Politik & Negara 04 Aug, 2023

Impak Maksima| Video| PRN Selangor! Khairuddin Othman hilang momen bersama keluarga demi bantu rakyat!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Kak Fas bukanlah wartawan politik yang sentiasa mengkhususkan penulisan terhadap senario politik negara namun tidak bermakna Kak Fas tidak boleh mengupas mengenai hal ehwal politik cuma ketika bertugas di Utusan Melayu, para wartawan diajar untuk menulis pelbagai topik sama ada hal ehwal semasa, jenayah, mahkamah, lifestyle (gaya hidup), wanita, hiburan dan sebagainya.

Utusan mengajar wartawan mereka agar mampu menulis semua subjek dan tidak tertumpu pada satu ruang sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh setengah syarikat penerbitan pesaing contohnya jika menjadi wartawan hiburan, dia akan diletakkan di bahagian itu selama kariernya berakhir.

Sepanjang lebih kurang 28 tahun dalam bidang kewartawanan di Kumpulan Utusan Melayu, Kak Fas ditempatkan di beberapa meja antaranya Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, majalah Wanita, majalah HAI dan meja penyunting malah sebelum itu ditugaskan sebagai Pemberita di cawangan Utusan Ipoh dan banyak menulis berita jenayah dan mahkamah.

Kini sebagai wartawan bebas dan juga menulis dalam blog sendiri (Kak Fas Online), Kak Fas terus mempelbagaikan penulisan dengan menghadiri majlis-majlis jemputan sama ada dalam bidang lifestyle, hiburan, teknologi mahu pun politik walau pun politik memang jarang sekali Kak Fas ‘cover’ kecuali menemuramah tokoh-tokoh politik sebagaimana yang pernah Kak Fas lakukan dalam ruangan ‘Personaliti’ ketika  di majalah Wanita dahulu.

Antara yang Kak Fas pernah temu ramah personaliti VVIP adalah dalam kalangan Menteri Kabinet, Ketua Ketua Menteri mahu pun ahli-ahli politik semasa. Memang ramai,  jadi jika nak sebut nama satu persatu panjang pulak nanti..  

Terbaharu menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN), sudah tentu calon-calonnya khususnya yang berada di negeri Selangor Darul Ehsan giat berkempen menjelang tarikh pengundian yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.




Dan kebetulan tanpa dirancang Kak Fas dijemput oleh rakan seperjuangan sebagai antara pengamal media sosial  di bawah kumpulannya untuk menemu ramah calon DUN N38 Paya Jaras iaitu penyandangnya, Mohd Khairuddin Othman, 52,  yang mahu mempertahankan kerusinya buat kali ketiga sebagai wakil rakyat DUN Paya Jaras.

Dalam arena politik nama Mohd Khairuddin tidak perlu diperkenal lagi waima sejak dua penggal memimpin kawasan Paya Jaras dan penglibatannya yang lama dalam politik sudah tentu banyak laporan yang dibaca berhubung keberkesanannya membawa pembangunan sekitar kawasan Paya Jaras. Tak perlu rasanya Kak Fas ulanginya.

Namun pada sisi peribadinya barangkali tidak banyak yang diketahui mengenai bekas peguam berasal dari Kampung Bahru ini malah nak bertanya pada  'Mr. Google’ sekali pun tidak akan terbit personaliti atau hal peribadi Mohd Khairuddin Othman sebelum bergelar ‘Yang Berhormat’.

“Saya suka menyimpan kehidupan saya pada diri saya sendiri. Anak-anak pun tidak mahu dikenali sebagai anak YB dan sejak berkecimpung dalam politik lebih 40 tahun anak-anak membesar dengan memori yang sangat sedikit bersama ayah mereka,” kenang Khairuddin ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Paya Jaras baru-baru ini.

Mempunyai tiga orang anak perempuan, Khairuddin bersyukur anak-anaknya memahami tugasan ayah mereka malah jika pulang awal dari jam 11.30 malam atau berada di rumah pada hujung minggu contohnya mereka akan bertanya, ‘kenapa ayah balik awal, kenapa ayah duduk rumah'’.

“Ini kerana mereka dah biasa dengan ketiadaan saya di rumah. Mereka tidak ada memori panjang dengan saya,” kenang Khairuddin atau lebih mesra dengan sapaan YB dalam kalangan media sehingga kini. 



Mendengar bicaranya sebegitu, Kak Fas percaya itulah Impak Maksima dialami seorang ahli politik yang meletakkan kepentingan rakyat melebihi kaum keluarga sendiri.

Kak Fas tabik pada keluarga beliau yang benar-benar memahami tugasannya  waima penglibatannya dalam politik daripada profesion asalnya seorang peguam bukanlah untuk mengejar kemewahan apatah lagi jawatan penting dalam parti atau negara.

“Saya masuk poitik bukan ada cita-cita besar tetapi mahu berkhidmat membela nasib golongan B40 yang teraniaya atau yang memerlukan bantuan,” tegasnya terus terang sambil berkata, di mana Allah SWT meletakkan kedudukannya di situlah dia akan setia berkhidmat selagi diperlukan masyarakat.

Nampak ketelusan hati Khairuddin yang walau pun tidak mengenalinya lebih dekat Kak Fas dapat melihat ciri ciri seorang yang merendah diri dan mesra meskipun berkedudukan tinggi.

Kala pertama kali bertemu dengannya secara dekat beliau berkata, ‘Siapa ni.. oh saya kenal’ memotong sekali gus jawapan Kak Fas untuk memperkenal diri padahal  rasanya baharu sekali bertemu dengannya pada satu majlis beberapa tahun lalu. Itu pun dah lama tapi beliau masih ingat.


