Politik & Negara 17 Apr, 2025

Malaysia-China tingkatkan hubungan strategik! Persetujui 31 perjanjian, MoU, LoI pelbagai bidang! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Malaysia dan China melangkah ke detik bersejarah dalam hubungan diplomatik dan strategik antara kedua-dua negara apabila menandatangani 31 perjanjian, memorandum persefahaman (MoU), nota pertukaran, surat niat (LoI) dan protokol meliputi pelbagai bidang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hari ini (rabu, 16 April 2025) ternyata detik bersejarah tatkala Presiden China, Xi Jinping dan beliau telah menyaksikan sesi pertukaran berpuluh-puluh MoU antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China.

"MoU dan kerjasama itu meliputi pelbagai lapangan yang mempunyai kepentingan strategik kepada kedua-dua negara sahabat," tambahnya.



Antara yang ditandatangani ialah:

1. MoU antara Kerajaan Republik Rakyat China dan Kerajaan Malaysia mengenai Pemerkasaan Kerjasama dalam Inisiatif Keselamatan Global

2. Nota Pertukaran mengenai Pemerkasaan Kerjasama dalam Inisiatif Peradaban Global

3. MoU antara Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China dan Kementerian Luar Negeri Malaysia mengenai Pengukuhan Kerjasama Pembangunan dan Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global

4. Perjanjian antara Kerajaan Republik Rakyat China dan Kerajaan Malaysia mengenai Pengecualian Visa Timbal Balik bagi Pemegang Pasport Rasmi dan Pasport Biasa

5. Nota Pertukaran antara Kerajaan Republik Rakyat China dan Kerajaan Malaysia mengenai Penubuhan Dialog Dua Hala Bersama dalam Bidang Hal Ehwal Luar Negeri dan Pertahanan

6. MoU antara Kerajaan Republik Rakyat China dan Kerajaan Malaysia mengenai Kerjasama dalam Perdagangan di Lapangan Perkhidmatan

7. MoU antara Kerajaan Republik Rakyat China dan Kerajaan Malaysia bagi Penyemarakan Inisiatif “Dua Negara, Dua Taman” China-Malaysia

8. MoU antara Pentadbiran Negeri untuk Peraturan Pasaran (Pentadbiran Penyeragaman) China dan Jabatan Standard Malaysia mengenai Kerjasama Penyeragaman

9. MoU antara Pentadbiran Keretapi Negara China dan Kementerian Pengangkutan Malaysia mengenai Pengukuhan Kerjasama dalam Sektor Keretapi

10. Protokol Keperluan Fitosanitari antara Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi Eksport Buah Kelapa Segar dari Malaysia ke China

11. MoU antara Kerajaan Republik Rakyat China dan Kerajaan Malaysia mengenai Sokongan Bersama Pembinaan Makmal Bersama dalam Pelbagai Teknologi Baharu

12. MoU mengenai Kerjasama Aplikasi Sistem Navigasi Satelit Beidou



13. Perjanjian Penyelidikan Kerjasama bagi Pemuliharaan Antarabangsa Panda Gergasi

14. MoU antara  Universiti Peking dan Universiti Malaya mengenai Pembinaan Makmal bersama Bahan Baharu AI+ China-Malaysia

15. MoU dalam Pembudayaan Wacana antara Konfusianisme dan Islam

16. MoU mengenai Kerjasama Pelancongan dan Media antara Agensi Berita Xinhua Republik Rakyat China dan Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia)

17. MoU Kerjasama di bawah Rangka Kerja Perikatan Warisan Budaya Asia

18. MoU Kerjasama Pelancongan dan Media antara Kumpulan Media China (CMG) dan Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia)

19. MoU antara Kerajaan Malaysia dan Agensi Berita Xinhua Republik Rakyat China mengenai Kerjasama dalam Bidang Berita dan Maklumat

20. MoU Tambahan untuk Meminda Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Kumpulan Media China (CMG) mengenai Kerjasama dalam Bidang Media

21. MoU antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kumpulan Media China (CMG)

22. MoU Tambahan untuk Meminda MoU antara Kumpulan Media China (CMG) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

23. MoU mengenai Penterjemahan dan Penerbitan Karya-Karya Klasik

24. MoU antara Kementerian Digital Malaysia dan Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC) China mengenai Kecerdasan Buatan (AI)

25. MoU antara Kementerian Digital Malaysia dan Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC) China mengenai Ekonomi Digital

26. MoU mengenai Kerjasama dalam Bidang Harta Intelek

27. MoU antara Universiti Xiamen dan Universiti Malaya dalam Penubuhan Bersama Institut Antarabangsa Pengajian Tinggi China-Malaysia

28. Surat Niat dari MDEC kepada Universiti Zhejiang mengenai Transformasi Digital, Kecerdasan Buatan dan Bandar Pintar

29. MoU mengenai Kerjasama Dua Hala antara Akhbar People's Daily China dan Star Media Group Berhad Malaysia

30. Perjanjian Pertukaran dan Kerjasama Think Tank antara Agensi Berita Xinhua dan Pusat Kajian Strategik Serantau Malaysia

31. MoU antara Kumpulan Media China (CMG) dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China

Menurut Perdana Menteri, MoU yang telah ditandatangani ini lantas meletakkan hubungan istimewa Malaysia-China ke tahap baharu yang lebih meyakinkan yang pastinya akan membawa limpahan kemakmuran pada aspek kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya," jelas beliau.



Terdahulu, Anwar berkata, pertemuan dua hala dengan Xi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Rabu, 16 April 2025, merupakan satu detik yang amat bermakna dan bersejarah, sekali gus melambangkan komitmen jitu kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan strategik yang telah terjalin sejak sekian lama.

Beliau dan Xi mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang berlangsung selama lebih sejam bagi membicarakan pelbagai perkara penting yang menyentuh kepentingan bersama.

"Saya mengalu-alukan kunjungan Presiden Xi, seorang sahabat sejati dan pemimpin yang saya hormati kerana kepemimpinannya yang menerajui kemajuan ekonomi dan memperjuangkan prinsip kemakmuran bersama serta nilai ketamadunan sejagat.

"Alhamdulillah, hubungan Malaysia-China terus kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, perdagangan, pelaburan dan teknologi baharu seperti AI, dan kedua-dua negara komited untuk memperluas kerjasama ini demi manfaat bersama," jelas Perdana Menteri.



Menyentuh soal tarif Amerika Syarikat (AS), Anwar mengulangi pendirian dan kesepakatan Malaysia bersama negara anggota ASEAN untuk meneruskan rundingan dan semangat kesepaduan bagi mencari jalan penyelesaian yang mampan.

Katanya, perbincangan Malaysia-China turut menyentuh usaha meneroka ruang untuk melonjakkan pelaburan  dan perdagangan Malaysia-China serta memperkukuh kerjasama pelbagai bidang termasuk ekonomi digital, agrikomoditi, semikonduktor, automotif, pengangkutan, perubatan, nadir bumi dan sebagainya. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
17
0
12
0
You will be interested