Politik & Negara 06 Jan, 2024

Misi aparteid Zionis hapus Hamas, bawa pulang tawanan gagal! Guna taktik pengecut! Bunuh al-Arouri!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


SELEPAS hampir tiga bulan peperangan, dua misi aparteid Zionis Israel untuk menghapuskan pejuang Hamas dan mencari tawanan yang disembunyikan gagal, cuma mereka dapat membunuh puluh ribuan penduduk Palestin yang tidak berdosa, kanak-kanak dan wanita hasil pengeboman yang berterusan setiap hari.

"Memasuki tahun baru 2024, tiada perubahan di Gaza melainkan tentera Israel terus mengusir rakyat Palestin, bermula dari utara, berpindah ke Gaza tengah dan dipercayai selepas ini mereka akan menghalau penduduk di selatan kembali ke utara dan mungkin tempat terakhir operasi pencarian ialah di selatan.

"Tapi, hasil yang mereka dapat ialah kehampaan, cuma pengeboman di Semenanjung Gaza dari udara dan darat serta kepungan sejak 7 Oktober 2023, membunuh lebih 21,000 rakyat Palestin dan mencederakan 56,000 yang lain," kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri.

Nadir Al-Nuri (kanan) dan Kamarul Zaman Shaharul Anwar (kiri) menjadi tetamu program Agenda Awani, "Gaza terus merintih, solidariti berterusan" yang dihoskan oleh pengacara, Fauzi Zin.


Nadir berkata demikian dalam program Agenda Awani, "Gaza terus merintih, solidariti berterusan" yang disiarkan secara langsung melalui Saluran 501, Astro Awani. Tetamu lain yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar

Rejim aparteid Israel sudah memasuki beberapa kawasan termasuk di bandar Jabalia dengan serangan udara dan tembakan daripada kereta kebal dilaporkan berterusan. Mereka meminta orang ramai menuju ke Deir al-Balah di Gaza Tengah, namun masih mengebom tanpa mengira siang atau malam.

Beliau berkata, pembunuhan Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Saleh al-Arouri di Lubnan menampakkan kegagalan berterusan aparteid Israel kerana objektifnya di Gaza gagal, jadi mereka perlu mencari kejayaan dan kemenangan di luar Gaza dengan menghapuskan pemimpin-pemimpin Hamas.

Nadir Al-Nuri


Saleh Al-Arouri yang juga ketua pengasas bagi Briged Izzuddin Al-Qassam, dilantik menjadi Timbalan Ketua Biro Politik Hamas sejak 2017 dan menetap di Lubnan. Beliau terbunuh selepas Israel melancarkan serangan menggunakan dron di Lubnan.

Ditanya sentimen penduduk Palestin selepas pembunuhan al-Arouri, beliau berkata kebiasaannya mereka menerima berita seumpama itu dengan perasaan bercampur baur.

"Yang pasti penduduk Palestin marah dengan pembunuhan itu apatah lagi al-Arouri adalah pemimpin kanan Hamas tapi mereka juga merasa satu kepuasan kerana selepas hampir tiga bulan melancarkan peperangan di Gaza, Zionis Israel gagal menewaskan pejuang Hamas dan objektif mereka tidak berjaya.

"Ini membawa satu andaian bahawa peperangan akan dihentikan dalam tempoh terdekat, insya-Allah. Mereka akan mewujudkan gambaran pembunuhan al-Arouri sebagai satu kemenangan yang besar.  

"Tapi, pembunuhan al-Arouri tidak akan mengubah pejuang Hamas bagi mempertahan agama, bangsa dan tanah air mereka. Malah, sokongan penduduk Palestin terhadap Hamas semakin bertambah dan utuh," kata Nadir lagi.


Allahyarham Saleh al-Arouri yang dibunuh aparteid Zionis Israel menggunakan dron di kediamannya di Lubnan,


Mengenai semangat dan kekuatan penduduk Palestin terutama di Gaza, kata Nadir mereka tidak mudah lentur dan putus asa. Ini sudah berlaku sejak dulu lagi, selama 75 mereka ditekan dan ditindas. 

"Tapi, mereka manusia biasa. Kesan paling besar yang boleh menggugat mental apabila melihat anak-anak mereka. 

"Sebagai ayah atau ibu mereka boleh menahan diri, tidak makan dan minum selama beberapa hari atau terpaksa berpindah randah tapi apabila melihat situasi anak-anak mereka yang hidup dalam kelaparan atau ditimpa penyakit, itu akan mengganggu perasaan mereka.

"Dan, saya sendiri melihat video kanak-kanak Palestin yang membesar, mereka dewasa sebelum usianya termasuk anak-anak saya sendiri. Apabila saya bertanya kepada anak perempuan saya, Haura berusia lima tahun di mana kamu berada sekarang, dia sebutkan kami berada di bandar Gaza, kemudian berpindah ke Rafar dengan berjalan kaki.

"Bayangkan anak sekecil itu pun tahu apa yang berlaku di Gaza kerana sepanjang berjalan berpuluh-puluh kilometer, dia melihat pelbagai peristiwa, mayat bergelimpangan di jalan raya, bangunan yang musnah, semuanya di hadapan mata. Pastinya ia akan memberi kesan mental untuk tempoh yang lama," katanya.


