Politik & Negara 11 Jul, 2024

Israel negara pariah, aparteid! Zionis sama bahaya dengan ISIS! Satu dunia dah tahu tembelang mereka!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Sebahagian daripada jemaah yang hadir mendengar forum bertajuk Pembebasan Palestin. Apa Peranan Kita? di Surau Jubli Perak Al-Ikhwan, Bandar Baru Bangi, Selangor  


ISRAEL adalah sebuah "Negara Pariah” (Pariah State) selepas mereka secara kejam membunuh berpuluh-puluh ribu penduduk Palestin , menduduki buminya secara haram dan tindakan aparteid (perkauman) di bumi para anbiya itu sejak 75 tahun lalu.

Sebagai negara "pariah" (terbuang), perbuatan kotor mereka tidak akan berjaya tanpa restu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen yang menyokong kekejaman mereka.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE & Peserta Flotila ke Gaza 2024, Dr Fauziah Hassan, berkata sejak menjajah bumi Palestin pada 1948, mereka sudah dianggap negara aparteid malah mantan Presiden AS, Jimmy Carter dalam bukunya, Peace Not Apartheid turut menyatakan perkara yang sama.


"Amnesty International juga menyatakan Israel sebuah negara aparteid dan ini membuka mata dunia terhadap kehadiran mereka secara haram di Palestin. Kenyataan itu bukan muncul secara tiba-tiba tetapi satu fakta kerana sejak Israel menjajah Palestin, Zionis melakukan banyak kerosakan termasuk pembunuhan secara terbuka.

"Undang-undang Israel tidak pernah mendakwa tenteranya yang membunuh rakyat Palestin sejak peristiwa Intifada Pertama 1987 tapi mereka boleh mendakwa malah menangkap penduduk Palestin tanpa pembicaraan walaupun tiada bukti apa-apa, Jadi, selayaknya mereka diiktiraf Negara Pariah.

"Hakikatnya, Israel sudah kalah dari segi moral, terbuang, ekonomi merudum dan ramai pelancong serta pelabur takut ke negara itu. Matlamat menghapuskan Hamas juga gagal sebaliknya mereka kini dianggap bahaya seperti ISIS dan disenarai hitam sebagai negara aparteid," kata  Dr Fauziah.

Dr Fauziah Hassan


Beliau berkata demikian dalam forum bertajuk, Pembebasan Palestin. Apa Peranan Kita? di Surau Jubli Perak Al-Ikhwan, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor. Ahli panel lain ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh dan dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Palestine Centre of Excellence (PACE), Khalid Jimat.

Turut hadir,  Yang Dipertua Ikram Bandar Baru Bangi, Mohd Helmy Sakir; Pengerusi Surau Jubli Perak Al-Ikhwan, Hasbullah Mustafa; Imam Rawatib, Ubaid Mohd Asri; dan Timbalan Pengerusinya, Abdul Aziz Muhamad Yusoh. Forum itu anjuran bersama IKRAM Bandar Baru Bangi, Surau Jubli Perak Al-Ikhwan dan Rose2Rose.  


Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh (tengah) bersama Dr Fauziah (kiri) sebagai ahli panel dan Khalid Jimat sebagai moderator forum bertajuk, Pembebasan Palestin. Apa Peranan Kita? di Surau Jubli Perak Al-Ikhwan, Bandar Baru Bangi, Selangor.


"Melihat situasi di Gaza, saya boleh simpulkan perasaan ini dalam tiga perkataan. Pertama bersyukur kepada Allah kerana buat pertama kali orang Palestin masuk semula ke negara mereka. Memang hebat kerana dalam keadaan tertindas pun boleh menyerang dan ia sah mengikut undang-undang antarabangsa kerana itu hak mereka sebagai bangsa yang teraniaya.  

"Kedua, saya sangat teruja kerana mereka boleh bangkit dan dalam diam-diam menghasilkan sesuatu yang sesiapa pun tak pernah menduga. Ini membuktikan mereka ada perancangan, diam bukan bererti kalah atau berputus asa tapi mencari strategi terbaik bagi menyerang musuh.

"Saya lebih teruja kerana mereka tahu bila dan saat yang sesuai untuk menyerang dalam keadaan musuh lemah. Sebelum ini, orang cakap, Israel tidak boleh dikalahkan tapi apabila Hamas menyerang hingga ke wilayah haram Israel dan menawan ratusan tawanan, itu suatu keajaiban.

