Politik & Negara 18 Apr, 2025

Akhirnya termeterai juga! Jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok! Suntik nafas baharu! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this



Malaysia dan Thailand akhirnya memeterai perjanjian yang lama dinanti-nantikan iaitu pembinaan jambatan kedua menghubungkan Rantau Panjang di Malaysia dan Sungai Golok di Thailand.

"Jambatan persahabatan ini akan meningkatkan keterhubungan antara dua rakyat dan menyuntik nafas baharu kepada ekonomi tempatan di kedua-dua belah sempadan," tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangkok pada 18 April 2025.

Terdahulu, dalam sidang medianya di Bangkok, Perdana Menteri berkongsi hasil lawatan kerja bersama delegasi Malaysia ke Thailand, termasuk beberapa pencapaian penting dalam kerjasama dua hala susulan pertemuan dengan PM Paetongtarn Shinawatra di Bangkok pada 17 April 2025.

"Antara pencapaian paling bermakna ialah termeterainya perjanjian yang telah lama dinanti-nantikan bagi membolehkan pembinaan Jambatan Persahabatan Rantau Panjang-Sungai Golok.

"Ini akan meningkatkan keterhubungan serta menyuntik nafas baharu kepada ekonomi tempatan di kedua-dua belah sempadan," jelasnya.



Anwar turut memaklumkan hasil pertemuan dengan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing pada 17 April 2025, di mana beliau menggunakan kesempatan itu untuk menegaskan keperluan menghentikan pertempuran dan melanjutkan gencatan senjata bagi membolehkan akses bantuan kemanusiaan yang mendesak kepada rakyat Myanmar.

"Saya turut menyatakan keperluan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada semua komuniti yang terjejas, tanpa mengira penjajaran politik mahupun geografi, dan beliau menyatakan komitmen terhadap perkara ini," tambahnya.

Perdana Menteri berkata, beliau turut mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN, yang diketuai Dr Thaksin Shinawatra dan dianggotai tokoh-tokoh kanan serantau, sebelum mengadakan pertemuan maya dengan U Mahn Win Khaing Than daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar. 

"Saya akan membentangkan hasil pertemuan ini kepada rakan-rakan pemimpin ASEAN untuk tindakan selanjutnya. 

"Saya percaya usaha mewujudkan keamanan berpanjangan di Myanmar akan lebih berkesan jika digerakkan di bawah kerangka ASEAN tanpa campur tangan pihak ketiga.

"Alhamdulillah, meskipun singkat namun lawatan kerja ini telah membuahkan hasil yang cukup bermakna untuk persahabatan erat Malaysia-Thailand dan komuniti ASEAN," ujar beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
13
0
14
0
You will be interested