Politik & Negara 08 Oct, 2024

Video| Setahun genosid di Gaza! Malapetaka buatan Israel, disokong Amerika Syarikat! PBB tiada kuasa!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Apabila pemimpin politik berbicara tentang pembunuhan beramai-ramai (genosid) mereka mengulangi mantera yang telah usang: "Never again" (Jangan pernah lagi). 

Sepanjang tahun lalu, bagi rakyat Palestin di Gaza, "sekali lagi" telah menjadi realiti - berita mangsa keganasan Israel disiarkan hampir setiap detik oleh mangsanya.

Kami, tidak boleh tidak, mengulangi kecaman tegas kami terhadap jenayah genosid yang dilakukan oleh rejim zionis Israel di Gaza, melengkapkan satu tahun (7 Oktober 2023 hingga 7 Oktober 2024) pengeboman dan serangan tanpa henti dari udara dan darat yang membunuh, sehingga mengikut kiraan terakhir, lebih 50,000 nyawa, dengan hampir 17,000 kanak-kanak dan 15,000 wanita, hilang. 

Bilangan korban masih meningkat dari sehari ke sehari sehingga hari ini. Gaza menjadi kubur terbuka terbesar di dunia.

Serangan selama 365 hari sehingga 7 Oktober 2024 tidak pernah berlaku dalam empat peperangan sebelum ini di Gaza: 

  • Dalam tempoh 23 hari pada 2008/2009, 1,400 rakyat Palestin terkorban.
  • Dalam tempoh 8 hari pada 2012, 87 rakyat Palestin dibunuh.
  • Dalam tempoh 50 hari pada 2014, 2,100 rakyat Palestin dibunuh.
  • Dalam tempoh 11 hari pada bulan Ramadan pada 2021, 260 rakyat Palestin terkorban. 



Genosid yang berterusan di Gaza adalah malapetaka buatan manusia dan dengan niat untuk mencapai matlamat pembunuhan penduduk dan pemusnahan Gaza oleh rejim jahat Israel secara total, dengan disokong oleh negara seperti AS yang ekonominya bergantung kepada industri peperangan. 

Sesungguhnya, peperangan adalah penyuntik kewangan untuk mengekalkan ekonomi AS sama ada menjual senjata pemusnah besar-besaran atau menjadikan alat awam sebagai senjata yang diguna dalam kehidupan seharian seperti "pager" (alat komunikasi) atau telefon bimbit untuk membunuh rakyat Palestin dan pemimpinnya seperti yang dilancarkan di Lebanon baru-baru ini.

Israel mempersenjata segala-galanya untuk membunuh rakyat Palestin. Hatta, peralatan asas yang dimiliki rakyat biasa yang meledak daripada kawalan jarak jauh. 

Kelaparan juga dianggap senjata buat Israel. Malah Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, dipetik sebagai berkata "wajar dan bermoral" untuk melaparkan rakyat Palestin di Gaza. 

Sejak penubuhan Israel pada 1948, ia telah menerima USD$158 bilion bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat, menjadikannya penerima terbesar dalam sejarah. 

Dalam serangan 2023-2024 ini, AS telah menyalurkan USD$14 bilion sebagai tambahan kepada bajet tahunan USD$3 bilion kepada persenjataan tentera Israel. 

Israel telah menggugurkan lebih 70,000 tan bom buatan AS di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 lalu, jauh mengatasi jumlah bom yang digugurkan di Dresden, Hamburg, dan London semasa Perang Dunia Kedua. 

“Dianggarkan Israel telah menggugurkan lebih 70,000 tan bahan letupan di Semenanjung Gaza sebagai tambahan kepada operasi jentolaknya, memusnahkan semua bangunan pada jarak sehingga satu kilometer di timur dan utara Semenanjung untuk mewujudkan apa yang dipanggil zon penampan," menurut organisasi pemantau hak asasi manusia yang berpangkalan di Geneva.



