Politik & Negara 26 Sep, 2019

PRK TANJUNG PIAI: UJIAN PERTAMA MUAFAKAT NASIONAL

@luqman haziq abdullah
Bekas Ketua Biro Utusan Malaysia Johor

Share this

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang bakal diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya Sabtu (21 September) lalu pasti menjadi ujian pertama  bagi Barisan Nasional (BN) selepas termeterainya Piagam Penyatuan Ummah antara UMNO-Pas yang menerbitkan perjuangan aspirasi baharu, Muafakat Nasional.

Ini kerana keputusan PRK tersebut nanti dijangka memberi kesan besar terhadap situasi dan cuaca politik tempatan dan nasional.

Antaranya, apakah gagasan perjuangan Muafakat Nasional diterima oleh pengundi, khususnya orang Melayu atau Pakatan Harapan (PH) yang sudah pasti memberi kepercayaan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal diberi mandat mewakili kawasan tersebut?

Walaupun secara matematik memberi kelebihan kepada calon BN apabila digabungkan jumlah undi yang diperoleh BN dan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14)  pada Mei 2018, namun itu tidak mencerminkan realiti sebenar masa ini.

Berdasarkan keputusan PRU-14, Datuk Dr. Mohamed Farid Md. Rafik, 43, yang mewakili Bersatu namun menggunakan lambang PKR hanya menang tipis, iaitu dengan 524 undi menewaskan penyandang, Datuk Wee Jeck Seng daripada BN.

Mohamed Farid meraih 21,255 undi, manakala Jeck Seng mendapat 20,731 dan calon Pas, Nordin Othman memperoleh 2,962 undi.

Andai diambil kira kerjasama antara UMNO-Pas yang terjalin baru-baru ini, PH dilihat menghadapi saingan sengit untuk mendepani calon BN, sama ada kerusi tersebut bakal ditandingi wakil daripada MCA, UMNO atau Pas pada PRK nanti.

Sekiranya digabungkan undi yang diperoleh Jeck Seng dan Nordin,  iaitu 23,693 pada PRU-14, nyata jumlah tersebut melebihi 21,255 undi yang diraih Mohamed Farid.

Walaupun kerusi tersebut tradisinya bukan milik UMNO, tetapi ditandingi MCA, namun parti komponen yang mewakili kaum Cina tersebut pasti ingin terus mewakili BN dalam PRK itu kelak.

Namun, dalam tempoh lebih setahun menjadi wakil rakyat Tanjung Piai, Allahyarham Mohamed Farid pasti mampu mengukuhkan pengaruhnya dan parti di kawasan tersebut.

Malah, Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik turut diberi peranan besar pada peringkat pusat apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Dr. Mahathir.

PRK itu juga nanti bakal memberi 'mesej' jelas kepada parti-parti yang bertanding sama ada PH mampu meneruskan gelombang perubahan rakyat yang dibawa sehingga menumbangkan kerajaan BN pada PRU-14.

Berdasarkan komposisi pengundi yang digunakan pada PRU14, kawasan Parlimen berkenaan mempunyai 53,528 pengundi dengan 56.80% Melayu, 41.64% Cina, india 1.01% dan Lain-Lain 0.55%.

Sebagai rekod, Mohamed Farid disahkan meninggal dunia pada pukul 6 pagi 21 September lalu di Hospital Pontian dipercayai akibat serangan jantung.

0
0
0
0
0
You will be interested