Politik & Negara 19 Aug, 2025

Video| Jom turun! 100K akan hadir! Banjiri Dataran Putrajaya! Bersama sambut Hari Kebangsaan 2025!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this




Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan disambut setiap tahun pada 31 Ogos untuk memperingati hari Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada tahun 1957. Tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-68 kemerdekaan Malaysia.

Tahun 2024, temanya ialah Malaysia Madani: Jiwa Merdeka, tetapi Hari Kebangsaan 2025 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya, tema yang dipilih adalah “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”.

Tema ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial, dan keadilan di mana kebajikan rakyat menjadi keutamaan.


Perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia pada 31 Ogos setiap tahun.


Justeru, Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan sedang giat membuat persediaan logistik untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 dan menerima kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung.

Jurutera PPj, Faridz Amli Shaharudin, berkata kemudahan disediakan termasuk 8,000 tempat duduk untuk orang ramai yang akan dibuka seawal jam 5 pagi pada hari acara.

Beliau berkata, kemudahan lain ialah 200 tandas awam, lima surau sementara, dua surau bergerak, 18 khemah perubatan, lebih 40 tapak trak makanan serta 14 skrin LED di sepanjang laluan perbarisan sejauh 2.1 kilometer dari tapak berkumpul sehingga Dataran Masjid Putra.


Faridz Amli Shaharudin.


"Bagi kemudahan pengunjung, kami menyediakan pengangkutan percuma, termasuk 80 bas ulang-alik bermula seawal jam 4 pagi dari tiga lokasi utama, iaitu Putrajaya Sentral, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan di sekitar Bulatan Putrajaya, selain enam teksi air dan tiga Cruise Tasik Putrajaya," katanya dalam temu bual dengan Bernama Radio.

Secara keseluruhan, katanya persiapan setakat ini mencapai 70 peratus yang dilaksanakan oleh 17 jawatankuasa kerja membabitkan pelbagai agensi bagi memastikan semua aspek teknikal, logistik dan keselamatan berjalan lancar.

"Setakat ini, pemasangan Royal Box (kotak diraja) serta 1,400 tempat duduk individu kenamaan pula sudah mencapai hampir 80 peratus," katanya lagi.


Peserta terdiri daripada pelajar sekolah sekitar Putrajaya dan Selangor tekun menjalani latihan sempena Hari Kebangsaan 2025.


"Sesi raptai awal sambutan akan diadakan bermula 26 Ogos 2025 ini, manakala raptai penuh dijadualkan pada 29 Ogos dan boleh disaksikan oleh orang ramai.

Beliau turut mengingatkan pengunjung agar mematuhi peraturan keselamatan, menjaga kebersihan dan membawa kelengkapan seperti payung atau baju hujan memandangkan acara berlangsung di kawasan terbuka.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan 2025 turut dimeriahkan dengan program prasambutan, Riuh Merdeka, selama 30 jam bermula jam 12 tengah hari pada 30 Ogos 2025 ini di kawasan Monumen Alaf Baru yang menampilkan aktiviti menarik seperti konsert, wayang pacak dan gerai jualan. 

Sambutan turut dilengkapi dengan acara komuniti seperti Karnival Kita Madani, fun run, konvoi dan pameran “Bakti Komuniti Madani”, termasuk penyertaan besar-besaran dalam aktiviti darat dan air.


Pelajar-pelajar sekolah sekitar Putrajaya dan Selangor berehat sebentar selepas menjalani latihan sempena Hari Kebangsaan 2025.


Selain itu, 2,000 pelajar dari 50 sekolah di Selangor yang terbabit dalam persembahan grafik manusia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 memperuntukkan kira-kira 300 jam berlatih bagi menjayakan persembahan di Dataran Putrajaya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan 2025 melalui platform media sosial rasmi sambutan, Merdeka360. - KitaReporters

18
12
0
13
0
You will be interested