
"Saya ucapkan penghargaan kerana majoriti besar rakyat memilih untuk menjaga kaum mereka dalam konteks negara... menjaga negeri mereka dalam konteks negara Malaysia dan tidak melihatnya dari segi corong yang sempit yang mengundang perpecahan dan malapetaka," katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada penutupan program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya pada Ahad 7 Disember.Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz.Perdana Menteri turut menyatakan setinggi penghargaan kepada dua timbalannya, barisan Kabinet serta pimpinan penjawat awam yang membantu pentadbirannya merangka dasar yang membawa kesejahteraan kepada rakyat.
"Tidak mungkin berubah jika tidak ada wawasan serta tekad politik dalam kalangan pimpinan untuk menyatakan bahawa tanggungjawab kita adalah untuk melakar satu dasar dan melaksana yang sebaiknya.
"Ukuran kejayaan kita bukan saja pertumbuhan tetapi keselesaan kepada rakyat keseluruhannya," katanya.
Justeru Perdana Menteri menegaskan bahawa penjawat awam mempunyai tugas dan tanggungjawab melaksanakan semua dasar dan inisiatif kerajaan supaya ia dapat dimanfaatkan golongan sasar walaupun menerima kecaman dan ada perbezaan pendapat.
Anwar berkata, ketika ini ada 167 inisiatif baharu untuk rakyat, namun ada kalanya ia tidak sampai kepada golongan sasar dan kerajaan terpaksa berdepan dengan perasaan tidak puas hati dan kemarahan rakyat."Saya bincang dengan Zahid serta Fadillah dan saya dengar dalam forum (tadi), Zahid kata ada 140 ikhtiar untuk inisiatif baharu."Sebenarnya, kalau kita kira (ada) 167, tetapi tidak sampai kadang-kadang kepada khalayak."Yang sampai itu, hanya sampah dan sumpah dan maki hamun kerana dalam negara demokrasi dan bebas, dengan (ada) media sosial, itu digunakan tidak untuk membina tetapi untuk menghina," katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Madani turut melancarkan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0 yang menawarkan kadar pampasan yang lebih tinggi bagi melindungi kesejahteraan rakyat berpendapatan rendah.
Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan meluluskan skim dengan peruntukan awal RM20 juta yang bermula sejak 1 Oktober 2025 lalu sehingga 30 September 2026."Bagi SIKR 3.0, kadar pampasan ditingkatkan kepada RM13,500 untuk kematian semula jadi, RM26,500 bagi kematian akibat kemalangan serta RM13,500 bagi kecacatan kekal akibat kemalangan," katanya.Beliau berkata bagi pelaksanaan SIKR 3.0, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri akan memeterai memorandum persefahaman dengan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN).SIKR adalah pelan takaful berkelompok eksklusif patuh syariah percuma yang ditaja oleh Kerajaan bagi melindungi 300,000 ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih di bawah bidang kuasa ICU JPM.SIKR siri pertama dilancarkan pada 2022, dengan sumbangan premium oleh kerajaan berjumlah RM13.4 juta bagi melindungi seramai 268,887 KIR eKasih.Kadar pampasan di bawah SIKR 2.0 ditingkatkan kepada RM10,500 bagi kematian normal, RM25,500 bagi kemalangan serta RM10,500 bagi kecacatan kekal akibat kemalangan.
Sementara itu, Anwar berkata Sahabat Penggerak Madani dilancarkan sebagai satu inisiatif sukarelawan nasional yang berperanan memperluas jangkauan agenda Malaysia Madani serta memperkukuh komunikasi dasar kerajaan pada peringkat akar umbi.
"Setakat Disember 2025, kita sudah mengumpul 3,000 sukarelawan yang menjadi Sahabat Penggerak Madani. Tanggungjawab mereka adalah menyampaikan naratif kenegaraan, menjadi penceramah, fasilitator dan jurulatih," katanya.
Bagi menghargai sumbangan mereka, Anwar berkata, sukarelawan terbabit akan menerima kad pengenalan rasmi, akses latihan daripada Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) serta pelbagai manfaat melalui rakan strategik seperti Mydin dan Hotel Seri Malaysia.
Selain itu, Perdana Menteri berkata sukarelawan berkenaan juga akan diberikan sijil penglibatan rasmi sebagai pengiktirafan status sukarelawan negara.
Program Rancakkan Madanu selama tiga hari yang bermula Jumaat, 5 Disember 2025 menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.
