Politik & Negara 18 Apr, 2024

Misi Gila PMX! 183 hari penantian terungkai! Wajah isteri, anak-anak Nadir al-Nuri bukan lagi igauan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


BERMULA dengan pembabitan dalam misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza 12 tahun lalu, Muhammad Nadir  Al-Nuri Kamaruzman kini jatuh cinta sepenuhnya di bumi yang berkat itu. Perkahwinannya dengan wanita Palestin, Reem Al-Minawi pada 2016 menjadikan beliau bapa kepada lapan anak.

Namun, peristiwa 7 Oktober 2023 meragut segala-galanya apabila beliau terpaksa berpisah dengan isteri dan anak-anaknya yang menjadi pelarian berikutan serangan dan pengeboman tentera Yahudi di Gaza setiap hari sejak lebih enam bulan lalu.

Nadir mengikuti perkembangan mereka setiap hari, menghubungi atau mendapat berita daripada kenalan di Gaza yang memberitahu keluarganya berada di selatan Gaza, berlindung di sekolah dan waktu malam mendapat ihsan tinggal di rumah penduduk yang bermurah hati. 

Namun, keselamatan mereka seperti di hujung tanduk kerana tentera Zionis boleh melakukan apa-apa saja.



Dalam temu bual dengan Kitareporter.com pada Disember 2023, Nadir memberitahu beliau sering bermimpi mengenai anak-anak termasuk Ibrahim yang lahir pada 2021, sekarang berusia tiga tahun. Malah, beliau masih menaruh harapan untuk berjumpa keluarganya  selepas perang. 

Dalam satu mimpi, beliau merangkul anak perempuannya, Haura' Al Jinan, lima tahun. Dia juga bermimpi ditembak tentera Zionis Israel, mimpi anak-anaknya mati syahid, jatuh dari tempat tinggi dan beliau berlari mendapatkan mereka, mendokong dan cuba bercakap. 

Lepas terjaga, perasaannya terlalu sedih sehingga kaki pun menggeletar. Beliau reda jika kehilangan mereka tapi, alhamdulillah kisah sedih itu hanya dalam mimpi. Dan, sempena Aidilfitri 1445 Hijrah, beliau menerima hadiah paling istimewa dipertemu semula dengan isteri dan anak-anaknya untuk berhari raya di Malaysia.

Ikuti cerita Nadir bagaimana cabaran membawa pulang keluarganya dari kawasan perang di Gaza ke Malaysia dalam misi yang dianggapnya gila dan tidak masuk akal tapi dengan izin Allah, perkara itu menjadi kenyataan. Kini, isteri dan anak-anak sudah di hadapan mata. Alhamdulillah!

Nadir Al-Nuri (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Ahmad Farhan Fauzi (dua dari kanan) di pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri, Putrajaya.


"Hati saya hanya Allah sahaja yang tahu, betapa seluruh jiwa ini tertinggal di bumi Gaza. Anak kecil, wanita dan keluarga berpindah-randah saat rumah kami habis dimusnahkan.

"Naik turun emosi bila dapat berita jiran, sahabat dan kaum kerabat kami di sana terkorban saban hari. Di sana setiap 10 minit satu jiwa akan syahid! Waktu malam adalah waktu yang sukar untuk memejamkan mata saat mendapat berita ada seluruh keluarga sahabat terkorban akibat bedilan regim yang memang menyasarkan orang awam. Hasbunallah Wani'mal Wakeel!

"Dengan segala ujian, Allah pasti bersama kita kerana Dia selayaknya wakil susah senang hamba-Nya. 

"Kisah bermula saat Gaza sedang sengit berperang manakala keluarga saya berjaya mengharungi kepayahan dan sampai ke Rafah untuk menyelamatkan diri. Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, (Dr) Sani Araby atau nama sebenarnya, Ahmad Sani Araby Datuk Abdul Alim Araby diberikan peluang bertemu watak utama misi menyelamat sebulan lalu pada satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.

"Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respons ringkas "Saya akan bantu" dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya.

"Hati saya mula luluh, mungkin itu bahasa orang politik saja. Namun, dalam surat saya, ada saya akhiri ayat dengan 'Kepada Allah jualah kami berserah'. Saya langsung tawakal dan dan serahkan segalanya kepada Allah. 

Nadir Al-Nuri


"Sehari sebelum Aidilfitri, saya dihubungi Setiausaha Politik PMX, Ahmad Farhan Fauzi, watak penting yang mengusahakan misi ini. Sejak awal peperangan beliau kerap menjemput kami ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi kami bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di Gaza.

"Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan (Dr) Sani saja dibenarkan ke sana! Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie.

"Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan.

"Saya sudah biasa melalui perang di Gaza, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan. Tetapi misi ini saya katakan 'Misi Gila' kerana bukan mudah untuk dikeluarkan keluarga saya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan. 

"Namun, secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana; ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain.

"Prosesnya cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat. Kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan.

"Tetapi watak utama dalam 'Misi Gila' ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri! 