Misi Zionis Israel menghapuskan pejuang Hamas dan membawa pulang tawanan gagal walaupun mereka menghancurkan Gaza dan membunuh puluhan ribuan penduduk tidak berdosa.


Katanya, bagi menaikkan semangat warga Palestin, rakyat Malaysia perlu bersama mereka, kongsi video atau apa sahaja demonstrasi yang dibuat untuk menyokong mereka, ia akan memberi impak positif kepada penduduk Palestin walaupun jarak kedua-duanya negara jauh. 

 "Saya juga mencadangkan, kerajaan menjadikan apa yang  berlaku di Palestin sebagai silibus dalam pendidikan di negara ini dan diajar di sekolah-sekolah bagi membolehkan generasi muda di Malaysia faham sejarah rakyat dan negara Palestin. Secara tidak langsung, apabila berlaku konflik seperti hari ini, mereka tidak sokong kerana kasihan tapi kerana cinta.

"Wujudkan juga semangat kesukarelawan dalam kalangan anak-anak muda dan pelajar di sekolah supaya bantuan yang disalurkan tidak bermusim dan hanya ketika peperangan sebab rakyat Palestin sudah lama menderita, 75 tahun, bukan ketika peperangan saja," katanya. 

Selain itu, katanya NGO di Malaysia perlu terus mengambil usaha menggerakkan bantuan kerana mereka adalah tulang belakang dan sahabat rakyat Palestin yang mempunyai misi yang sama untuk menyokong perjuangan rakyat bumi bertuah itu. 

"Cuma, pastikan sumbangan itu tidak bertindih dan elak memberi bantuan terus kepada NGO tempatan kerana pengalaman kami bantuan secara komprehensif lebih bermanfaat bagi mengelak sebarang masalah nanti," katanya Nadir lagi.  


Teruskan bersolidariti demi perjuangan rakyat Palestin yang dtindas Zionis Israel sejak 75 tahun lalu.


Sementara itu, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata MyCare sudah memberi pelbagai bentuk bantuan terutama makanan kepada penduduk Palestin tapi peperangan membataskan usaha mereka kerana penduduk tidak berada di satu kawasan sebaliknya berpindah atas sebab keselamatan dan arahan daripada Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Beliau berkata, makanan sangat berharga di Gaza kerana gudang simpanan makanan dan kedai yang menjual barangan seperti daging dan roti musnah dibom tapi MyCare akan menggunakan apa saja kaedah untuk menyalurkan bantuan, selagi ada jalan dan peluang, insya-Allah bantuan akan disalurkan.

"Cara kedua kita menyampaikan bantuan dengan kerjasama NGO di Mesir seperti Medic Worldwide yang mempunyai gudang simpanan selain pejabat kami di sana. Bantuan yang disalurkan Malaysia sebanyak tiga tan makanan juga sudah memasuki Gaza, alhamdulillah. 

"NGO di Mesir dan tim MyCare mencari jalan dan peluang untuk membawa masuk sebanyak mungkin bekalan makanan dan perubatan ke Gaza. Alhamdulillah kami mendapat kerjasama dari Duta Malaysia dan Duta Palestin di Cairo untuk mendapatkan maklumat apa lagi bantuan yang boleh disalurkan. 

"Kami juga dalam proses memberi bantuan selimut dan khemah kepada penduduk Gaza kerana kini musim sejuk dan penduduk terutama kanak-kanak amat memerlukan perlindungan seperti selimut apatah lagi khemah tidak mencukupi," katanya. 


Kamarul Zaman Shaharul Anwar


Beliau berharap rakyat Malaysia terus berdiri teguh menyokong perjuangan penduduk Palestin kerana mereka amat mengharapkan masyarakat dunia tidak berhenti menyokong dan melakukan sesuatu bagi menghentikan tindakan kejam israel. Semangat solidariti perlu diteruskan dan tunjukkan semangat kesamaan kerana ia akan menaikkan moral penduduk Gaza.

"Kita tahu semangat dan jati diri penduduk Gaza kuat, cuma mereka perlukan sokongan kita, jadi usah menunjukkan kesedihan, kelemahan atau terlalu simpati  kerana mereka lebih perlukan sokongan moral anda. 

"Rakyat Malaysia perlu mengumpul sebanyak mungkin maklumat dan dan beritahu kepada mereka apa yang kita lakukan di sini. Segala aktiviti kita dapat mengangkat semangat mereka untuk terus berjuang hingga Palestin menjadi negara merdeka. 

"Usaha membangun semula Palestin mengambil sedikit masa, mungkin lima atau 10 tahun tapi saya berharap apabila berlaku nanti, fokus adalah kepada pendidikan kerana ia amat penting kepada generasi akan datang. Tanpa ilmu, mereka akan tertinggal dan menjadi masyarakat yang terus dijajah," katanya. - KitaReporters


Rakyat Palestin sentiasa mahu mengetahui perjuangan rakyat Malaysia kerana ia adalah semangat untuk mereka terus bertahan.

29
11
0
11
0
You will be interested