Bahasa Malaysia telah ditetapkan dan dijadikan Bahasa Kebangsaan negara ini dan turut menjadi lingua franca yang popular dalam wilayah serantau nusantara ini.


Malah setelah 68 tahun negara merdeka sudah pasti Bahasa Kebangsaan telah berjaya didaulat dan dimartabatkan di seluruh negara mencakup pelbagai aspek.
Namun begitu rakyat mengadu akan kedudukan Bahasa Kebangsaan khususnya pada papan tanda iklan swasta khususnya masih lagi tidak membanggakan, sebaliknya memperlihat sikap tidak entang dan peduli terhadap undang-undang iklan sedia ada sama ada pada peringkat negeri mahupun Persekutuan.
Tinjauan KitaReporters yang dibuat di beberapa premis di Seberang Perai, Pulau Pinang dengan ketara memperlihat ketidakpedulian pemilik premis apabila mereka sengaja memperkecilkan Bahasa Kebangsaan.

Lebih mendukacitakan tiada tindakan serius yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran mahupun Majlis Bandar Raya sedia ada sama untuk menurunkan, menanggalkan atau mengenakan kompaun terhadap premis yang engkar menggunakan Bahasa Kebangsaan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan undang-undang.
Kebanyakan garis panduan pemasangan papan iklan premis perniagaan sememangnya menetapkan setiap papan iklan hendaklah mengutamakan Bahasa Malaysia dalam penyediaan iklan.
Ayat dan perkataan bahasa Malaysia yang digunakan perlu jelas dan tepat serta tidak mengandungi bahasa kesat atau sentimen perkauman.
Saiz perkataan Bahasa Malaysia perlulah lebih besar dari bahasa-bahasa lain yang benar digunakan.
Namun begitu sehingga saat ini undang-undang iklan sedia ada umpama hidup segan, mati tidak mahu.

Undang-undang ada tapi macam tiada kerana hanya wujud atas kertas, apalagi penguatkuasaan sudah jelas jauh panggang dari api.
Akhirnya di merata-rata ceruk negara imej sebenar Malaysia dicemari tanpa identiti tersendiri. Setiap pelosok khususnya di kawasan bandar tercemar dan ternoda bahasanya.
Undang-undang sedia ada umpama kostum dan hiasan semata-mata. Malu dan terhina.
Bahasa Kebangsaan tidak terbela. Tiada pihak mahupun agensi kerajaan terbabit yang serius bangkit, peduli untuk mengenakan kompaun, turunkan, tanggalkan papan iklan yang menganaktirikan Bahasa Kebangsaan.
Maka, rakyat bertanya ke mana sebenarnya arah dan hala tuju agensi penguatkuasaan undang-undang papan tanda iklan dalam negara kini? - KitaReporters
