Politik & Negara 04 Nov, 2023

Hari Palestin di Bandar Baru Bangi! Ayuh rakyat Malaysia, terus bersolidariti! Diancam kebuluran!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023.

Share this


BANGI bergegar dengan laungan Hidup Palestin dan Hancur Israel selain teriakan Allahuakhbar sempena Program Hari Palestin di Surau Al-Sobah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor pada Jumaat, 3 November 2023.

Kira-kira 200 jemaah yang baru selesai menunaikan solat Jumaat berkumpul di pekarangan masjid itu dengan sepanduk, Israel Cuak dan mengibarkan bendera Palestin serta mendengar ucapan penuh bersemangat Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri.

Turut hadir, beberapa rakyat Palestin yang mengikut Nadir Al-Nuri pulang ke Malaysia termasuk anak tirinya, Naeem Mushtaha sebelum peristiwa serangan tentera Al-Qassam pada 7 Oktober 2023 lalu.

Perhimpunan aman di pekarangan Masjid Al-Sobah, Bandar Baru Bangi, Selangor sempena Hari Palestin 2023 mendapat sambutan baik orang ramai.


Beliau berkata, umat Islam Palestin amat memerlukan sokongan rakyat Malaysia terutama doa dan bantuan kemanusiaan kerana mereka tidak mampu melakukan apa-apa selepas digempur dengan dahsyat oleh tentera aparteid Zionist Israel setiap hari.

"Saya gembira melihat solidariti dan sokongan rakyat negara ini termasuk di Bangi terhadap penderitaan dan perjuangan umat Islam Palestin.

"Sebagai anak kariah Masjid Al-Sobah, saya bangga dengan anda. Kini, Bandar Baru Bangi bukan lagi Bandar Ilmu tapi sudah menjadi Bandar Kemanusiaan dan Bandar Palestin," katanya sambil disahut dengan laungan Hidup Palestin dan Hancur Israel dalam kalangan jemaah yang hadir.   

Katanya, dia sendiri mempunya isteri dan lapan anak di Gaza, entah apa nasib mereka, namun dia hanya mampu berdoa dan bertawakal semoga Allah melindungi keluarganya dan dia dapat pulang ke sana untuk memeluk serta mencium mereka.


Nadir Al-Nuri (dua dari kiri) memberi ucapan bersemangat kepada jemaah yang berhimpunan selepas solat Jumaat sempena Hari Palestin 2023.


Melihat riak wajah dan ucapanya yang penuh bersemangat, siapa sangka Nadir yang dalam misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza tujuh tahun lalu, menjadi bapa kepada lapan anak, lima anak tiri dan tiga anak kandung hasil perkahwinan dengan balu pejuang Al-Qassam, Reem Al-Minawi.

"Saya meminta sokongan anda bukan kerana isteri dan anak-anak saya terancam di Gaza tetapi ia amat penting sebagai "signal" supaya masyarakat dunia terutama kuasa besar seperti Amerika Syarikat tahu betapa ramainya penduduk dunia di belakang Palestin.

"Gaza sudah dikepung dan mereka tiada jalan keluar atau pergi ke mana-mana melainkan menunggu saat kematian selepas tentera Israel melakukan pengeboman tanpa belas kasihan setiap hari.

"Saya kesal kerana kerajaan Mesir tidak prihatin dan enggan membenarkan lebih ramai rakyat Palestin keluar melalui pintu sempadan di Rafah. Mereka seolah-olah mahu melihat rakyat Palestin mati atau disembelih hidup-hidup di Gaza," kata Nadir lagi.

Jemaah yang berkumpul di pekarangan Masjid Al-Sobah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi melauangkan Hidup Palestin dan Hancur Israel selain sepanduk aparteid Israel Cuak.


Sementara itu, ketika menyampaikan tazkirah bertajuk "Keadaan Terkini di Bumi Palestin" sebelum solat Jumaat, beliau juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Cinta Gaza Malaysia menceritakan suasana memilukan di Gaza.

Sejak tiga  minggu lalu peperangan Israel-Gaza menyaksikan hampir 10,000 rakyat Palestin terkorban. Berpuluh-puluh ribu yang lain cedera dan hospital di Gaza sudah tidak mampu menampung jumlah mayat serta pesakit yang terlalu ramai, seolah-olah rumah mayat.

"Pembunuhan kali ini mengingatkan kita kepada penyembelihan Sabra dan Shatila yang berlaku pada 1982. Selama tiga hari, dari 16 hingga 18 September 1982, dua kem yang dikepung tentera Israel, mereka menyembelih sehingga 3,500 nyawa.

"Ketika itu umat Islam Palestin tiada makanan, dalam kebuluran dan makan apa sahaja yang dtemui termasuk rumput untuk hidup.  

"Saya bimbang sejarah yang sama berulang kali ini malah lebih ramai yang terkorban jika serangan berterusan dan kerajaan Mesir terus membisu selain enggan membuka pintu sempadan di Rafah seluas-luasnya untuk rakyat Palestin," katanya. 

Katanya, Gaza hanya berkeluasan 360 kilometer persegi dan penduduk seramai 2.6 juta tapi wilayah itu amat ditakuti Israel dan Amerika Syarikat. Tidak hairanlah, mereka turut membuat perjanjian dengan Mesir supaya tidak memberi layanan kepada warga Palestin.


Kanak-kanak turut bersemangat mengambil bahagian dalam perhimpunan aman sempena Hari Palestin 2023.


Dalam perkembangan yang sama, Hari Palestin di Masjid Al-Sobah berlangsung sehingga Ahad, 5 November 2023 ini dan pelbagai aktiviti serta pengisian menarik diadakan termasuk talk show, forum mengenai Palestin, gerai jualan, pameran, aktiviti kanak-kanak, persembahan nasyid dan kuliah subuh serta maghrib. 

Aktiviti Hari Palestin dibuka dengan program Tazkirah Jumaat disampaikan oleh Nadir Al-Nuri bertajuk, "Keadaan Terkini di Bumi Palestin" dan Kuliah Maghrib oleh Dr Sani Al-Araby bertajuk, "Kemanusiaan Merentas Sempadan".

Program hari kedua (Sabtu) ialah Kuliah Subuh disampaikan juga oleh Nadir Al-Nuri bertajuk "Palestin di Hati kami", Forum Dhuha bertajuk "Peranan Kita Dalam Pembebasan Masjid Aqsa" yang menampil tiga ahli panel iaitu Azmi Abd Hamid (MAPIM), Prof Dr Redzuan Tee Abdullah (UniSZA) dan Influence Khairul Hakimin. 

Kuliah Maghrib pula menampilkan Dr Hafizi Mohd Noor (MyCare) bertajuk, "Permulaan Kepada Pembebasan". 

Pengisian hari terakhir ialah Kuliah Subuh yang bertajuk "Pengalaman Berjihad" disampaikan anak tiri Nadir Al-Nuri, Naeem Mushtaha (MyAqsa Defender) dan Talk Show oleh Ustazah Asma Harun dan Prof Dr Siti Rugayah Haji Tibek bertajuk "Air Mata Palestin" bagi menutup program Hari Palestin 2023. - KitaReporters


Selain perhimpunan aman, Hari Palestin 2023 turut mengadakan kuliah subuh, maghrib, pameran, gerai jualan, talk show dan aktiviti kanak-kanak.

25
14
0
17
0
You will be interested