Politik & Negara 10 Aug, 2025

Video| Hujan lebat tak lunturkan semangat! Malaysia Bangkit Untuk Gaza! Semua agama, bangsa, politik!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this



Hujan lebat sekitar jam 4 petang tidak menghalang semangat dan solidariti peserta dari pelbagai latar belakang hadir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sempena Himpunan Perdana Nasional: Malaysia Bangkit Untuk Gaza pada Sabtu, 9 Ogos 2025.

Himpunan itu dianjurkan oleh Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) dengan kerjasama pelbagai NGO seperti HALUAN, Yayasan Amal Malaysia, Ikram, Gerakan Pembela Ummah, Muslim Care Malaysia serta mendapat sokongan agensi kerajaan dan Ahli Parlimen pelbagai parti.

Walaupun kehadiran hanya 2,000 peserta berbanding jangkaan penganjur seramai 5,000 peserta, ia tidak penting kerana lebih utama ialah keikhlasan dan solidariti Malaysia kepada rakyat Palestin.


Peserta Himpunan Perdana Nasional: Malaysia Bangkit Untuk Gaza di Dataran Merdeka mengibar sepanduk dan bendera Palestin sambil melaungkan slogan solidariti Gaza.


Ia bermula jam 4 petang hingga 11 malam, dengan perarakan peserta bermula selepas solat asar dari tiga lokasi utama iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, dan SOGO, sebelum berkumpul di Dataran Merdeka.

Meskipun berlaku hujan sekitar jam 4 petang, semangat peserta kekal tinggi, ramai memakai skaf berwarna bendera Palestin dan melaungkan slogan seperti "Bebaskan Palestin" serta "Undur Israel dari Gaza"

Acara program termasuk persembahan anak-anak Palestin, pertunjukan nasyid daripada kumpulan Far East dan Rabbani, bacaan doa. solat maghrib secara berjemaah, ucapan tokoh masyarakat serta tokoh antarabangsa seperti wakil Kesatuan Ulama Palestin.


Himpunan Perdana Nasional: Malaysia Bangkit Untuk Gaza di Dataran Merdeka berjalan secara aman dengan kawalan daripada PDRM dan penguatkuasa DBKL.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan kawalan keselamatan dan trafik, dengan kira‑kira 400 anggota polis ditugaskan sepanjang program termasuk penguatkuasa dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ini bagi memastikan peserta mematuhi undang-undang, termasuk larangan membawa objek tajam, mercun, banner bersifat provokasi, atau penggunaan dron.

Pengarah Himpunan dan Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G), Datuk Mohd Apandi Mohamad berkata, himpunan itu menekankan aspek kemanusiaan, menyeru solidariti daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa atau ideologi, menentang keganasan dan genosid yang berlaku di Gaza.


Peserta perhimpunan menunaikan solat maghrib berjemaah dan mendoakan peperangan di Gaza ditamatkan secepat mungkin.


Beliau berkata, perhimpunan ini bukan mengenai perang atau politik, tetapi “seruan untuk menghentikan satu malapetaka kemanusiaan” yang disertai dengan nilai-nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat.

"Kami berbangga dengan sambutan ribuan peserta terdiri daripada pelbagai latar termasuk NGO, mahasiswa dan orang awam yang berhimpun di Dataran Merdeka atas nama kemanusiaan sejagat dan solidariti terhadap Gaza

"Alhamdulillah, perhimpunan berjalan secara aman dengan kawalan PDRM dan DBKL tapi lebih penting, ini adalah cetusan perasaan dan kemanusiaan rakyat Malaysia yang mahu Israel menghentikan segera peperangan di Gaza yang mengorbankan puluhan ribu nyawa tidak berdosa," kata Mohd Apandi. - KitaReporters


Ribuan peserta hadir di Dataran Merdeka terdiri dari pelbagai latar termasuk NGO, mahasiswa dan orang awam yang berhimpun atas nama kemanusiaan sejagat dan solidariti terhadap Gaza 

22
11
0
14
0
You will be interested