Politik & Negara 25 Nov, 2023

Video| Syabas Malaysia, MAPIM! Misi bantuan musim sejuk bawa keceriaan kepada penduduk Afghanistan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this



AWAL tahun ini, seramai 166 penduduk Afghanistan mati akibat kesejukan melampau yang melanda negara itu dalam tempoh lebih sedekad. Kebanyakan rakyat negara itu tidak mampu membeli bahan api, terutama kayu atau arang batu untuk memanaskan rumah ketika suhu di bawah beku yang mencecah hingga -34 Celcius.

Seksanya kehidupan rakyat Afghanistan ketika musim sejuk, tiada bahan bakar untuk menghangatkan badan, tiada baju untuk melindungi diri, tiada makanan untuk mengisi perut kosong, yang ada cuma harapan agar saudara seagama di seluruh dunia bersimpati dengan keperitan hidup mereka.

Sebahagian ibu tunggal dan penduduk miskin yang menerima bantuan kemanusiaan musim sejuk di Wilayah Kunduz, Afghanistan.


Kita tidak mengalami situasi mereka tapi percayalah, jika kita di tempat mereka, pastinya kita sangat mengharapkan bantuan tiba pada saat kita sendiri tidak mampu dan tiada upaya. Mungkin sedikit rezeki yang kita kongsi bersama membolehkan mereka merasa kehangatan walaupun hanya sementara.

Menyedari hakikat itu dan atas dasar keprihatinan, 11 pegawai dan sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menghantar bantuan segera kepada penduduk di beberapa wilayah di Afghanistan, antaranya Kabul, Kunduz, Badakstan, dan Maser e-Sharif.

Bantuan kemanusiaan musim sejuk MAPIM dapat memberi keceriaan dan senyuman kepada penduduk miskin di Afghanistan.


Perunding Eksekutif Media Korporat MAPIM, Farush Khan Akbar Khan, berkata dalam Misi Bantuan Musim Sejuk Afghanistan dari 8 hingga 17 November 2023, mereka menyerahkan sumbangan rakyat Malaysia kepada ramai pelajar miskin, anak yatim, ibu tunggal dan orang tua. Sumbangan berupa  makanan, pakaian musim sejuk dan kitab al-Quran.

Ia memberi manfaat kepada kira-kira 400 keluarga di wilayah Kunduz dan Kabul (Khushal Khan). Antara makanan yang diberikan ialah tepung, beras, minyak masak, kacang dal dan gula. 

Selain MAPIM, penyumbang lain ialah Persatuan Intelektual Negeri Sembilan (PRIHATINS), Surau Al Ulum Kota Damansara, surau dan masjid di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.


Farush Khan Akbar Khan

Beliau berkata, misi itu mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, IHSAAS. Ia adalah kerjasama kali ketiga sejak Mac 2022. Sebelum ini, dua misi bantuan kemanusiaan ditumpu di Wilayah Herat, tapi kali ini ke Utara Afghanistan, iaitu Kunduz dan Badakshan.

Ketika mereka berada di sana, keadaan keselamatan di Afghanistan tidak membimbangkan, apatah lagi mereka sentiasa diiringi pegawai keselamatan dala kalangan pihak berkuasa negara itu. 

Cuma, dalam perjalanan sejauh 280 kilometer, antara Maser e-Sharif dan Kunduz, terdapat tidak kurang 20 sekatan jalan raya oleh pengawal bersenjata.


Antara pek makanan yang disumbangkan oleh MAPIM kepada penduduk miskin di Afghanistan ialah beras, minyak masak, tepung dan gula.


"Keadaan jalan raya yang tidak rata, retak dan sempit menyebabkan kami terpaksa bergerak seawal jam 4 pagi dan mengharungi perjalanan beratus-ratus kilometer dengan trafik yang kelam- kabut, bersimpang siur, jalan raya yang berlubang dan berdebu," katanya. 

Sepanjang misi bantuan kemanusiaan itu, Farush Khan mengakui sedih dan ada ketikanya mengalir air mata melihat tahap kemiskinan penduduk negara itu yang terpaksa melakukan apa sahaja pekerjaan untuk hidup dan mendapatkan sesuap nasi. 

