Politik & Negara 19 Aug, 2023

UMNO perlukan perubahan drastik! Kepimpinan yang dinamik! Idealisme perjuangan asal! - Ismail Sabri

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


UMNO memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif yang boleh diterima oleh rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ruang dan masa dalam merencanakan pemulihan UMNO semakin singkat serta genting. 

Beliau berkata, untuk UMNO pulih, parti itu memerlukan kepimpinan yang dinamik dan berkebolehan dalam mengembalikan idealisme perjuangan parti. 

"Kepemimpinan tertinggi perlu mendengar sama ada anjuran atau desakan daripada akar umbi termasuk sesuatu yang pahit untuk ditelan. 

"Misalnya, gesaan untuk melepaskan jawatan seperti mana yang berlaku sekarang," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam kolumnya, Jalar Fikir yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini (19 Ogos 2023). 

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, jentera UMNO perlu mengubah cara untuk berkempen.



"Cara berkempen seperti ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan kepada ahli-ahli sendiri perlu dihentikan. 

"Jentera parti perlu mendekati pengundi atas pagar dan parti lawan, bukannya  ‘berdakwah’ kepada ahli sendiri. 

"Media sosial harus dikuasai sepenuhnya kerana ia adalah alat kempen yang paling berkesan pada masa kini," katanya. 

Berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos 2023 lalu, Ismail Sabri berkata, antara punca penolakan pengundi Melayu apabila mereka menafsirkan UMNO telah menyimpang daripada idealisme perjuangan asal. 

Beliau berkata, salah satu buktinya apabila kepemimpinan UMNO memusnahkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah. 

Lebih memburukkan keadaan, beliau berkata, apabila kepemimpinan tertinggi parti itu mengheret UMNO untuk bersama DAP malah menggesa supaya jentera bekerja dan mengundi parti berkenaan dalam pilihan raya.

"Pengaruh UMNO dalam Malay Belt atau lingkaran Melayu - Kedah, Kelantan dan Terengganu – sangat kritikal seperti pesakit di ICU. 

"UMNO hanya mampu menang satu kerusi. Hilang 20 kerusi jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Analisis awal menunjukkan sokongan pengundi Melayu di Kedah kepada PH-BN hanyalah 17 peratus. PN telah memenangi 21 DUN dengan majoriti lebih 10,000 undi manakala empat DUN dengan majoriti lebih 20,000 undi.

"Justeru, UMNO memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif yang boleh diterima oleh rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara," katanya. 



Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera berkata, keputusan PRN tersebut menunjukkan parti itu seolah-olah terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk mencapai kemenangan. 

"Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. 

"Jangan membiarkan nasib UMNO persis MCA dan Gerakan yang terpaksa berpapah kepada undi Melayu untuk memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya," katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media

10
11
0
13
0
You will be interested