Politik & Negara 24 Jul, 2024

Untunglah Bangsa Johor! Kerajaan negeri komited bantu miskin tegar, kurang mampu miliki rumah selesa!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Onn Hafiz Ghazi mendengar penerangan Haslinda Salleh mengenai bahagian bumbung rumah Dollah Alias yang diperbaiki di Kampung Juaseh, Labis, Johor.


Onn Hafiz bergambar kenangan dengan keluarga Mohd. Basari Dahlan, seorang penerima bantuan bina baharu rumah.


Golongan miskin tegar dan kurang berkemampuan di negeri ini tidak pernah dipinggirkan, sebaliknya mereka terus diberi perhatian oleh kerajaan negeri terutama dalam aspek kediaman.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya berkata, menerusi Belanjawan Johor 2024, kerajaan negeri memperuntuk sejumlah RM32 juta bagi inisiatif bina baharu rumah melibat 328 unit rumah bagi golongan tetsebut.
"Bagi tujuan baik pulih rumah golongan miskin tegar dan mereka yang kurang berkemampuan pula sejumlah RM22.79 juta disediakan dengan sasaran sebanyak 1,368 buah rumah untuk dibaik pulih.

Keadaan rumah Dollah Alias di Kampung Juaseh, Labis, Johor sebelum dan selepas dibaik pulih.


"Saya juga bersyukur kerana berkesempatan melihat sendiri hasil perlaksanaan inisiatif ini bagi katogeri bina baharu rumah serta baik pulih rumah ketika turun ke Segamat khususnya di kawasan Labis ini," katanya.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor meluangkan masa melawat kediaman Mohd. Basari Dahlan yang mendapat bantuan kategori bina baharu rumah bernilai RM65 ribu di Felda Tenang, Labis, Johor selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Labis pada 21 Julai 2024 lalu.

Onn Hafiz mendengar penerangan Ketua Kampung Pekan Ayer Panas, Labis ketika beramah mesra dengan Dollah Alias (duduk tengah) ketika melawat rumah penerima bantuan baik pulih rumah di Kampung Juaseh, Labis, Johor. 


Selepas itu, beliau turut melawat rumah dan  beramah mesra dengan Dollah Alias, yang menerima bantuan baik pulih melibatkan pembaikan atap dan bumbung, kerja-kerja mengecat serta pembersihan kawasan sekitar bernilai RM 15 ribu, di Kampung Juaseh, Labis. 

Menurutnya, pembinaan baharu rumah adalah bagi golongan kurang berkemampuan yang mempunyai pemilikan tanah sama ada secara tunggal atau pemilikan bersama di mana rumah tersebut akan dibina di atas tanah milik mereka.

Kejayaan ini adalah berkat kerjasama semua pihak yang terlibat di mana hasilnya telah memberi manfaat buat mereka yang memerlukan. 

Rumah Mohd. Basari Dahlan di bawah peruntukan bina baharu rumah bernilai RM65 ribu yang sudah boleh diduduki di Felda Tenang, Labis, Johor.


Dalam pada itu beliau turut menzahirkan terima kasih kepada ADUN Tenang, Haslinda Salleh; Pegawai Daerah Segamat, Mohd Masni Wakiman; serta seluruh agensi terlibat seperti Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Southern Volunteers (SV) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang sentiasa berkoordinasi dan bekerjasama bagi menjayakan inisiatif tersebut. 

"Penyelarasan ini penting agar maklumat dan data yang tepat dapat diperolehi, seterusnya membantu golongan yang benar-benar memerlukan. 

"Semoga inisiatif baik ini mampu meningkatkan kualiti hidup Bangsa Johor serta memberi isyarat bahawa Johor serius menangani isu miskin tegar serta membantu rakyat yang memerlukan bantuan. Insya-Allah," katanya. - KitaReporters

Onn Hafiz Ghazi merakam gambar kenangan bersama Basari Dahlan ketika melawat projek bina baharu rumah di Felda Tenang, Labis, Johor. Turut sama Haslinda Salleh (tiga dari kiri), Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Masni Wakiman (kanan) dan Ketua UMNO Bahagian Labis, Mohd Azahar Ibrahim (dua dari  kanan). - Kredit gambar:  Facebook Onn Hafiz Ghazi.


10
12
0
15
0
You will be interested