Pembunuhan secara sasaran dan pembunuhan beramai-ramai adalah modus operandi rejim zionis. 

Kerosakan koletoral (kemusnahan tidak sengaja)  tidak dipertimbang sama sekali dalam operasi ketenteraan Israel. 

Malah Menteri Warisan sayap kanan Israel, Amichai Eliyahu, pada Januari 2024, memperbaharui gesaannya untuk menyerang Semenanjung Gaza dengan "bom nuklear". 

Akhbar The Times of Israel memetik Eliyahu sebagai berkata semasa lawatan di bandar Hebron, Tebing Barat, merujuk kepada gesaannya sebelum ini untuk menggunakan senjata nuklear di Semenanjung Gaza. 

Sifat keji israel dapat difahami bila satu kes merogol rakyat Palestin yang ditahan oleh tentera Israel, Hanoch Milwidsky, ahli parti Likud yang memerintah di bawah Perdana Menteri Benyamin Netanyahu, menjawab: “Jika dia seorang Nukhba [militan Hamas], semuanya adalah sah untuk dilakukan! Semuanya!”

Genosid selama setahun di Gaza nampaknya akan diteruskan dengan serangan yang meningkat dan lebih sengit. 

Ia tiada kaitan dengan alasan hak Israel  mempertahankan diri. Pada hakikatnya, ia mengenai kepentingan Barat dalam membentuk landskap politik Asia Barat.

Apabila AS dan sekutunya melancarkan sokongan habis-habisan untuk Israel menganyang Gaza, ia lebih daripada sekadar membalas dendam terhadap serangan mengejut 7 Oktober 2023 oleh Hamas. 

Ia adalah peluang untuk menghancurkan pergerakan penentangan Palestin terhadap Israel dan untuk merealisasikan matlamat utama Israel iaitu membentuk peta baharu Israel. 

Israel mengimpikan The Greater Israel (Israel Raya) yang akan menetapkan percaturan politik Asia Barat. Israel bukan sahaja akan menjadi sebuah negara tetapi menjadi pusat perintah dan kawalan bagi kuasa Barat di dunia Arab.

Israel bermatlamat mempunyai peta baharu dengan sempadan antara Sungai Efrat dan Sungai Nil. Inilah yang disampaikan oleh Netanyahu dalam ucapannya di PBB, mesej yang jelas bahawa Israel mahukan wilayah sempadan geografi yang baharu. 



Pada masa yang sama, PBB akan tercatat dalam sejarah sebagai organisasi yang gagal, tidak berupaya bertindak akibat ditundukkan oleh arahan AS. 

PBB menjadi sebuah organisasi yang hanya boleh mengadakan persidangan tetapi tidak mempunyai mandat untuk menguatkuasakan sebarang resolusi. Resolusi demi resolusi dihasilkan, namun tidak mempunyai kesan ke atas dasar Israel.

Genosid kini berkembang ke Tebing Barat dan ke Lubnan. Tebing Barat telah menjadi medan berterusan bagi Israel melaksanakan serangan membunuh terhadap rakyat Palestin. 

Setiap hari sejak 7 Oktober 2023, 7,000 warga Palestin ditahan. Angka kematian di Tebing Barat telah melebihi 700 orang yang dibunuh oleh puak pendatang Yahudi dan tentera pendudukan Israel (IOF). 

Kini Lubnan pula akan menjadi satu lagi medan pembunuhan dengan korban sudah lebih daripada 2,000 nyawa dan beribu-ribu lagi cedera.

Dunia akan menyaksikan tindak balas global besar-besaran pada 7 Oktober 2024 untuk mengingatkan para pemimpin tentang kewajipan mereka menghentikan pendudukan dan peperangan Israel di Gaza. 

Jutaan rakyat akan turun ke jalan raya bersolidariti dengan Palestin dan menuntut gencatan senjata kekal segera dilaksanakan, pendudukan Israel ditamatkan dan desakan untuk Israel dihukum atas perlakuan jenayahnya (akauntabiliti dikenakan).



