Politik & Negara 17 Aug, 2025

Lulus! Kembara 365 hari KSN! Gerakkan agenda reformasi perkhidmatan awam! Kukuhkan profesionalisme!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


"Hari ini (12 Ogos 2025) genap setahun saya menggalas amanah sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN). Ini adalah amanah dan tanggungjawab besar seperti disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika saya berjumpa beliau di pejabatnya ketika hari pertama bertugas.

"Hari ini (12 Ogos 2025) saya berjumpa Perdana Menteri sekali lagi untuk menyerahkan buku rekod perkhidmatan saya selama 365 hari sebagai KSN. Alhamdulillah PMX kata awak lulus!," kata KSN, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika Majlis Pelancaran Naskhah Khas, “Shamsul Azri: 365 Hari Menjelang Amanah” dan Perasmian Laman Malaysia Madani di Taman Botani, Putrajaya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr. Fadlun Mak Ujud; dan

Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff.


Shamsul Azri Abu Bakar (dua dari kanan) memegang buku naskah khas, “Shamsul Azri: 365 Hari Menjelang Amanah” bersama Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (dua dari kiri), Noridah Abdul Rahim (kanan) dan Fadlun Mak Ujud (kiri).


Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, banyak cabaran yang harus didepani apatah lagi pelantikan ini datang bersama rasa tanggungjawab untuk menggerakkan agenda reformasi perkhidmatan awam lebih pantas selain mengukuhkan taat setia pegawai-pegawai awam.

"Justeru, pengisian program sepanjang hari ini bukan sekadar majlis kosong tetapi kita bermuhasabah diri untuk memastikan kelestarian legasi perkhidmatan awam yang cemerlang.

"Sebelum majlis ini, saya berpeluang bertemu 800 pegawai gred 9 hingga 12 dari pelbagai skim perkhidmatan. Saya kongsikan aspirasi saya mengenai agenda reformasi perkhidmatan awam dan taat setia.


Shamsul Azri melihat catatan kembara sepanjang 365 hari sebagai KSN sambil diperhati Wan Ahmad Dahlan dan Fadlun.


"Saya maklumkan mengenai prinsip impartiality (tidak berpihak) dan neutrality (berkecuali) sebagai pegawai awam - elak membuat kenyataan awam tanpa kebenaran serta jauhkan diri daripada himpunan atau tindakan yang boleh menjejaskan integriti," katanya.

Beliau turut melancarkan empat Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam, sekali gus membuktikan iltizam kerajaan untuk menjadikan penyampaian perkhidmatan lebih pantas, selamat dan responsif.

Pekeliling yang dimaksudkan adalah berkaitan pengurusan portal dan laman web agensi; pengurusan perkhidmatan MyGov*Net; tadbir urus MyGovUC; dan dasar MyGPKI.

"Sesungguhnya “Reformasi Suatu Kemestian” bukan sekadar slogan, tetapi panggilan untuk bertindak dan tuntutan untuk terus berevolusi. Tiada siapa terkecuali dan tiada ruang untuk kita berasa selesa.


Sebahagian pelajar MRSM Muar turut tertarik melihat pelbagai info dan gambar catatan kembara KSN sepanjang 365 hari.


"Insya-Allah dengan memegang teguh integriti serta mengutamakan kecekapan dan profesionalisme, kita boleh

melalui perjalanan reformasi ini.

"Naskhah “Shamsul Azri: 365 Hari Menjelang Amanah” juga merakam pencapaian dan refleksi sepanjang setahun kembara reformasi perkhidmatan awam," katanya.

Katanya, ia mengandungi catatan perjalanan yang mungkin kita sedia maklum tapi ada juga jarang tersingkap kepada mata umum. Ia bukan kisah yang sempurna kerana ada cabaran yang menguji kesabaran, ada kesilapan yang memberi pengajaran dan ada detik yang bagai hendak menggugat keyakinan.


Indahnya Laman Malaysia Madani yang akan dibuka kepada orang ramai sebagai ruang santai keluarga.


"Boleh saya katakan, dalam 365 hari menjunjung amanah, saya belajar bahawa kepimpinan bukan hanya mengenai memberi arahan, tetapi mendengar, memahami dan membuat keputusan sukar demi kebaikan bersama.

"Terima kasih Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) atas penerbitan buku ini. Ada pelajaran berharga yang wajar dikongsi, semoga ia menjadi sumber ilham untuk kita terus berbincang, merenung dan memperkukuh kepimpinan pada semua peringkat," katanya.

Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan Laman Malaysia Madani di Taman Botani, Presint 1, Putrajaya. Ia manifestasi dari gagasan negara yang inklusif, lestari dan menyatu.


Shamsul Azri menandatangani plak sebagai tanda perasmian Laman Malaysia Madani di Taman Botani, Putrajaya.


"Di sini seni menyatu dengan alam, sementara nilai Madani dijelmakan di setiap sudut. Arca logo Madani yang teguh di tengah-tengah laman menjadi lambang keyakinan kita terhadap hala tuju negara.

"Mural  perpaduan yang menghiasi dinding melambangkan hormat dan ihsan sesama kita, manakala bunga-bunga ikonik tanah air menjadi bahasa kasih, kesejahteraan dan kebersamaan," katanya.

Beliau gembira kerana laman itu akan dijadikan ruang santai untuk keluarga beriadah malah bangku-bangku di laman ini dihasilkan daripada bahan kitar semula, satu komitmen terhadap kemampanan.


Shamsul Azri duduk di kerusi di Laman Malaysia Madani yang diperbuat 100 peratus bahan kitar semula.


"Dan, pencahayaan pada waktu malam yang menggunakan tenaga solar, menandakan daya cipta dan kesungguhan untuk memanfaatkan teknologi hijau.

"Inisiatif sebegini adalah terjemahan hidup kepada nilai-nilai Madani yang berpaksikan kemampanan, kesejahteraan, hormat, ihsan, daya cipta dan keyakinan.

"Tahniah kepada Perbadanan Putrajaya atas inisiatif inovatif dan kreatif ini. Saya harap ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh orang awam dan mungkin boleh diperluaskan konsep pembangunan laman ini untuk lokasi lokasi lain di Putrajaya.

"Terima kasih kepada anak-anak Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar yang turut hadir di majlis ini. Semoga program ini memberikan inspirasi kepada anak-anak kita untuk terus berjaya dalam kehidupan," katanya. - KitaReporters


Shamsul Azri bergambar kenangan bersama pelajar MRSM di hadapan pintu gerbang Laman Malaysia Madani, Taman Botani, Putrajaya.

11
13
0
11
0
You will be interested