Perhatian pemberi rasuah dan pemberi maklumat. Kerajaan memperkemas kerangka perundangan sedia ada bagi menjelaskan perbezaan perasuah dan pemberi maklumat rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperkemas kerangka perundangan sedia ada bagi memperjelas perbezaan antara perasuah dan pemberi maklumat.
"Langkah ini penting bagi memastikan perlindungan diberikan kepada pemberi maklumat yang bertindak dengan niat baik.
"Di samping menutup ruang kepada pihak yang melakukan jenayah daripada berselindung di sebalik status tersebut," tegas beliau sewaktu menjawab soalan di Dewan Negara hari ini (17 Disember 2025).

Pemberi Maklumat Rasuah atau dipanggil sebagai whistleblower ialah individu yang mendedahkan jenayah rasuah.
Sehubungan itu, mereka dilindungi undang-undang seperti Akta SPRM 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 di Malaysia, bagi memastikan kerahsiaan mereka terjamin dan menggalakkan orang ramai tampil membuat aduan tanpa rasa takut.
"Usaha (menjelaskan perbezaan) ini juga bertujuan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, agar perasuah tidak disalah anggap sebagai pemberi maklumat, sekali gus menegakkan prinsip keadilan dan integriti dalam tadbir urus negara," jelas Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media