"Ketiga, saya risau kerana Israel tidak akan berdiam diri dan sekarang sudah masuk bulan kesembilan, mereka terus menyerang dan membunuh penduduk Palestin di Gaza dan Rafah," katanya.

Dr Mohamed Ikram (tiga dari kanan), Dr Fauziah (tiga dari kiri), Khalid (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama Hasbullah Mustafa (empat dari kanan), Mohd Helmy Sakir (dua dari kiri) dan Abdul Aziz Muhamad Yusoh selepas forum di Surau Jubli Perak Al-Ikhwan, Bandar Baru Bangi, Selangor. 


Dr Fauziah berkata, ada dalam kalangan orang Islam marah dan menyalahkan Hamas menyerang Israel dan akibatnya tentera Zionis membuat tindak balas yang menyebabkan berpuluh-puluh ribu nyawa penduduk Palestin terkorban.

"Kita patut tahu objektif Israel, dia mahu mengambil semua tanah dan menghapuskan bangsa Palestin. Dan, mereka sudah melakukan sejak 75 tahun lalu, menyeksa dan menyusahkan rakyat Palestin. Ini bagi menakutkan dan rasa tidak selesa atau selamat tinggal di sana lalu berpindah ke tempat lain.

"Di Tebing Barat, orang Kristian dah tak ramai, mereka berpindah kerana tidak tahan dan generasi muda menganggap tiada masa depan menetap di Palestin.

"Apabila penduduk di Gaza dan Tebing Barat berpindah, Israel akan membawa beribu-ribu pendatang haram Yahudi dari Eropah, tapi peristiwa 7 Oktober 2023 menghalang cita-cita mereka sebaliknya ramai rakyat Israel yang meninggalkan negara haram itu," katanya lagi. 

Keadaan lori yang membawa bekalan untuk penduduk Palestin tersadai di sempadan Rafah sementara menunggu kebenaran pihak berkuasa Mesir untuk masuk ke Gaza. 


Kata Dr Fauziah, Israel membelanja berjuta-juta dolar untuk mengawal media massa, dulu mereka tulis apa saja cerita yang merapu dan pembaca percaya, takkan New York Times menyiarkan berita menipu. Tapi sekarang dunia sudah tahu tembelang mereka kerana berita yang disiarkan media sosial, mereka tidak boleh menapis lagi sebaliknya terus dari tempat kejadian.   

"Saya pernah tanya rakan yang naik kapal 'Freedom Flotilla Coalition' (FFC), mengapa kamu datang dan mengambil bahagian membantu rakyat Palestin. Mereka beritahu, apa yang akan jawab kepada cucu-cucu kami jika mereka bertanya apa yang dibuat mengenai situasi di Palestin, pasti kami akan malu dan tidak boleh memberi apa-apa jawapan.

"Mereka kata, ini soal kemanusiaan. Itu orang kafir, takkan kita sebagai umat Islam tidak peduli apa yang berlaku di sana dan menyalahkan Hamas menyerang Israel. Jika itu pendirian kita, bodohlah kita atau kita memang jenis manusia penakut dan mementingkan diri sendiri.


Seorang pengunjung, Mizwan Shahimin tertarik melihat pameran mengenai Palestin yang diadakan sempena forum bertajuk, Pembebasan Palestin. Apa Peranan Kita? di Surau Jubli Perak Al-Ikhwan, Bandar Baru Bangi, Selangor. 


"Israel mungkin berjaya mengusir penduduk Kristian, bukan rakyat Palestin. Ketika di Gaza pada 2008, saya pernah bertanya seorang wanita tua Palestin yang berkerusi roda, mengapa tidak mahu keluar. Wanita itu dengan bersemangat berkata, dia tidak akan meninggalkan tanah airnya walaupun setapak. Ini menyebabkan Israel mati akal," katanya lagi. 

Dr Fauziah berkata, jika peristiwa 7 Oktober 2023 tidak berlaku, Israel tetap akan mengusir dan menghapuskan penduduk Palestin. Dan, sekarang rakyat Palestin hanya ada 10 peratus wilayah milik mereka iaitu Gaza dan Tebing Barat

"Mereka kononnya tidak melakukan genosid tapi hakikatnya mereka "genocide maniac" malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyenarai hitam mereka sebagai "pembunuh kanak-kanak". Dia kata, askar mereka "most moral" tapi sekarang dunia dah tahu perangai sebenar. Kini, buka telefon bimbit, orang sudah tahu fakta jijik Israel.  

