Politik & Negara 31 Dec, 2023

Perhimpunan Sejuta Rakyat Untuk Palestin! 24 Feb 2024, KL! Bangkit tentang terorisme aparteid Israel!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Kami dengan ini mengumumkan suatu perhimpunan berskala mega rakyat Malaysia akan diadakan untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan mendesak perang di Gaza dihentikan serta merta.

Dijangka perhimpunan itu akan diadakan pada 24 Februari 2024 di Kuala Lumpur yang akan dianjurkan oleh gabungan badan sivil Malaysia yang merentas bangsa dan agama.

Tujuan perhimpunan ini adalah untuk menyatakan pendirian rakyat Malaysia terhadap jenayah kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan oleh aparteid Israel ke atas Palestin di bawah sokongan dan biayaan Amerika Syarikat.

Perhimpunan ini adalah refleksi daripada sentimen rakyat seluruh dunia yang bangkit menentang terorisme aparteid Israel.  

Ratusan ribu rakyat di kota-kota besar di seluruh dunia berhimpun dijalan raya sejak perang Gaza tercetus. 

Desakan rakyat adalah bagi PBB bertindak serta merta untuk menghentikan perang dan memberi akses kepada bantuan kemanusiaan disampaikan kepada mangsa keganasan aparteid Israel ke atas warga Gaza.



Palestin di Gaza kini menjadi tunjuk arah moral (kompas moral) dunia untuk mengukur tahap kemanusiaan masyarakat antarabangsa.

Jika apa yang berlaku sekarang di Gaza tidak menggugah nurani, maka tahap kemanusiaan masyarakat antarabangsa boleh dianggap telah lenyap.

Jika keganasan yang meragut nyawa lebih 21,200 termasuk hampir 9,000 kanak-kanak, 6,000 wanita di Gaza dan 200 masjid dimusnahkan, tidak menyentuh perasaan seorang Muslim, maka keimanannya boleh dipersoal.

Kami mempersoal apa jadi kepada resolusi gencatan senjata kemanusiaan yang dilulus di Majlis Keselamatan PBB beberapa hari yang lalu?

Aparteid Israel terus menyerang dan membunuh lebih 200 warga Gaza hatta pada perayaan Hari Natal.

Ternyata, seperti sudah dijangka, aparteid Israel tidak mempedulikan apa sahaja keputusan PBB dan pendapat dunia. 

PM Isael, Benjamin Natanyahu tahu AS tidak akan menghalang aparteid Israel meneruskan jenayah genosid di Gaza. 

Malah AS akan terus memberi perlindungan politik kepada Israel di samping membekalkan senjata tercanggih untuk Israel "menyempurnakan" matlamatnya melenyapkan Gaza dan warganya dari peta dunia.

Perhimpunan ini akan menghantar mesej yang kuat daripada rakyat Malaysia kepada PBB untuk segera bertindak menyekat Israel dari terus melakukan serangan ganas ke atas Gaza.



Kami akan memohon kerjasama daripada pihak berkuasa agar membantu kami melaksanakan perhimpunan ini dengan aman dan lancar.

Perhimpunan ini akan melibatkan seluruh rakyat Malaysia dalam kalangan ahli NGO, komuniti akar umbi, mahasiswa, ahli kariah masjid, kesatuan sekerja, ahli agama dan profesional, aktivis politik serta usahawan.

Kami menyasarkan 1,000 NGO akan mendaftar dalam gabungan Perhimpunan Sejuta Rakyat. Ini termasuk  sasaran sejumlah 1 000 kariah yang akan digembleng untuk menyertai perhimpunan ini.

Slogan adalah "Kami semua Palestin" (We are all Palestinians) akan menjadi seruan kepada seluruh rakyat untuk bersama dalam perhimpunan ini. 

Slogan ini adalah tanda solidariti rakyat Malaysia  kepada Palestin. Bahawa pembantaian Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza adalah juga pembantaian ke atas kemanusiaan semuanya di seluruh dunia.

Kami ingin menyatakan pendirian bersama kerajaan untuk menyatukan seluruh Malaysia merentas bangsa dan agama atas nama kemanusiaan dan keadilan sejagat, bahawa penaklukan aparteid Israel mesti ditamatkan, aparteid Israel mesti dihukum atas jenayah perangnya ke atas Palestin serta hak rakyat Palestin ke atas tanah mereka perlu dikembalikan serta merta.


Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan

Kordinator Perhimpunan Sejuta Rakyat Untuk Palestin.


9
9
0
13
1
You will be interested