
Bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan agar tidak tercicir dalam pelajaran dan mengurangkan jurang pendidikan, Kerajaan Malaysia Madani memperkenal Program Tuisyen Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Terengganu telah dipilih sebagai negeri pertama di bawah Program Tuisyen Madani dengan menerima peruntukan sebanyak RM5.27 juta melibatkan seramai 9,408 orang pelajar dengan kerjasama bantuan pengajar daripada guru-guru sekolah seramai 614 orang guru.
"Saya percaya, inisiatif ini dapat membantu pelajar yang kurang berkemampuan agar tidak tercicir dalam pelajaran, mengurangkan jurang pendidikan, meningkatkan prestasi akademik selain satu pelaburan dalam pendidikan anak-anak untuk masa depan negara yang lebih sejahtera dan beretika," jelas beliau pada Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Terengganu di Pasar Payang pada 12 Julai 2025.
Pasar Payang juga dikenali sebagai Pasar Besar Kedai Payang, yang menjadi pusat pasaran tradisional ikonik di Terengganu.

Dengan tema “Pembangunan Madani, Rakyat Sejahtera”, PMR 2025 Terengganu menampilkan usaha Kerajaan Malaysia Madani membangunkan infrastruktur inklusif seperti jalan, jambatan dan kemudahan awam, sambil memperkukuh nilai insaniah demi membentuk rakyat beretika, cakna dan bertanggungjawab.
"Dalam ucapan, saya sebelum beredar, saya mengingatkan rakyat Terengganu agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas kononnya Kerajaan Persekutuan tidak membangunkan negeri ini.
"Hakikatnya, sebanyak 445 program dan projek bernilai RM1.836 bilion telah diluluskan di bawah RP5 (Rolling Plan Kelima) RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12), iaitu peningkatan RM239 juta berbanding tahun lalu (2024).
"Ini jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Terengganu terus diperkasa," tegas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media

