
Lawatan ini tidak bererti Malaysia berpihak kepada mana-mana blok kuasa, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Hubungan dengan Rusia tidak menjejaskan persahabatan kita dengan Amerika Syarikat, China atau mana-mana rakan dagang lain.
"Malaysia berhak menentukan hala tuju secara bebas dan berprinsip demi kepentingan rakyat kita," jelas beliau kepada media Malaysia.
Terdahulu dalam sidang medianya pada akhir lawatan rasmi ke Rusia pada 17 Mei 2025, Anwar menegaskan mengenai kejayaan bermakna yang dicapai dalam memperkukuh persahabatan Malaysia-Rusia, meneroka ruang kerjasama strategik baharu dan memperluas peranan Malaysia sebagai jambatan antara dunia Islam dan kuasa besar global.
"Pertemuan bersama Presiden Vladimir Putin membuka potensi perdagangan, pelaburan, pelancongan, di samping menyimpulkan penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia.
"Beliau turut nyatakan dukungan terhadap kerjasama dalam industri halal dan kewangan Islam. Saya menghargai hubungan persahatan yang terjalin dengan Presiden Putin," kata beliau.

Beliau menulangi kenyataan bahawa beliau telah juga bangkitkan isu MH17 di hadapan Presiden Putin.
"Malaysia berpegang pada prinsip bahawa kebenaran mesti ditegakkan demi keadilan buat mangsa serta keluarga mereka," tegasnya.
Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Mikhail Mishustin, katanya, Malaysia mengadakan perbincangan kerjasama dalam bidang pertanian termasuk koko dan minyak sawit, serta usaha menyelesaikan isu-isu yang membantutkan usaha dagangan dua hala.
"Sesi meja bulat bersama 24 syarikat utama Rusia membuka potensi kerjasama dalam pelbagai sektor daripada produk berasaskan sawit, industri kimia dan perabot, sehinggalah teknologi digital dan kecerdasan buatan. Minat yang ditunjukkan amat memberangsangkan," tambahnya.
Sementara itu, di Kazan, kata Perdana Menteri, beliau telah menyampaikan ucaptama di Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik "Russia-Islamic World" dan Kazan Forum.
Katanya lagi, Malaysia menegaskan bahawa dunia Islam harus bangkit sebagai kuasa yang membina keamanan, keadilan dan harapan. Anwar turut bertemu dengan Mufti Rusia, Presiden Turkmenistan dan tokoh-tokoh utama dunia Islam.
"Alhamdulillah, delegasi Malaysia membawa pulang pengalaman yang amat berharga dari Rusia, sama ada dalam memperkukuh hubungan dua hala dan merintis kerjasama baharu mahupun penghayatan sejarah, kekayaan budaya serta semangat ketahanan rakyatnya.
"Penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa dan persahabatan yang dihulurkan," ujar Perdana Menteri.

Sebelum itu, pada pertemuan Putin di Kremlin pada 14 Mei 2025, Perdana Menteri turut membawa suara rakyat Malaysia berhubung tragedi MH17.
"Dalam semangat keterbukaan dan saling menghormati, saya bangkitkan perkara ini secara terus kepada Presiden Putin.
"Malaysia kekal berpendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus ditegakkan secara adil dan menyeluruh," jelas beliau.
Anwar turut menyatakan pendirian konsisten Malaysia dan ASEAN dalam mendepani isu geopolitik, yakni menolak tindakan unilateral dan berpegang pada kepusatan ASEAN.
Prinsip kedaulatan, integriti wilayah dan penyelesaian secara aman,kata beliau, adalah asas utama dalam dasar luar Malaysia dan negara serantau.
"Saya nyatakan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan yang berprinsip dalam kerangka multilateralisme. ASEAN dan negara-negara Selatan Global perlu diberi ruang untuk menentukan hala tuju sendiri, tanpa dipaksa untuk memihak dalam persaingan kuasa besar," katanya lagi.

Perdana Menteri juga merakamkan penghargaan kepada Presiden Putin atas sokongan terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS.
"Kami percaya BRICS mampu menjadi saluran baharu untuk kerjasama pembangunan yang lebih adil dan seimbang bagi negara-negara membangun.
"Pada akhir pertemuan, saya menjemput Presiden Putin untuk berkunjung ke Malaysia sama ada dalam masa terdekat atau sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober ini.
"Kehadiran beliau akan menjadi pemangkin penting ke arah hubungan dua hala dan kerjasama serantau yang lebih utuh," kata Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