Bersama Kak Fas..."Saya calon nombor 2 di atas kertas undi' kata YB.


Cukup kuat ingatan YB ni terus Kak Fas terdiam senyum tanpa meneruskan pengenalan diri. 

Karakternya dapat disimpulkan seorang tokoh yang berpijak di bumi yang nyata, tidak berlagak malah mudah didekati maka tidak hairanlah beliau berjaya mendapat mandat dan kepercayaan rakyat memimpin Paya Jaras selama dua musim.

Dan melihat kepada kebolehannya bermain dram dan sukakan muzik genre rock memperlihat gaya hidup YB ini seorang yang berjiwa seni dan memang tepatlah beliau memegang tampuk Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan sebelum ini.


Gambar bersama Amy Search ini yang dimuat naik dalam laman Instagramnya pada tahun 2018 menunjukkan YB mudah mesra dan berjiwa seni.



Selain itu, keutamaan yang diberikan terhadap membantu golongan susah bukan bertujuan memancing undi memandangkan sejak bergelar peguam beliau banyak melunaskan kerja-kerja secara ‘probono’ atau percuma iaitu membantu golongan susah sehingga pernah ditangkap oleh Jabatan Agama Islam kerana mempertahan surau di negeri Perak dalam tahun 2002.

Berkongsi lanjut,  katanya, beza antara menjadi peguam dan ahli politik "hak nak bergaduh dan marah dah tidak ada kerana sekarang rakyat yang akan marah kita, bahkan hak bersama keluarga pun dah hilang, keluarga hanya memiliki jiwa kita sedangkan sebahagian besar daripada waktu terluang, badan kita adalah milik rakyat."

Bagi Khairudin prinsipnya, enggan merendah mahu pun memalukan masyarakat pada mata umum.

Kerana itu beliau tidak pernah memuat naik sebarang gambar berbentuk menghulurkan bantuan dalam laman Facebook atau platform sosial medianya.

“Saya tidak mahu gambar itu kelak akan memalukan anak-anak keluarga terbabit yang mungkin tidak suka didedahkan gambar ibu bapa mereka menerima bantuan,” tegas YB walau pun pada hakikatnya beliau telah membantu lebih 18,000 orang individu sepanjang bergelar YB namun satu pun gambar tidak didedahkan kepada umum kecuali untuk rekod pentadbirannya sahaja,

Memang tepatlah slogan yang diplilihnya dalam pilihan raya ini iaitu ‘Kekal Berkebajikan’ memandangkan itulah pegangan dan teras perjuangannya sebaik menjejakkan kaki dalam arena politik sepanjang lebih 25 tahun lalu.


Buat perama kalinya mendapat sokongan parti Barisan Nasional yang membentuk Kerajaan Perpaduan  bersama Pakatan Harapan.


Masih mahu terus menimba ilmu, Khairudin yang juga memiliki dua siji diploma dalam Pengajian Perniagaan (UiTM) dan Diploma Pentadbiran & Kehakiman Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, sedang melanjutkan pengajiannya untuk memegang gelaran Doktor Falsafah dalam Politik Psikologi & Perang Media di UiTM.

“Cita-cita saya seterusnya mahu  mahu menjadi pensyarah dalam pengajaran Sains Politik yang sebenarnya mengikut pengalaman saya sendiri,” ujar Khairuddin sambil berikrar akan terus memperhamba dirinya kepada rakyat selagi diperlukan.

Jika dipilih dan mendapat kepercayaan rakyat katanya, beliau tidak akan mensia-siakan harapan yang telah diletakkan ke atas bahunya.

Meletakkan 28 perancangan yang dirangka sebagai manifestonya, Kak Fas melihat pelannya untuk mewujudkan Pusat Rehat P-Hailing Sg Buloh sebagai satu pembaharuan yang perlu direbut golongan muda. 

“Dengan adanya pusat rehat ini dapatlah golongan belia yang terlibat dalam p-hailing berehat mahu pun bersolat dan tidak melepak di merata tempat atau kedai minum sebelum mendapat pesanan untuk penghantaran,” ujar Khairuddin, seterusnya berjanji akan mencari peruntukan untuk membina pusat tersebut. 



Sesungguhnya seketika bersama YB, banyak luahannya yang menyebabkan Kak Fas dapat membaca hati budinya yang jelas terpancar dari wajahnya di mana harapannya mahu membantu rakyat Selangor di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan untuk terus kekal berharmoni sebagaimana laungannya “Ayuh, Kita Semarakkan Aura Gelombang Perpaduan di DUN Paya Jaras". 

Pada PRN 2023 ini, menyaksikan Khairuddin (Pakatan Harapan) akan menentang  calon Pas, Profesor Datuk Ab. Halim Tamuri  (gambar bawah, kiri) dan calon Bebas, Nurhaslinda Basri

Semoga dengan kejayaan buat kali ketiga kelak, dapatlah Khairuddin menyempurnakan segala hasrat yang terpendam untuk pembangunan kawasan dan rakyat di Paya Jaras  dengan tenang. 

Kak Fas yakin beliau mampu! Selamat Maju Jaya YB Khairuddin! - KitaReporters


Khairuddin (tengah) bersama calon lawannya Ab. Halim dan Nurhaslinda. ketika penamaan calon baru-baru ini; Foto kredit: utusan.com.my

10
8
0
13
0
You will be interested