Politik & Negara 08 Sep, 2025

Kena belajar daripada sejarah! Majlis Sejarawan Negara dilancarkan! Demi jati diri bangsa kita! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Demi memperkukuh jati diri bangsa, menegakkan maruah negara, dan memperdalam pemahaman terhadap sejarah, peradaban serta tamadun, Kerajaan Madani memutuskan untuk melancarkan Majlis Sejarawan Negara (MSN).


 


Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, majlis ini akan berperanan sebagai wadah wacana, pengukuh naratif kebangsaan, dan penasihat kepada kerajaan bagi memastikan sejarah terus hidup, segar dan memberi makna kepada masyarakat serta generasi muda.

"Dalam mengejar kemajuan, negara sering berlari ke arah pencapaian ekonomi, industri dan teknologi baharu. 

"Namun untuk benar-benar memaknakan gagasan Malaysia Madani, kerajaan tidak boleh mengabaikan sisi yang membentuk roh dan jiwa bangsa iaitu sejarah, budaya, dan nilai peradaban," jelas beliau ketika meluncurkan Majlis Sejarawan Negara di Putrajaya pada Isnin, 8 September 2025.

Beliau berkata, sejarah bukan sekadar catatan masa lalu. 

"Ia adalah medan untuk menilai akar peradaban, mengenal kekuatan identiti, serta mengingatkan kita tentang bahaya kerakusan kuasa, kezaliman dan kepincangan sistem. 



"Dari Ibn Khaldun yang menekankan ibrah sejarah, sehingga Henri Pirenne yang menunjukkan bagaimana pertembungan Islam dan Eropah membentuk tradisi moden, kita belajar bahawa sejarah sentiasa menjadi pendorong kemajuan.

"Begitu juga, kita sedar bagaimana kolonialisme telah cuba membentuk pemahaman kita melalui tokoh-tokoh seperti Stamford Raffles, Snouck Hurgronje, Macaulay dan Cromer," tambahnya.

Namun, kata Perdana Menteri, tugas kita kini adalah untuk merumuskan semula naratif, dengan berpaksikan pandangan dan pengalaman bangsa sendiri.

"Bahkan dalam dunia digital dan kecerdasan buatan (AI), nilai sejarah dan akhlak menjadi asas penting. 

"Jika kita sekadar menyalin pandangan asing tanpa mempertahan identiti dan warisan sendiri, kita akan hilang arah. Teknologi hanya akan bermakna jika ia berpaksikan nilai, budaya, bahasa dan sejarah bangsa," tegas Anwar.

Beliau menekankan bahawa tamadun tidak akan tegak dengan teknologi semata-mata. 

"Tamadun dibangunkan dengan budaya, dengan sejarah, dengan ketinggian ilmu serta pemikiran yang membumi. 

"Justeru, Madani menuntut kita bukan sahaja mengejar disiplin baharu, tetapi juga memperkukuh kecintaan terhadap sejarah, sastera dan budaya kerana inilah tiang seri tamadun Malaysia," ujarnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


7
14
0
11
0
You will be interested