"Saya melihat ketika kenderaan bergerak perlahan-lahan, kanak-kanak berusia di antara 7 hingga 12 tahun, bermata coklat dan biru dengan rambut perang yang kusam, berlari-lari ke arah kami, ada yang menepuk cermin kenderaan dengan harapan mendapat sedikit wang untuk membeli makanan.

"Ramai dalam kalangan kanak-kanak yang berselerak di jalan raya terpaksa meminta sedekah kerana ada yang kematian ibu atau ayah akibat peperangan yang tiada kesudahan sama ada Rusia atau Amerika Syarikat. 

"Situasi politik yang tidak stabil menyebabkan keadaan mereka semakin tenat," kata Farush lagi.


Kanak-kanak perempuan ini terpaksa meminta sedekah untuk mencari sesuap nasi dan kelangsungan hidup.


Sementara itu, Ketua Misi Kemanusiaan Musim Sejuk Afghanistan, Ustaz Fadhil Othman berkata, kunjungan ketiga ini mengagihkan 400 pek makanan di wilayah Kabul dan Kunduz.

Setiap ibu tunggal dan penduduk miskin mendapat pek makanan mengandungi tepung 24 kilogram (kg), beras (10 kg), gula (2 kg), kacang dal (3 kg) dan minyak masak 5 kilogram. Di Kunduz misalnya, seramai 120 keluarga ibu tunggal dan anak yatim menerima manfaat itu. "Jika diikutkan, jumlah sumbangan itu mungkin tidak mencukupi tapi itu saja yang kami mampu berikan. Insya-Allah jika ada lagi derma daripada rakyat Malaysia, kami akan memberi terus kepada penduduk di sini," katanya.


Pelajar wanita di sebuah madrasah di Wilayah Kunduz, Afghanistan menerima al-Quran yang diwakafkan rakyat Malaysia sempena bantuan musim sejuk MAPIM.


Dalam perkembangan yang sama, Ketua Sukarelawan MAPIM, Faris Badaruddin, berkata misi itu juga menyerahkan wakaf 6,000 nashkah al-Quran kepada beberapa madrasah di sekitar Afghanistan, termasuk Kunduz, Kabul dan Ningarhar. Di Madrasah Ahmadiah Sholor Koshla, Kunduz, seramai 250 pelajar huffaz mendapat manfaat.

Wakaf kitab al-Quran bagi membantu penduduk Afghanistan yang mempunyai kadar buta huruf yang tinggi. Mereka mendapat kerjasama TAAWUN dan AKFP, NGO yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Taliban. 

"Dalam cuaca sejuk dengan suhu 8 darjah Celcius, kami menyerahkan waqaf al-Quran kepada 150 pelajar Madrasah Anwarul 'Ulum, Wahdat Qonam, Kunduz. 

"Walau pun keadaan bangunan madrasah yang separuh siap, malah ada yang terlalu daif tapi anak-anak ini tetap gigih belajar membaca dan menghafal al-Quran kerana itu saja pendidikan yang mereka ada ketika ini," katanya lagi. 


Pelajar dan guru di sebuah madrasah di Wilayah Kunduz, Afghanistan gembira menerima nashkah al-Quran yang diwakafkan oleh rakyat Malaysia kepada mereka.


Sepanjang misi itu, Farush Khan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang bermurah hati memberi sumbangan, walaupun belum mencukupi tapi sekurang-kurangnya ia membantu penduduk Afghanistan yang kini amat memerlukan bantuan terutama untuk mengharungi musim sejuk sehingga Mac tahun depan.

Beliau juga berterima kasih kepada NGO dan individu yang banyak membantu sepanjang misi mereka di sana termasuk  Shafqat, Dr Hafeez Ur Rehman, Abdul Rahim Ghafari, Abdul Ghafur Ghafari, Jum'a Khan Himmatiyar , Sheikh Saifullah Mukhlis, Najibullah, Shuja Jahani, Naweed  dan ramai lagi

"Moga usaha dan sumbangan yang kita berikan akan menjadi asbab untuk Allah pilih kita masuk syurga, kata Ustaz Fadhil. Kadar sumbangan memang tak cukup tapi setakat ini kita beri yang mampu. Yang  penting kita dapat hadirkan senyuman di wajah mereka," katanya.  - KitaReporters

Sukarelawan Malaysia yang datang memberi sumbangan musim sejuk Afghanistan bergambar kenangan bersama ketua masyarakat tempatan.


18
14
0
15
0
You will be interested