Politik & Negara 10 Jan, 2024

GSPP sasar 1 juta tandatangan! Mahu hantar petisyen kepada PM! Desak dihentikan peperangan di Gaza!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


GABUNGAN Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menyasarkan sejuta tandatangan daripada rakyat negara ini sebagai petisyen untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendesak dan memberi tekanan supaya peperangan di Gaza, Palestin dihentikan segera.

Selepas tiga bulan peperangan di antara aparteid Zionis Israel dan pejuang Hamas sejak serangan 7 Oktober 2023, tiada nampak tanda-tanda peperangan akan tamat dan rakyat Palestin dapat kembali ke tempat tinggal mereka untuk hidup seperti biasa.

Penyelaras GSPP Bangi, Ustaz Zaizul Irshad, berkata umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia perlu ambil peduli apa yang berlaku di Palestin dan sentiasa menyokong perjuangan mereka untuk membebaskan tanah air daripada terus dijajah oleh pendatang haram aparteid Israel agar dapat hidup aman damai.

Sebahagian 50 sekretariat GSPP bergambar kenangan selepas Himpunan Little Bangi bersama Gaza.


Beliau yang juga Yang Dipertua ISMA Bangi, mengakui rakyat Palestin sudah ditekan dan menderita sejak 75 tahun lalu, hilang segala-galanya dan kini masanya mereka sepatutnya mendapatkan kebebasan serta mengambil kembali tanah air yang ditakluki dan dirampas.

"Melalui GSPP yang dianggotai lebih 100 NGO, kami akan menyebar maklumat mengenai perkembangan terkini di Palestin kepada masyarakat di negara ini selain meminta mereka untuk menandatangani petisyen bagi mendesak supaya peperangan yang berlaku dihentikan serta merta.

Ustaz Zaizul Irshadi


"Kita perlu menggerakkan segala potensi yang ada pada peringkat negara, pertubuhan dan serantau tanpa mengharapkan perubahan dasar Amerika Syarikat (AS) atau Britain, ke arah merealisasikan pembebasan Palestin dan menghentikan pembunuhan yang berlaku setiap hari.

"Melalui petisyen tandatangan itu nanti, kita akan menyerahkan kepada pemimpin negara untuk membawa hasrat rakyat Malaysia yang mahu melihat Palestin bebas daripada penjajahan haram aparteid Israel dan peperangan yang membunuh ramai wanita dan kanak-kanak dihentikan.

"Kita juga akan meminta pemimpin negara untuk mendapatkan sokongan dan melobi negara-negara Islam selain badan umat Islam seperti Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi memberi tekanan kepada Israel serta mereka yang berada di belakangnya untuk menghentikan peperangan," kata  Ustaz Zaizul.

Pengunjung Little Bangi menurunkan tandatangan sebagai sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin terutama di Gaza.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Little Bangi Bersama Gaza di Little Bangi Gateway, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor. Turut hadir, pemilik lesen Little Bangi, Ahmad Ismail; Pengerusi Persatuan Usahawan Bumiputera Bangi Gateway, Ahmad Nazri Daud; dan Pengarah Himpunan Little Bangi Bersama Gaza, A Hakimi Nazari.

Himpunan itu yang dianjurkan oleh GSPP dengan kerjasama Little Bangi berjaya mengumpul 2,000 tandatangan daripada pengunjung dan peniaga dari jam 8 malam hingga 11 malam. 

Pelbagai aktiviti menarik diadakan, antaranya persembahan silat daripada Persatuan Seni Silat Hang Tuah, pidato umum, deklamasi sajak mengenai Palestin dan persembahan lagu-lagu kemanusiaan daripada Exeora Band Putrajaya.


Pahlawan cilik bersama guru mereka, Ibrahim Azran Abu Izz Ayyash bersiap sedia sebelum membuat persembahan silat.


