.

Hasil usaha gigih dan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berjaya merundingkan gencatan senjata antara dua negara anggota ASEAN - Thailand dan Kemboja - yang berperang di kawasan sempadan masing-masing.
"Alhamdulillah, dua negara sahabat ASEAN, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menamatkan persengketaan melalui pelaksanaan gencatan senjata bermula tengah malam (28 Julai 2025) ini.
"Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, menerima amanah besar bersama rakan-rakan lain untuk memantau pelaksanaan dan pematuhan gencatan senjata ini, atas permintaan kedua-dua pihak," jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu kenyataan menerusi hantaran dalam akaun rasmi Facebooknya pada 28 Julai 2025.
Beliau berkata, pendekatan damai ini mencerminkan semangat Piagam ASEAN berlandaskan hormat-menghormati, penyelesaian secara rundingan, dan penolakan keganasan demi kemanusiaan.

"Kita mesti teguh mempertahan perpaduan ASEAN agar rantau ini kekal sebagai antara wilayah paling aman, stabil dan makmur di dunia.
"Keamanan adalah asas kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serantau," tegas Anwar.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Thailand dan Kemboja atas penyelesaian diplomatik ini, serta kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping atas peranan menyokong usaha damai ini.
"ASEAN terus membuktikan kepimpinan berwibawa di pentas antarabangsa berpaksikan dialog, diplomasi dan nilai kemanusiaan," tambahnya.
Menurut laporan media, tembakan dan serangan artileri meletus berhampiran kawasan kuil pertikaian di Daerah Surin, Thailand dan Oddar Meanchey, Kemboja pada 24 Julai 2025 lalu, sekali gus meletuskan semula konflik terbesar sejak tahun 2011.
Akibatnya, sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh (14 warga Thailand dan 1 tentera; juga korban di Kemboja), dengan ratusan cedera dan lebih dari 130,000 penduduk dipaksa mengosongkan kawasan persengketaan dan berpindah ke lebih 300 pusat penampungan di Thailand dan banyak lagi di Kemboja. - KitaReporters/Kenyataan Media
