Politik & Negara 18 Aug, 2023

Jentera kerajaan perlu 5A! Available At Anytime, Anywhere with Any mobile devise! Baru dikata cekap!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Oleh LIEYANA TEO MOHD ZULKIFLI TEO


Kecekapan pentadbiran jentera kerajaan ialah apabila ia berupaya bekerja menggunakan kerangka 5A, iaitu “Available At Anytime, Anywhere with Any mobile devise” (bersedia ada pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dengan sebarang peranti mudah alih).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan Sabah Net akan memastikan pendigitalan diperkembang secara konsisten melalui pelbagai perancangan dan program pendigitalan. 

Menurutnya, kerajaan akan merancakkan penggunaan solusi perkomputeran awam selaras dengan dasar yang telah dilancarkan melalui MyDigital Economy Blueprint. 

"Kita perlu menjadi lebih kreatif dan proaktif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital seperti pemasaran digital, penggunaan pelbagai aplikasi, dan penggunaan secara maya,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Antarabangsa Pertubuhan Awam Ke-12 (ICONPO XII) di Hotel Pacific Sutera, Kota Kinabalu, Sabah.  



Persidangan tahunan itu untuk mengenal pasti penyelesaian optimum untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui transformasi digital.

Bertemakan Memperkukuh Transformasi Digital Ke Arah Tadbir Urus Pintar, ICONPO XII merupakan program anjuran Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Asia Pacific Society for Public Affairs (APSPA). Persidangan dua hari bermula semalam (17 Ogos 2023) itu dihadiri lebih daripada 300 peserta.

Sempena persidangan itu, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). 

Turut hadir Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Shahimi Mohtar; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed; Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Prof Madya Dr Halimah Abdul Manaf; dan  Pengarah ICONPO XII, Dr Nur Syakiran Akmal Ismail.

Hadir sama termasuk Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin; Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd. Yusof; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Sapdin Ibrahim; Timbalan YDP MUIS, Ustaz Malai Malai Ahmad; dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali.

Pada majlis yang sama, Masidi turut melancarkan Sabah Halal Action Plan 2023-2025. 



Sementara itu itu, Prof Dr Foad dalam ucapan aluannya merakamkan ucapan terima kasih kepada Pusat Pengajian Kerajaan UUM dan MUIS atas kejayaan inisiatif mengadakan kerjasama strategik.

"UUM juga bersedia membantu kerajaan dalam penggubalan dasar dalam pelbagai aspek khususnya berkaitan transformasi digital dan pemantauan pelaksanaan. 

“Matlamatnya adalah untuk mencapai tadbir urus pintar yang komprehensif dan memaksimumkan potensi negara untuk mengatasi cabaran global yang merentasi sempadan," katanya. - KitaReporters


6
16
0
14
0
You will be interested