
Jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara di dunia, apatah lagi negara-negara Islam, yang benar-benar selamat daripada ancaman serangan Zionis Israel.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serangan terhadap Qatar ini jelas membuktikan bahawa kezaliman Zionis Israel tidak terbatas.
"Ia bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah kini mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya.
"Jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman mereka," tegas beliau.

Pada 9 September 2025, Israel telah melancarkan serangan udara yang menyasarkan kepimpinan Hamas di Qatar, ketika mereka bertemu untuk membincangkan cadangan gencatan senjata aktif yang dibentangkan oleh Amerika Syarikat.
Serangan itu, yang berlaku di daerah Leqtaifiya di ibu negara Qatar, Doha, merupakan serangan pertama Israel yang diketahui terhadap negara Teluk itu, dan serangan langsung pertamanya ke atas ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Perdana Menteri telah berangkat ke Doha, Qatar pada Ahad, 14 September 2025, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam.
"Insya-Allah, esok (Isnin, 15 September 2025) saya akan menyampaikan Kenyataan Negara bagi menzahirkan solidariti Malaysia terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan biadab Zionis Israel," ujarnya.

Beliau berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim ini.
"Kita berdiri teguh bersama Qatar dan Palestin serta seluruh dunia yang cintakan keamanan serta keadilan.
"Inilah saatnya untuk dunia Arab-Islam, dan masyarakat antarabangsa bangkit bersatu mempertahan maruah, menghentikan keganasan, dan menjamin keselamatan sejagat," tambah Anwar.
Katanya, kerajaan Madani juga akan menegaskan sekali lagi, Malaysia tidak akan tunduk, tidak akan goyah, dan berdiam diri selagi penindasan ini berterusan.
"Malaysia tetap berdiri bersama rakyat Palestin yang dizalimi," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media