
Insentif dan inisiatif yang diumumkan termasuklah:
1. Penambahbaikan skim Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
2. Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA)

3. Memperkasa Institut Tadbiran Awam Negara (Intan)

4. Program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q) @ Intan

5. Pemansuhan syarat untuk cuti haji penjawat Awam

"Ini juga sebagai tanda penghargaan kepada seluruh penjawat awam yang terus berusaha, berdisiplin dan komited merealisasikan agenda reformasi yang kita hasratkan bersama.

Sementara itu, dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, negara sedang mengharungi zaman yang serba mencabar, baik dari aspek ekonomi global yang terus tidak menentu selain ancaman dalaman yang menghakis sendi perpaduan dan nilai bangsa.
"Mutakhir ini, kita menyaksikan wujudnya unsur-unsur negatif dan percubaan untuk mengapi-apikan ketegangan kaum dan agama, budaya buli yang meresap dari sekolah hingga ke tempat kerja, malah politik yang rendah nilai yang tanpa segan silu memperdagang nyawa dan tragedi orang lain demi meraih laba murahan. Ini yang saya sebut sebagai membina istana di atas pusara.
Katanya, pertumbuhan ekonomi tanpa nilai hanya kejayaan yang kosong dan kontang makna.
"Seperti yang ditegaskan tempoh hari, mana-mana pihak, tidak kira kedudukan atau pengaruh, yang mengugut, menghasut atau menabur kebencian akan berdepan tindakan setegasnya demi menjamin keamanan seluruh rakyat, tanpa kira kaum mahupun warna kulit," tegas Anwar.
Menurut Perdana Menteri, demokrasi menjamin serta memberi ruang untuk kebebasan bersuara, tetapi ia bukan lesen untuk memecah-belah atau merendah-rendahkan maruah orang lain.
"Kedudukan majoriti bukan untuk menindas, begitu juga minoriti tidak berhak mengeksploit isu-isu tertentu dengan matlamat mencabar asas keharmonian negara.
"Justeru, Malaysia mesti kekal sebagai negara hukum (rule of law), dan setiap kes mesti disiasat secara adil, telus, berlandaskan fakta, bukan emosi dan prejudis yang keterlaluan," katanya lagi.

Beliau berkata, beliau menekankan juga perpaduan tidak akan terjelma tanpa perkhidmatan awam yang teguh, mantap dan cekap.
"MAPPA XX menjadi wadah untuk saya suguhkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam yang setia mendukung agenda kenegaraan.
"Hari ini kita melakar sejarah dengan tambahan skim saraan tertinggi sejak Merdeka yang telah memanfaatkan ratusan ribu penjawat awam, dengan pelbagai insentif baharu untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan kesejahteraan mereka.
"Saya percaya penghargaan ini akan dibalas dengan khidmat yang lebih padu, cemerlang dan berintegriti, demi membawa Malaysia ke mercu ketinggian.
"Seluruh kejayaan yang telah tercatat setakat ini, termasuk di pentas dunia melibatkan usaha damai serantau dan pengiktirafan antarabangsa, adalah hasil kerjasama erat antara kepimpinan negara dan perkhidmatan awam yang berwibawa.
"Mari bersama kita pertahankeamanan, melonjakkan ekonomi dan perkukuh nilai bangsa kerana negara ini milik semua dan masa depannya terpikul di bahu kita semua," ujar Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media