Posting di FB Nadir Al-Nuri mengenai berita besar misi kepulangan keluarganya dari Gaza ke Malaysia.



"Suka beliau atau tidak, dalam soal pemimpin, umat perlukan satu ketumbukan. Pemimpin pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Erdogan. Kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti.

"Tindakan PMX menghalang kemasukan kapal milik penjajah ke pelabuhan kita, ketegasan menyatakan sokongan kepada Hamas dan mutakhir jawapan berpendirian di hadapan Canselor Jerman menjadikan nama Malaysia disebut-disebut dalam kalangan marhaen di jalanan bumi penuh keberkatan selain menjadi bual bicara pada peringkat antarabangsa.

"Semoga kita terus bersatu membela nasib saudara kita, menjadi jaguh pada peringkat dunia dan berani mengiringi kata-kata dengan langkah dalam alam nyata.

"Untuk PMX, PMO, (Dr) Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua, Ameen!

"Adakah saya punya perancangan membawa keluar anak-anak sejak awal tercetusnya peperangan? Tidak pun. 

Anak Nadir, Ibrahim ceria membeli belah di sebuah pasaraya di Malaysia. 


"Saya sebutkan kepada keluarga di sana, bila sampai masanya, paling penting bila hati saya tenang mereka tetap akan keluar juga. Apabila keluarga berpindah dari rumah ke rumah, sekitar 5 hingga 6 kali di Bandar Gaza, kemudian ke Khan Yunus berjalan kaki seterusnya ke Rafah, kami masih bertahan.

"Apabila rumah mentua dibom dan tinggal debu berterbangan, kami masih bertahan. Apabila mendapat berita rumah keluarga sebelah ayah Naeem dibom dan dua orang makciknya serta suami serta anak-anak syahid, kami masih bertahan.

"Apabila tempat berlindung 60 ahli keluarga sebelah isteri pula dibom dan beberapa orang syahid sementara yang lain dipotong kaki, cacat tangan dan kecederaan-kecederaan lain, kami masih bertahan.

"Apabila berada di Khan Yunus dan makanan terpaksa dicatu, setiap hari diberikan separuh roti hanya untuk memastikan ada tenaga bersisa untuk bangkit esoknya, kami masih bertahan. 

"Tetapi, apabila anak bongsu mengalami komplikasi pernafasan, terpaksa dikejarkan beberapa kali ke hospital di tengah malam di bawah bedilan roket dan meriam, kami mula berfikir bahawa mungkin sudah cukup enam bulan kami bertahan.

"Lebih-lebih lagi apabila Rafah diancam untuk dilanggar oleh musuh durjana melalui jalan darat tanpa belas kasihan, kami menyebutkan mungkin Allah aturkan jihad kami bukan dengan adanya nyawa kami yang perlu dikorbankan.

"Saya terus menghubungi beberapa ulama di Palestin dan di Malaysia bertanyakan pandangan mereka hukum keluar daripada bumi perjuangan pada saat ini dan jawapan mereka seragam, melegakan. 

"Insya-Allah tak ada masalah untuk wanita dan kanak-kanak keluar selagi ada niat untuk kembali ke sana apabila keadaan membenarkan. Kami beristikharah dan bertawakal, perjuangan tak akan berakhir tetapi akan diteruskan walau tak berada di medan peperangan. 


Nadir bersama tiga anak kandungnya yang disatukan semula sempena Aidilfitri tahun ini.


"Justeru langkah memulakan misi bermula, roda-roda yang telah lama diatur digerakkan dan alhamdulillah 1001 tangan membantu menjayakan. Semuanya dengan kuasa Allah dan dengan izin-Nya.

"Keluar dari Gaza tak bermakna perjuangan terhenti tetapi silat di medan baharu akan bermula insya-Allah. Yang pasti, nikmat keluarga berada dalam keadaan selamat di sisi, ialah nikmat yang saya harapkan untuk semua.

"Bayangkan, saya membawa anak-anak membeli keperluan, mereka bersorak melihat telur dan coklat kerana selama enam bulan, telur dan coklat menjadi idaman. Adakah kami sudah melakukan yang terbaik, secukupnya? Itu biarlah Allah yang menentukan. Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah!!

"Selepas usaha panjang akhirnya kami disatukan. Perbincangan beberapa bulan. Pendapat ramainya ulama. Usaha begitu banyak pihak. Dan paling penting doa kalian semua. 

"Banyak yang perlu kami ceritakan, hero yang perlu kami dendangkan tetapi buat masa ini biarlah kalian beraya, sehingga esok lusa. Selepas itu kami akan ceritakan bagaimana ia bermula, siapa di balik tirai misi 'gila'.

"Untuk hari ini, terima kasih kepada semua atas hadiah paling istimewa di hari raya pada tahun ini (2024) dan tahun-tahun sebelumnya. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin semua. Dan dari sedalam hati kami, terima kasih!." - KitaReporters


15
19
0
14
1
You will be interested