Politik & Negara 30 Aug, 2023

Malaysia Madani perlu harmonikan bidang kuasa Syariah dan Sivil! Perkasakan Mahkamah Syariah! - ABIM

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Memorandum ABIM kepada Senator Dato' Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri)


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada keprihatinan Sultan Selangor yang juga merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berhubung kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam di bawah enakmen negeri serta isu bidang kuasa Mahkamah Syariah yang masih dijadikan isu pertikaian oleh pihak tertentu.

ABIM menjunjung kasih keprihatinan Sultan Selangor tersebut bersempena Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Keprihatinan Sultan Selangor ini menggambarkan komitmen Baginda Tuanku untuk mencari penyelesaian kepada isu pemerkasaan bidang kuasa Syariah Dalam Negara.

Justeru, berasaskan keprihatinan tersebut, maka Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpandangan sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama dukungan kuat Senator Dato’ Setia untuk bersama mencari penyelesaian kepada isu pentadbiran agama Islam menerusi bidang kuasa negeri dan Mahkamah Syariah ini, agar pertikaian bidang kuasa yang disepakati sebelum ini tidak berulang. 



Maka, adalah disyorkan seperti berikut:

a. Jalan penyelesaian yang dirintis seharusnya menjurus kepada langkah untuk pengharmonian kedua-dua bidang kuasa – Syariah dan Sivil, dalam masa yang sama meneruskan usaha untuk memperkasa Mahkamah Syariah;

b. Maka, wujud keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan “undang-undang jenayah” dalam Senarai III – Senarai Bersama Persekutuan & Negeri, Jadual Kesembilan, dengan menzahirkan kesalahan jenayah Syariah berada dalam bidang kuasa negeri. Menerusi pindaan ini, Dewan Undangan Negeri akan diberikan kuasa untuk menggubal, meminda serta menguatkuasakan sesuatu undang-undang jenayah dalam ruang lingkup kesalahan jenayah Syariah;

c. Ini memandangkan dalam peruntukan undang-undang sedia ada, sememangnya terdapat beberapa kesalahan yang diletakkan di bawah kedua-dua bidang kuasa iaitu Enakmen Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan seperti kesalahan sumbang mahram, pelacuran, hubungan seks sesama jantina, hubungan seks luar tabii dan perbuatan tidak sopan di tempat awam. Justeru, menerusi langkah memasukkan “undang-undang jenayah” dalam Jadual Kesembilan Senarai III – Senarai Bersama dengan batasan untuk kesalahan Syariah akan menyelesaikan kekangan yang dinyatakan dalam kes di atas;

d. Langkah pengharmonian ini juga sejajar dengan kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lwn Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Satu Lagi [1999] 2 MLJ 241 yang di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang antara Kanun Keseksaan dan Enakmen Jenayah Syariah Negeri boleh wujud secara bersama atau ‘co-exist’.;

e. Namun, seperti yang dinyatakan, batasan kesalahan yang hanya dalam ruang lingkup jenayah Syariah perlu dijelaskan agar tidak timbul sebarang polemik dan salah faham pada kemudian hari. 

f. Dalam masa yang sama, seiring dengan usaha pengharmonian ini, usaha penambahbaikan urusan merangkumi pentadbiran dan pelaksanaan Undang-undang Syariah harus ditingkatkan.

Oleh yang demikian, ABIM berharap agar penyelesaian ini dapat dicapai menerusi pendekatan musyawarah dan inklusif berasaskan kepada masalah kepentingan semua golongan. 

Pendekatan ini sejajar dengan semangat untuk menjayakan agenda Malaysia Madani.


Muhammad Faisal Abdul Aziz

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


12
10
0
12
0
You will be interested