Politik & Negara 01 Oct, 2025

Pastikan ruang dialog terus kekal! Aparat utama jamin keamanan! Alasan jemput Presiden Amerika! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Perdana Menteri menjelaskan, pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bukan perjumpaan biasa-biasa tetapi akan menjadi medan penting bagi memastikan ruang dialog terus kekal ada dan terbuka.



"Pertemuan saya kelak dengan Presiden Amerika Syarikat akan menjadi medan penting bagi memastikan ruang dialog terus kekal sebagai salah satu aparat (aparatus) utama dalam menjamin keamanan dan pembukaan laluan bantuan kemanusiaan yang lebih besar untuk rakyat Gaza. 

"Ini tentunya bukan penyelesaian muktamad, dan tentunya kita tidak pula mahu sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman.

"Pertemuan ini juga akan menjadi ruang untuk suara untuk keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat dan pentas yang tertinggi," jelas beliau.

Terdahulu Anwar melakukan lawatan dan tinjauan ke Markas Utama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk Global Sumud Flotilla (Flotila Sumud Global atau GSF) 2025 pada Selasa, 30 September 2025.

Presiden Amerika Syarikat itu dijadualkan datang ke Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dari 26 sehingga 28 Oktober 2025 ini.



Perdana Menteri berkata, beliau terharu dan teruja dengan kecekalan para perwira negara yang berhari-hari membelah samudera untuk sampai ke Gaza, Palestin melalui Laut Mediterranean.

"Kecekalan para perwira berhari-hari membelah samudera demi keadilan lantas menjentik nurani dan menjadi sumber kekuatan, tidak hanya kepada warga Palestin di Gaza, tetapi juga kepada masyarakat dunia yang mengikutinya dengan rasa juang yang tinggi. 

"Kerajaan kekal mendukung dan bersama, selain memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan dan apa yang utama adalah para perwira selamat sampai ke bumi Gaza kelak," ujar beliau.

Katanya, ramai sahabat di rantau ini, termasuk Malaysia, Turkiye, Itali, dan Sepanyol turut gigih menggembleng tenaga untuk GSF 2025 ini. 

"Hubungan akrab dan langsung yang kita terus kekalkan dengan pelbagai pihak pada peringkat antarabangsa menjadi wahana penting dalam menggerakkan solidariti global. 

"Justeru, hari-hari yang mendatang ternyata mencabar. Musuh mungkin menggertak, menyerang. 

"Namun, kekentalan semangat saudara-saudara di lautan inilah yang meleraikan resah dan menyala harapan. 

"Sebagaimana 34 anak Malaysia yang kini bersama pasukan flotila ini, ia tentunya menjadi catatan sejarah dalam menegak keadilan dan membela kemanusiaan," tegas Anwar.



Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar bersama terus berdoa kepada Allah SWT agar usaha ini diberi perlindungan dan menjadi sinar terbaik serta jawapan yang ampuh kepada kezaliman ini. 

"Ia pastinya menjadi detik pensejarahan yang penting serta permulaan kepada era dan order baharu dunia yang lebih aman dan yang mampu menjamin keadilan," katanya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


17
13
0
12
0
You will be interested