Satu tahun jenayah, genosid, pembersihan etnik, jenayah perang dan jenayah ke atas kemanusiaan di Gaza oleh rejim fasis zionis Israel disaksikan oleh dunia. 

Israel berwewenang tanpa dihukum dan jelas didukung oleh kuasa Barat khususnya Amerika Syarikat. Ia adalah jenayah paling kejam pada abad ini.  

Ketiadaan tindakan organisasi dunia seperti PBB untuk menghentikan jenayah genosid oleh rejim zionis Israel hanya menggambarkan kewujudan dan fungsi organisasi yang lemah. 

Anggota PBB sebanyak 193 negara nampaknya tidak berdaya untuk bertindak.

Pada hari ini, 7 Oktober 2024, kami tidak menjangkakan pencerobohan akan berhenti apabila Israel telah meningkatkan serangan mengerikannya di Gaza dan Lubnan.

Serangan Iran terhadap Israel baru-baru ini mewakili kesedaran rakyat global bahawa Israel mesti sedar bahawa ia tidak lagi kebal.  

Impunitinya sedang berakhir. Israel mesti dipaksa menghormati undang-undang antarabangsa. Mitos tentang kekebalan Israel telah hancur.

Selama ini Gaza telah berdepan dengan percubaan genosid secara perlahan-lahan bila ia dikepung secara total oleh Israel pada 2006. 

Dan apa yang berlaku pada 7 Oktober 2023 adalah penolakan keras oleh Hamas terhadap percubaan ini. 

Ia adalah reaksi yang logik untuk menentang penindasan oleh Israel, yang telah berlaku lebih 17 tahun ke atas Gaza. 

Realitinya masyarakat dunia hanya memejam kedua-dua belah mata dan memandang ke arah lain. Dengan 365 hari genosid kejam dan biadab di Gaza, kutukan tidak akan menghalang atau menghenti kezaliman Israel. 



Kami dengan tegas mengulangi gesaan kami untuk masyarakat dunia campur tangan ketenteraan untuk menguatkuasakan gencatan senjata kekal di Gaza. 

Pada hari ini, sempena acara peringatan tahunan, kami:

  • 1. Menyeru  semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2024 untuk menyerahkan memorandum kepada Duta Besar AS di Malaysia. 
  • 2. Menggesa semua masyarakat awam di Malaysia untuk memberikan sokongan penuh kepada perjuangan Palestin dan menghulurkan bantuan moral dan material untuk Gaza. Kami menekankan bahawa isu Palestin melangkaui sempadan agama dan negara. Ia adalah isu kemanusiaan dan prinsip tentang keadilan dan undang-undang antarabangsa. 
  • 3. Menyeru rakyat dan kerajaan Malaysia mempergiat kempen boikot dan pengalihan pelaburan terhadap semua kepentingan Israel dalam setiap bidang: perdagangan, perkhidmatan, sosial dan budaya. 
  • 4. Mendesak Perdana Menteri Malaysia memanggil Sidang Parlimen khas untuk menggerakkan usul mengutuk pencerobohan Israel dan menggesa gencatan senjata kekal segera tanpa berlengah. Kami juga menggesa Malaysia untuk menuntut AS dan sekutunya menghentikan keterlibatannya dalam menyokong Israel dengan senjata ketenteraan yang telah digunakan oleh Israel untuk membunuh orang awam dan memusnahkan infrastruktur sokongan kehidupan awam di Gaza.
  • 5. Mendesak kerajaan Malaysia untuk menyeru PBB mengenakan sekatan ke atas Israel dan menggunakan tekanan antarabangsa maksimum untuk menghentikan kebiadaban Israel dan menggantung atau memecat keahlian Israel dalam PBB.
  • 6. Menyeru campur tangan tentera PBB untuk melindungi orang awam di Gaza dan memastikan semua akses kemanusiaan di salurkan tanpa sebarang halangan. 


Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) 


12
13
0
15
0
You will be interested