Ustaz Zaizul berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh GSPP bagi meningkatkan kesedaran masyarakat kepada Palestin seperti Persidangan Meja Bulat (Bandar Baru Bangi Community), mengunjungi Biro Politik Hamas di Qatar, mendapat sejuta tandatangan, ceramah, jualan amal dan kutipan seumbangan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

“Sebagai umat Islam ,ayuh kita menjayakan dan membabitkan diri dalam aktiviti yang dijalankan GSPP. Dan, saya merayu kepada individu dan badan-badan dalam masyarakat untuk turut sama menyertai Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin. 

"Kita berdoa dan bermunajat kepada Allah agar kemenangan diperolehi untuk pembebasan Palestin.

"Semoga sedikit usaha yang kita lakukan nanti akan menjadi jawapan di hadapan Allah di akhirat nanti. Rakyat Palestin adalah saudara kita dan sokongan rakyat Malaysia akan berterusan sampai bila-bila," katanya lagi.

Rabiatul Maharani Mahmood (kiri) dan rakannya, Nurhadibah Adnan mendeklamasi sajak berjudul, Layar Lena.


Sementara itu, bagi Ahmad Nazri, perjuangan Palestin begitu dekat dengan rakyat negara ini apatah lagi di sana juga ada rumah Allah, yang kedua tertua di dunia, ketiga paling mulia dalam Islam dan kiblat pertama ibadat solat iaitu Masjid Al-Aqsa.

Malah, katanya ramai nabi yang pernah tinggal di Palestin termasuk Nabi Isa, Nabi Ibrahim, Nabi Lut dan Nabi Sulaiman, justeru ia amat dekat dengan umat Islam di seluruh dunia.

"Allah menguji keimanan rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia bagi mengangkat darjat sesiapa yang bersabar. Insya-Allah bumi berkah Palestin akan tetapi menjadi milik umat Islam suatu hari nanti.

Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurulain Syafeqah Abdul Aziz menyampaikan pidato bertajuk, Peranan Kita Dalam Isu Palestin.


"Peperangan selama tiga bulan menyebabkan ekonomi di Israel merudum, tiada pelancongan malah kos yang ditanggung negara Yahudi itu untuk persenjataan juga amat membebankan. Sepatutnya dia menghentikan peperangan tapi tidak mahu menanggung malu, Israel tiada pilihan lain.

"Insya-Allah dengan doa umat Islam seluruh dunia, Allah akan memakbulkan doa kita. Saya berterima kasih kepada peniaga di Little Bangi yang menurunkan tandatangan untuk menyokong usaha bagi pembebasan Palestin dan menghentikan peperangan," katanya.

Beliau juga minta rakyat negara ini usah melupakan Palestin dan terus memberi sokongan dalam apa jua yang termampu kerana ketika ini umat islam di negara itu amat memerlukan sokongan moral dan semangat bagi terus bertahan untuk tempoh yang tidak pasti.

Ahmad Nazri Daud


"Kasihan melihat wanita dan anak-anak kecil terpaksa keluar dari rumah mereka kerana diusir, berjalan kaki untuk tempoh dan jarak yang jauh apatah lagi sekarang musim sejuk, pasti keadaan mereka lebih menderita.

"Jadi, ketika kita menikmati makanan yang mewah bersama keluarga, ingat-ingat juga rakyat Palestin yang terpaksa memakan apa sahaja untuk hidup termasuk kanak-kanak yang terpaksa menjadi mangsa peperangan yang tidak pernah mereka minta," katanya.

Ahmad Nazri juga sempat mendeklamasikan sajak berjudul, Cebisan Buat Gaza yang diciptakan secara spontan bagi menzahirkan kecintaan dan kasih sayang rakyat negara ini kepada perjuangan rakyat Palestin terutama di Gaza. - KitaReporters

Sebahagian anak-anak Nazim menyanyi lagu, Atouna Tufuli bersama Exeora Band dari Putrajaya.

25
10
0
15
0
You will be interested