Ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak lagi diyakini mampu melaksanakan agendanya, China mengutarakan Inisiatif Tabdir Urus Global (Global Governance Initiative atau GGI) terhadap tatanan dunia yang kini didapati semakin rapuh dan tidak lagi dipercayai.

"Presiden Xi Jinping memperkenal Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI), gagasan penting ketika multilateralisme semakin rapuh.
"PBB tidak lagi diyakini mampu melaksanakan agenda reformasi, sementara kita terus menyaksikan jurang kesenjangan melebar dan kekejaman berulang tanpa sebarang hukuman," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia mendukung penuh inisiatif ini, yang berpaksikan keadilan, ihsan, kemanusiaan dan kerjasama, dengan multilateralisme sebagai teras.
"Prinsip luhur ini mesti diterjemah kepada tindakan nyata," tegas beliau semasa berucap pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus yang dipengerusikan Presiden Xi di Tianjin pada Isnin, 1 September 2025.
Hakikatnya, kata Perdana Menteri, wujud defisit kepercayaan terhadap tatanan dunia.
"Kegagalan menjamin perdagangan dan struktur kewangan yang adil, serta kelemahan menangani krisis iklim, mendedahkan jurang besar antara retorik yang dilaungkan dengan penderitaan sebenar rakyat di lapangan.

"Tatkala kita bakal memperingati ulang tahun kebangkitan rakyat China dan penamatan Perang Dunia Kedua pada Rabu, 3 September 2025 ini, kita diingatkan akan makna yang mendalam.
"Hari peringatan ini hakikatnya adalah penolakan terhadap pencerobohan, keangkuhan kuasa, kolonialisme, imperialisme dan penindasan sesama manusia, sesuatu yang masih menghantui kita saat ini.
"Kekejaman di Gaza dan Palestin, di mana anak-anak kecil dibunuh tanpa belas, berlaku di depan mata kita.
"Kesannya turut melimpah ke Lubnan, Iran dan Iraq, sementara dunia seakan tidak berdaya menghalangnya," tambah beliau.
Kerana itu, Anwar berkata, Malaysia teguh mendukung Inisiatif Tadbir Urus Global, dan mendesak agar ia diperkasakan dengan lebih tekad untuk menghapuskan sebarang bentuk imperialisme, kolonialisme dan penindasan.
"Ayuh kita melangkah dengan penuh keberanian, berpandukan keadilan, kemanusiaan dan ihsan, demi membina dunia yang damai dan harmoni," ujarnya.
Menurut Perdana Menteri, jemputan hadir pada sidang kemuncak ini suatu penghormatan buat Malaysia, tatkala SCO telah mencatat kemajuan besar dalam ekonomi, kesihatan awam, keselamatan dan peralihan tenaga, seiring dengan pendirian Malaysia serta keutamaan ASEAN. - KitaReporters/Kenyataan Media
