Politik & Negara 14 Aug, 2023

Pendapat| PRN: Hanya menang 19 dari 108 kerusi! Kalau ayah masih hidup, dia pasti menangis! Referendum untuk UMNO?

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


PENULIS mengenali parti United Malays National Organisation (UMNO) sejak lahir pada 1961, malah membesar serta sangat dekat dengannya. Ia kerana ayah penulis, Allahyarham Nayan Ahmad, ketika itu adalah Ketua UMNO Cawangan di kampung kelahiran penulis, Kampung Relau, Bandar Baharu, Kedah.

Walaupun berjawatan sebagai ketua cawangan sahaja, namun ayah tidak ubah seperti wakil rakyat di kampung itu. Apa saja masalah penduduk kampung, termasuk hal peribadi, ayahlah yang dicari untuk mengadu, pada hal kampung kami mempunyai penghulu!

Beliau bukan saja menjadi bahan rujukan atau tempat mengadu malah sangat dihormati penduduk kampung. Sebagai anak, penulis sangat bangga dengan ayah yang seolah-olah seorang Yang Berhormat (YB) di kampung itu!

Ayah juga mempunyai hubungan yang rapat dengan tokoh-tokoh UMNO nasional seperti Allahyarham Tun Ghafar Baba dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Penulis tidak ingat tapi pernah diceritakan oleh ayah, Mahathir pernah berkunjung ke rumah kami untuk makan durian pada tahun 1960-an. 

Sebagai anak yang agak rapat dengan ayah, beliau sering ‘mengusung’ penulis ke sana sini. Saat paling menggembirakan penulis adalah apabila ayah membawa penulis singgah minum di kedai kopi yang merupakan ‘pusat operasi’ beliau untuk penduduk kampung bertemu serta mengadu masalah.


SEBELUM terbentuk Barisan Nasional, UMNO bernaung di bawah Parti Perikatan yang menggunakan lambang kapal layar.


Ayah sedar dia tidak boleh ‘menongkat langit’ untuk terus bergayut pada jawatan dan beliau berundur secara terhormat 

Penulis masih ingat, bila tiba musim pilihan raya, ayah yang paling sibuk. Beliau tidak akan lekat di rumah, bermesyuarat di sana sini serta berkempen untuk calon UMNO yang akan bertanding di kawasannya walaupun ketika itu kawasan berkenaan boleh dikategorikan sebagai kubu kuat UMNO.

Kami adik-beradik turut terbabit, dikerah oleh ayah untuk menampal poster parti Perikatan yang ketika itu menggunakan simbol kapal layar sebelum muncul lambang dacing. Selain dinding rumah sendiri yang penuhditampal, pokok-pokok di sekitar kampung itu turut dijadikan sasaran. Apa yangmenyeronokkan, kami akan mendapat upah atas tugasan itu.

Apabila meningkat remaja dan mula membabitkan diridalam bidang penulisan, penulis sering ditugaskan oleh ayah untuk menulis teks ucapannya setiap kali UMNO di kampung itu mengadakan mesyuarat terutama mesyuarat agung. Upah penulis hanyalah minum di kedai kopi namun penulis cukup bangga terutama bila mendengar ayah berucap di rostrum.

Tetapi, sesuatu yang penulis tidak boleh lupa adalah ucapan terakhir ayah sebagai ketua cawangan yang penulis tuliskan untuknya. Ia adalah ucapan yang penuh beremosi sehingga beberapa kali ucapannya terhenti kerana menahan sebak. Penulis yang turut berada di dalam dewan turut berasa sedih dan menahan diri daripada menangis.

Penulis tahu, sebagai seorang yang lama memegang jawatan itu, sejak zaman mudanya, bukan mudah untuk ayah berundur bagi memberi laluan kepada orang baharu mengambil alih. 

Namun, pada masa yang sama, ayah sedar dia tidak boleh ‘menongkat langit’ untuk terus bergayut pada jawatan itu. Masa merubah keadaan, riak perubahan sudah beliau hidu dan ayah berundur secara terhormat!

Ayah pernah berkata kepada penulis, beliau rela melepaskan jawatan itu kerana tidak mahu kecewa dengan UMNO yang ketika itu didakwanya mula dipengaruhi politik wang. Sebagai seorang yang berintegriti, ayah tidak rela menggadai prinsipnya semata-mata untuk kekal berkuasa.


ALLAHYARHAM Nayan Ahmad pernah menjawat jawatan Ketua Umno Cawangan Kampung Relau, Bandar Baharu, Kedah.


Begitulah betapa berintegritinya ayah sebagai pemimpin UMNO ketika itu, yang tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit

Bila ayah mengungkap sedemikian, penulis segera teringat satu peristiwa yang membabitkan penulis. 

