Politik & Negara 02 Aug, 2023

Ekonomi Madani: Hanya cukai apa yang patut dan jangan bebankan rakyat! Perbaiki tata kelola! - Anwar

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir pada Persidangan Cukai Kebangsaan 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada Selasa 1 Ogos 2023.


Semasa ucapan saya pada perasmian Persidangan Percukaian 2023 pagi ini, saya singgung tentang kepentingan hasil cukai dalam penstrukturan semula ekonomi kita dan pengagihan kepada lapisan masyarakat yang perlu bantuan.

Namun, saya bertegas, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dan ahli-ahli percukaian perlu telus dan adil apabila mengutip cukai daripada rakyat dan komuniti perniagaan. 

Hanya cukai apa yang patut, dan jangan bebankan rakyat.

Walaupun negara perlu meningkatkan kutipan cukai, saya berharap HASiL akan menyahut cabaran peredaran zaman dan tekonologi, seperti teori ‘creative destruction’ Joseph Schumpeter, di mana produktiviti dan pembangunan akan meningkat apabila teknologi dan cara-cara yang lapuk diganti dengan inovasi baru. 

Dalam erti kata lain, HASiL perlu menjadi lebih inovatif untuk merombak semula sistem percukaian supaya menjadi lebih efisien dan berkesan di zaman sekarang.



Saya turut menekankan agar semua dapat memperbaiki tata kelola dan menerap sikap amanah dalam pengurusan wang. 

Tidak ada guna jika hasil cukai kita meningkat sebanyak mana pun, tetapi masih ada berbilion-bilion ringgit wang rakyat disedut lesap oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

Negara akan kekal kucar-kacir dan rakyat tidak akan terbela jikalau integriti institusi-institusi masih rapuh.

Ekonomi Madani yang telah saya luncurkan minggu lepas adalah perancangan Kerajaan Perpaduan untuk menstruktur semula ekonomi ke aras Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, dan meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.

Nilai-nilai murni seperti adil, saksama, amanah, dan bertanggungjawab inilah yang akan merealisasikan kerangka Ekonomi Madani. 



Kerajaan boleh menetapkan objektif-objektif ekonomi yang meninggi langit, namun mereka tidak akan tercapai jika semua rakyat Malaysia tidak berganding bahu dan mengamal sifat-sifat terpuji. 

Kita pernah menjadi juara Asia satu ketika dahulu, namun kerakusan dan ketirisan sesetengah pihak yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk mengayakan diri sendiri dan kroni telah membuat Malaysia menjadi mundur dan hilang arah kompas moralnya.

Oleh itu, marilah kita semua rakyat menggembleng tenaga untuk memperbaiki struktur ekonomi negara tercinta agar ia menjadi sebuah tempat yang lebih baik untuk kita dan anak-anak kita. 


14
7
0
16
0
You will be interested