sebaik lahir, kami sudah menjadi dewasa.  


Naeem bergambar kenangan bersama Pengerusi Surau Al-Sobah, Datuk Mohd Yusof Kasim (dua dari kanan), Ustaz A Firdaus Kadir (dua dari kiri) dan Pengerusi Program merangkap Timbalan Bendahari Surau Al-Sobah, Md Roslan Zulkifly (kiri)


"Aku berharap cerita-cerita aku ini akan menjadi motivasi kepada kanak-kanak di Malaysia. Kanak-kanak di negara aku dibesarkan dengan tarbiah al-Quran sehingga runtuhnya kesombongan Israel dengan pertolongan Allah. 

 "Bukan perkara pelik jika mereka sudah menghafal al-Quran di usia 10 atau 11 tahun. Ada kanak-kanak di Palestin yang boleh khatam al-Quran 30 juzuk dari pagi hingga Asar. Tidak hairanlah jiwa kanak-kanak Palestin kuat dan tidak mudah mengalah atau mengeluh dengan apa yang berlaku sekarang. 

 "Wahai adik-adikku di Malaysia, kamu boleh menjadi kuat jika terus berpegang teguh dengan al-Quran, membaca, menghayati dan mengamalkan setiap hari dalam kehidupan.

"Ada kisah-kisah menarik mengenai kanak-kanak sebelum kejatuhan khalifah Uthamaniyah. Orang-orang Yahudi hairan mengapa kanak-kanak Islam berlari ke masjid ketika azan berkumandang. Apabila ditanya mereka menjawab takut tertinggal takbiratulikram.

"Jadi orang-orang Yahudi tahu solat berjemaah adalah kekuatan umat Islam lalu mereka mencipta pelbagai permainan dan hiburan untuk melalaikan kanak-kanak. Saya sendiri ketika azan berkumandang akan berlari ke masjid kerana takut jika tidak dilihat ayah di masjid, saya akan dipukul apabila pulang ke rumah. 

"Aku teringat kata-kata seorang imam bahawa cara mentarbiah anak-anak Palestin dimulai sebelum kami dilahirkan. Itulah dilakukan oleh ibu bapa Muhammad Al-Fateh yang membebaskan kota Istanbul daripada kekuasaan Parsi. Malah, ketika masih menyusu, ibunya membawa Al-Fateh ke tepi laut dan memberitahu dia akan membuka kota Istanbul, justeru jangan penat untuk berjalan kerana kamu harus kuat.  


Ibu Naeem,  Reem Al-Minawi bersama ayah tirinya, Nadir Al-Nuri.


"Cukuplah perkongsian aku dan sebelum aku berhenti, aku ingin bertanya apa pandangan kamu apabila melihat visual seorang kanak-kanak perempuan yang ditembak tentera Israel, hatinya  terkeluar, apakah kami penduduk Palestin akan mengalah? "Sebenarnya kami tidak pernah mengalah dan tewas. Mati seorang kanak-kanak akan lahir generasi muda lain yang akan terus berjuang sampai bila, sehingga kami mendapat kembali negara kami dan mengusir Zionis dari bumi Anbia. 

"Walaupun perit dan sudah tapi tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Apa yang kami harapkan anda terus bersama kami, berdoa dan menghulur bantuan, insya-Allah kami akan berjaya kerana di hujung terowong yang panjang pasti ada cahayanya," katanya. - KitaReporters

20
10
0
14
0
You will be interested