"Jadi, saya tidak terkejut dengan ramalan pemimpin Hamas, Syeikh Ahmed Ismail Hassan Yassin bahawa Israel akan lenyap dari muka bumi ini menjelang tahun 2027. Apa yang berlaku sekarang ialah detik-detik kehancuran mereka," kata Dr Fauziah.   


Ubaid Mohd Asri (kanan) menerima cenderahati daripada Hasbullah (tengah) dan Mohd Helmy sempena forum Palestin di Surau Jubli Perak Al-Ikhwan, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Mengenai misi FFC, walaupun pelayaran kapal litu ditangguh April lalu, beliau bersama sukarelawan lain dari 12 negara akan berusaha memecahkan kepungan Israel ke atas penduduk Gaza, menghantar bantuan kemanusiaan dan mendedahkan tembelang mereka kepada dunia selain pembabitan jijik Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Kita kena kembalikan maruah orang Palestin, dulu saya tidak minat berdemo tapi apabila ke Gaza dan dengar sendiri semangat mereka apabila orang Malaysia dan Indonesia berdemo, saya terharu dan akan terus melakukan apa terdaya untuk pembebasan Palestin termasuk Masjid Al-Aqsa  

"Usah berdiam diri dan senyap dan menganggap isu Palestin bukan masalah kita. Jika kita tidak melakukan apa-apa, seolah-olah kita merestui apa yang berlaku termasuk genosid. Ingat, Allah tidak pernah memungkiri janji, insya-Allah Palestin akan dibebaskan," kata Dr Fauziah.

Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh


Sementara itu, Dr Mohamed Ikram berkata, peristiwa 7 Oktober 2023 bukan berlaku secara tiba-tiba, ia adalah taktikal perang yang terancang dan hebat. Dulu Israel bawa cerita mereka perlu mempertahan diri, masa tu tak ada internet dan media sosial, bolehlah berbohong.

"Selepas Nakbah 15 mei 1948, Palestin hanya tinggal Gaza dan Tebing Barat. Ini fakta sebenar dan sejarah yang perlu diberitahu kepada anak-anak kita.

"Ibu bapa juga perlu tahu sejarah Palestin dan ceritakan kepada anak-anak supaya mereka bersemangat membantu membebaskan bumi suci itu. Usaha memberi kesedaran kepada masyarakat amat perlu kerana jika kita anggap "tidak apa", rakyat Palestin akan dilupakan sedangkan mereka menderita sejak 75 tahun lalu.

"Saya sudah dua kali ke Gaza dan baru pulang dari Rafah dan melihat kehancuran yang dahsyat termasuk hospital. Sekarang, mereka terpaksa membina khemah untuk memberi rawatan kepada mangsa peperangan yang berlaku setiap hari," katanya lagi.
 

Walaupun dalam keadaan peperangan, ada kira-kira 1,500 bayi dilahirkan setiap bulan di bumi Palestin termasuk kelahiran bayi kembar.   


"Rafah ni kecil jer, setiap kali selepas serangan jet Israel, ramai datang mendapat rawatan, 10 hingga 15 orang. Walaupun ramai yang terkorban tapi Allah kurniakan perempuan Palestin ini subur, ramai kelahiran bayi kembar malah secara purata ada 1,500 kelahiran sebulan. Insya-Allah, bangsa Palestin tidak akan pupus dari muka bumi," katanya.

Tapi, beliau terharu kerana dalam keadaan tertekan akibat peperangan, penduduk Palestin tetap tabah dan reda dengan ujian Allah. Buktikan setiap solat subuh, ramai tidak lupa melakukan solat secara berjemaah termasuk di tepi jalan dan masjid yang hancur akibat pengeboman Yahudi.

"Saya pernah berjumpa anggota komando Al-Qassam, mereka mengakui bukan mudah menjadi anggotanya kerana syarat dikenakan ketat termasuk menghafal al-Quran dan wajib solat subuh berjemaah. Iman mereka kuat berserah kepada Allah, bagi mereka perjuangan untuk syahid dan masuk syurga," katanya.

Justeru, katanya setiap umat Islam di Malaysia perlu mengambil tanggungjawab membebaskan Palestin, pastikan tapak kaki ada di bumi suci itu. 

"Itulah jihad kita, jika tidak mampu mengangkat senjata, berdoa atau menderma, yang penting usah berputus asa kerana kemenangan akan tiba jua," katanya lagi. - KitaReporters

15
10
0
10
0
You will be interested