Politik & Negara 08 Dec, 2025

Berita baik buat rakyat! Agensi Ombudsman Malaysia ditubuh untuk urus, selesaikan aduan awam! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Kerajaan hari ini (Isnin, 8 Disember 2025) mengumumkan bersetuju untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat bagi mengurus dan menyelesaikan aduan awam.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan agensi ombudsman atau wakil kepada rakyat atau orang awam itu untuk memperkukuh hak rakyat serta memelihara integriti sektor awam.

Katanya, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 8 yang dipengerusikan, beberapa persetujuan penting melibatkan pembaharuan dasar dan perundangan telah dicapai.

Pembaharuan tersebut, tambahnya, bagi memperkukuh keberkesanan serta integriti pentadbiran Kerajaan dan perkhidmatan awam.

"Mesyuarat bersetuju menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat bagi mengurus dan menyelesaikan aduan awam dengan mandat lebih menyeluruh merangkumi salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat. 

"Penubuhan ini menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh hak rakyat serta memelihara integriti sektor awam," jelas beliau.

Menurut Perdana Menteri, Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia dijadual akan dibentangkan pada awal 2026.



Sementara itu, Anwar berkata, Kerajaan Madani turut menitikberatkan peningkatan pematuhan korporat bagi syarikat yang mengurus dana awam, supaya mandat sosial mereka dilaksana mengikut standard tadbir urus yang baik dan berlandaskan kerangka undang-undang yang lebih tersusun.

"Ini termasuk cadangan undang-undang baharu bagi menyelaras Perusahaan Dimiliki atau Dikawal Kerajaan (State-owned Enterprise atau SOE), termasuk anak syarikat badan berkanun.

"Segala persetujuan ini mencerminkan iltizam teguh Kerajaan Madani untuk terus memacu reformasi institusi, dasar dan perundangan secara holistik demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap ketelusan pentadbiran negara serta mutu perkhidmatan awam," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
8
0
14
0
You will be interested