Suatu hari, tiga orang lelaki berpakaian kemas datang ke rumah, mahu menjemput penulis untuk dihantar kesebuah sekolah berasrama penuh di negeri Kedah pada hal secara merit penulis tidak layak. Penulis sendiri terpinga-pinga dengan tawaran itu kerana tidak pernah memohon.

Menurut salah seorang lelaki itu, penulis mahu dijadikan anak angkat oleh seseorang yang berpengaruh dengan dihantar ke sekolah berasrama penuh serta ditanggung segala keperluan persekolahan sehingga tamat belajar waima hingga ke peringkat universiti. Mendengar khabar itu, hati penulis melonjak gembira.

Tapi, ayah berkeras menegah serta meminta lelaki-lelaki itu pulang. Penulis masih ingat antara kata-kata ayah yang tegas kepada ketiga-tiga lelaki itu. “Anak aku yang lain aku boleh tanggung, tak kan yang ini seorang tak boleh. Pergi balik!”

Keputusan ayah itu membuatkan penulis kecewa kerana penulis hendak sangat merasa belajar dan hidup di asrama walaupun tidak layak. Pada ketika itu, tidak ramai anak kampung itu yang belajar di sekolah berasrama penuh, adalah seorang dua. Kalau dapat belajar di situ, ia memang satu kebanggaan.

Rupa-rupanya tiga orang lelaki berpakaian kemas itu adalah ‘orang’ seorang ahli politik UMNO yang hendak bertanding satu jawatan penting pada peringkat bahagian. Menurut ayah, tawaran yang diberikan kepada penulis itu adalah satu cubaan menyogoknya agar menyokong ahli politik itu bertanding di bahagian.

Begitulah betapa berintegritinya ayah sebagai pemimpin UMNO ketika itu,  yang tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit walaupun tawaran yang diberi bukan calang-calang. 

Walaupun pada awalnya agak kecewa dengan keputusan ayah namun selepas semakin dewasa dan matang, penulis sangat bangga dengan pendirian ayah, sesuatu yang sangat bernilai untuk penulis jadikan panduan hidup!


UMNO yang membentuk gabungan bersama Pakatan Harapan untuk PRN enam buah negeri, mengalami kekalahan teruk apabila hanya memenangi 19 dari 108 kerusi dipertandingkan.



Secara berseloroh, penulis pernah berkata kepada ayah: “Kalau la pak bagi chek pi masuk asrama hari tu, mungkin la ni chek dah jadi menteri.”

Dan ayah membalas dalam senyuman: “Tak pa la, hang jadi wartawan pun pak dah bangga. Kalau hang jadi menteri, mungkin hang ambil rasuah.”

Bunyinya macam bergurau tapi apabila direnung, cakap-cakap ayah itu mungkin ada kebenarannya kerana kuasa kadangkala boleh menggelapkan mata manusia! Seperti mana yang terbukti sekarang.

Kenangan itu tiba-tiba muncul kembali bila penulis melihat keadaan UMNO sekarang terutama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 lalu dan terbaharu, Pilihan Raya Negeri (PRN), pada Sabtu, 12 Ogos, 2023. 

Sebagai parti yang memperjuang kemerdekaan dan dianggap sebagai pembela nasib orang Melayu serta dianggap sebagai parti keramat, apa yang menimpa UMNO sekarang sangat menyedihkan.



Penolakan orang Melayu terhadap parti itu kini amat ketara. Ia jelas diterjemahkan dalam PRU yang mana UMNO bukan sahaja hilang tampuk kuasa malah gagal bangkit sehingga mengalami kekalahan teruk pada PRN kali ini.

Ketika orang menganggap keputusan PRN itu sebagai referendum untuk Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) danBarisan Nasional (BN), penulis lebih melihat ia sebagai referendum kepada BN khususnya UMNO.

Sesuatu perlu disegerakan, yang mendambakan pemimpin berjiwa besar dan memiliki ketulusan hati untuk melakukan pengorbanan demi menyelamatkan parti keramat ini. Apa solusinya?

Rasanya tidak perlu penulis yang kerdil ini menunjuk ajar kerana pemimpin-pemimpin UMNO lebih arif malah sebenarnya tahu apa yang perlu mereka lakukan. Cuma persoalannya, sama ada mereka mempunyai ‘will’ (iltizam) untuk melakukannya.

Ayah penulis mungkin hanya seorang ketua cawangan namun dia mempunyai intergriti dalam perjuangannya dan sanggup berundur demi mempertahan prinsip walaupun berada di tampuk kuasa itu sesuatu yang sangat lunak.

Pada saat ini, penulis sering membayangkan, kalaulah ayah masih hidup, sudah tentu remuk redam hatinya melihat rumah yang pernah ditukanginya semakin reput dan hanya menunggu masa untuk runtuh. 

Sudah pasti dia menangis, meratapi nasib UMNO sekarang! - KitaReporters


 

 

 

 

11
19
3
17
0
You will be interested