Politik & Negara 01 Feb, 2025

Dulu lawan aparteid Afrika Selatan! Sokong misi kemanusiaan Bosnia! Mengapa tidak kekejaman di Gaza?

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Kekejaman dan kezaliman di Gaza


Saya terpanggil untuk menyanggah beberapa pandangan dangkal termasuk dari seorang mantan Menteri yang telah mendakwa bahawa Malaysia perlu lebih mengutamakan rakyat sendiri ketimbang nasib rakyat Palestin yang nun 7600km jauh dari tanah air. 

Ternyata ia bukan sekadar hujah yang kurang cerdik, tetapi juga mencerminkan satu gejala kejahilan moral yang membimbangkan.

Justeru, adalah kita hanya perlu bersuara dan berjuang untuk keadilan jika ia berlaku dalam lingkungan sempadan negara sahaja? 

Jika itu logiknya, maka kita tidak sepatutnya mengutuk keras kezaliman aparteid di Afrika Selatan dahulu. Jika itu hujahnya, maka kita juga tidak perlu menghantar bantuan kemanusiaan ke Bosnia semasa pembantaian yang amat dahsyat di Srebrenica. 

Namun, sejarah membuktikan bahawa Malaysia tidak pernah menjadi sekadar penonton kepada sejarah malah turun sama ke gelanggang menyusun sejarah.

Ketika dunia membisu dalam tragedi Bosnia, Malaysia tidak hanya sekadar bersolidariti jauh daripada hiruk pikuk kemelut. 

Malah, Malaysia turut menghantar pasukan pengaman, memberi bantuan ketenteraan kepada Bosnia dan menyumbang secara signifikan untuk membela rakyat yang dizalimi dan tertindas. 


Aparteid di Afrika Selatan


Jika pada ketika itu kita mampu bertindak dan punyai sikap keprihatinan yang tinggi, lantas mengapa sekarang kita perlu ‘menjaga tepi kain sendiri’ dan mengabaikan tuntutan keadilan buat rakyat Palestin? 

Memetik pejuang antiaparteid dan mantan Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, “Kita sedar betapa kebebasan kita tidak akan lengkap selagi rakyat Palestin terus dipijak”.

Jika seorang pejuang antiaparteid seperti Mandela mampu menggarap bahawa persoalan keadilan tidak mengenal sempadan, mengapa ada dalam kalangan kita yang kini terpekik dan terlolong menentang usaha murni ini? 

Pemikir dan intelektual Palestin Edward Said juga menyebut bahawa “setiap penindasan yang tidak disanggah adalah keizinan untuk penindasan yang lebih dahsyat”.

Lebih parah, ada yang menggunakan alasan bahawa “kita perlu utamakan rakyat Malaysia dahulu.” Ini satu hujah yang sangat malas. 

Sejak bila menonjolkan kepedulian kepada Palestin bermakna kita menggadai dan mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat sendiri? Adakah keupayaan untuk punyai sikap ihsan terbatas pada rakyat sendiri sahaja? 


Penghapusan etnik di Bosnia & Herzegovina


Justeru, mesti ditegaskan bahawa Malaysia tidak boleh dan tidak akan menjadi penonton dalam sejarah. Kita telah lama menentang segala bentuk kezaliman dan penindasan, dan kita tidak akan berhenti hanya kerana ada segelintir gerombolan berasa “terlalu jauh” untuk peduli.


MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM

Setiausaha Politik Perdana Menteri


9
14
0
13
0
You will be interested