Politik & Negara 26 Aug, 2025

Netanyahu manusia paling teruk! Kurang siuman, zalim, haiwan! 20k bersolidariti untuk Palestin! - PM

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


"ZIONIS Israel bukan manusia, ini haiwan!! Mahu orang lapar, mati kebuluran, bahan makanan di sempadan tidak boleh masuk, orang sakit perlu ubat, ubat yang dipagar tidak boleh masuk.

"Manusia yang jenis paling teruk pun tidak seperti itu. Saya umur 78 tahun, saya belum pernah lihat, baca dan dengar di zaman baru ini, manusia sekejam itu.

"Ini Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman, zalim. Semua salahkan Hamas. Anak dua tahun berlari, itu Hamas. Ini penyakit paling teruk," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Malam Himpunan dan Selawat: Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2025.


Peserta Malam Himpunan dan Selawat: Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka memegang sepanduk, Bangkit Gaza sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.  


Sempena himpunan itu, Perdana Menteri turut melakukan pelepasan Konvoi Sumud Nusantara 2025. Pelepasan itu bagi membawa delegasi aktivis daripada pelbagai NGO menghulur bantuan ke Gaza melalui misi flotila.

Beliau seterusnya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan terhadap anak-anak di Gaza, pengeboman terhadap sekolah dan tempat ibadat. Namun, Anwar yakin Palestin akan merdeka daripada penindasan kerana sejarah membuktikan kebenaran akan selalu menang.

"Rakyat Malaysia benci kezaliman, menolak keganasan, pembunuhan wanita, anak-anak. Malu dunia sekarang. Mana mungkin negara merdeka berbicara soal hak asasi, keadilan, rakyat diterajang, anak-anak kecil dan wanita dibunuh. Dunia gagal sistemnya, bukan satu hari, bukan satu minggu, tapi berbulan, bertahun.


Anwar Ibrahim menganggap Zionis Israel manusia paling teruk.


"Apakah kita terima pembunuhan anak-anak kecil dan wanita? Mengapa di Gaza, kerana Arab-nya, kerana Islam-nya, kerana nama Palestin-nya, diberi keizinan? Ini persoalan yang kita terus tanya, dan apa jawapan? “Hamas 7 Oktober”, itu sahaja jawapan mereka.

"Ya, kita tahu apa yang berlaku tapi ia disebabkan kezaliman kamu lakukan selama puluhan tahun. Tanah kamu rampas, rumah dimusnahkan, sekolah kamu robohkan, masjid dileburkan, malah gereja kamu hancurkan. 

"Ini bukan manusia, ini haiwan! Itu jawapan kita kepada mereka," tambahnya.

Beliau mengakui tidak banyak negara yang mana rakyat, NGO, ulama, anak muda, wanita, berkumpul dengan satu tekad, iaitu menegakkan kebenaran, keadilan dan menolak kezaliman, kemungkaran serta mahu rasa merdeka.


Rakyat daripada pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama hadir di Dataran Merdeka untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.


"Apa lagi yang belum kita lakukan untuk Palestin. Kita bawa yang uzur, yang sakit, anak-anak yang ada di sini, kita bagi pelajaran. Kemudahan dan bantuan kita terus kirim. Tak cukup dana, malam ini saya umumkan, Kerajaan Madani, dua tahun yang lalu kita luluskan RM100 juta, malam ini kerajaan Malaysia tambah dana RM100 juta lagi.

"Malam ini untuk kita peringat, bukan sahaja perjuangan umat Islam, Gaza dan Palestin, tetapi penderitaan yang dirasakan mereka, kita turut rasakan," katanya.

Anwar turut berpesan kepada rakyat Malaysia supaya belajar dari pengalaman di Gaza bahawa dengan kesatuan, rakyat boleh lakukan dan suarakan apa yang jarang di laku dan disuarakan oleh mana-mana negara lain.


Peserta perhimpunan mengibarkan bendera Palestin tanda sokongan dan turut bersedih dengan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk Gaza.


"Sebab, itu kita mahu rakyat ini bangkit bersama. Negara ini maju supaya rakyat dapat selesa. Negara ini maju dan makmur supaya jadi contoh dan teladan, supaya negara-negara lain boleh belajar dan jamin keamanan, boleh bantu rakyat yang susah termasuk di Gaza.

"Usah tanam bibit-bibit kebencian dan perpecahan dalam kalangan kita, bina kekuatan baharu. Anak-anak muda, saya pesan, bangkit jaga negara ini, biar benar merdeka, biar maju, biar naik martabat, harakat dan darjat bangsa dan negara. Barulah boleh kita maju dan bantu yang lain.

"Mudah-mudahan malam ini, kita tanam roh jihad, semangat perjuangan kepada rakyat kita dan rakyat Gaza. Salam kepada mereka, bagi mereka melihat," katanya.


Peserta Konvoi Sumud Nusantara 2025 membawa bendera Malaysia dan Palestin untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui misi flotila.


Sementara itu, acara anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu bermula jam 7 malam, dihadiri lebih 20,000 peserta yang mengenakan pakaian putih sebagai simbol perpaduan dan sokongan perjuangan rakyat Palestin .

Program turut diisi dengan solat hajat perdana, bacaan Qunut Nazilah berserta tausiyah Peduli Ummah oleh tokoh agama termasuk Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Deklarasi Sumud Nusantara dibacakan oleh CEO MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, manakala kumpulan Az Zahir mengalunkan qasidah dan selawat bagi menghidupkan suasana malam penuh syahdu itu. - KitaReporters

17
15
0
10
0
You will be interested