Politik & Negara 15 Nov, 2023

Video| Hospital di Gaza penuh derita! Bayi tunggu masa untuk pergi! Tiada elektrik! Alami dehidrasi!

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this



ANAK-ANAK kecil di bumi Gaza, Palestin antara yang paling terkesan, meskipun tidak bersalah namun golongan ini paling teruk terjejas susulan serangan tanpa henti tentera aparteid Zionis ke atas beberapa kawasan hospital yang menjadi tempat perlindungan.

Terbaharu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mendedahkan bayi di Hospital Al-Quds di Gaza menderita dehidrasi, ekoran serangan tanpa henti pengganas aparteid Israel ke atas hospital itu.

“Bayi di Hospital Al-Quds mengalami dehidrasi kerana kekurangan susu,” tulis organisasi hak asasi manusia itu dalam akaun media sosial, X. 

Katanya, kakitangan perubatan di hospital terbabit juga bekerja sepanjang masa walaupun bekalan elektrik terputus dan Israel semakin agresif melancarkan serangannya ke kawasan itu. 




Presiden Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), Fransisco Rocca menggesa masyarakat antarabangsa membantu menyelamatkan bayi-bayi di Gaza.

"Cukuplah! Bagaimana masyarakat antarabangsa boleh menerima keadaan di Gaza?

“Nyawa bayi di dalam inkubator dan pesakit di ICU di Hospital Al-Quds kini berisiko,” katanya dalam hantaran dalam platform media sosial sama.



Keadaan sama berlaku di Hospital Al-Shifa apabila tiada tempat selamat lagi untuk memindahkan pesakit yang cedera terutama bayi yang baharu dilahirkan.

Malah setiap rakyat yang menumpang berteduh di hospital berkenaan hidup dalam ketakutan apabila tentera Israel mengepung kawasan itu sejak tiga hari lalu, lapor Agensi Anadolu pada 13 November 2023.



Ketua Pengarah Hospital Gaza, Dr Mohammed Zaqqout berkata, ratusan pesakit yang cedera kini tidak boleh meninggalkan hospital berkenan. 

Lebih dahsyat apabila hospital tersebut berdepan masalah ketiadaan bekalan elektrik dan gangguan perkhidmatan perubatan di hospital telah mengakibatkan 32 pesakit dan bayi baharu lahir meninggal dunia.

Biarpun tentera Israel menawarkan bekalan elektrik namun ia tidak mencukupi untuk menghidupkan generator di hospital berkenaan walaupun dalam tempoh sejam. - KitaReporters


11
13
0
12
1
You will be interested