Politik & Negara 22 Feb, 2024

Tubuh Jabatan Pendakwaan Syarie dan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia! Kukuhkan perundangan Syariah!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Kerajaan akan menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) dalam usaha memperkukuh ekosistem perundangan syariah di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, berkata proses penubuhan JPSM kini dalam peringkat perbincangan.

"Kita ingin tubuh JPSM dan ia sedang dalam peringkat perbincangan, moga ia dapat dihasilkan dan keseluruhan ekosistem perundangan syariah diperkukuh," katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 30 badan bukan kerajaan (NGO) wanita Islam di Kompleks Islam, Putrajaya pada 21 Februari 2024.



Zulkifli berkata, kerajaan komited melaksanakan pemerkasaan perundangan syariah secara sistematik dan teratur termasuk menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

"Bukan sahaja RUU 355, kita akan bawa RUU lain seperti RUU mufti, pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan ada beberapa lagi. 

"Kita bergerak secara menyeluruh bukan sahaja aspek RUU 355," katanya. 

Zulkifli berkata, inisiatif penubuhan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) juga merupakan komitmen kerajaan untuk mempertingkat pengetahuan, kemahiran dan kapasiti di mahkamah syariah.

"Pemerkasaan perundangan syariah telah dilaksana dan berlaku begitu sistematik dan teratur," katanya.

Pada Ahad, 18 Februari 2024 lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata sesi libat urus mengenai RUU 355 kini pada peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini (2024).



Mengenai pertemuan dengan NGO wanita pada 21 Februari 2024 itu, Zulkifli berkata Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM) akan menjadi penaung kepada gerakan wanita Islam bagi melaksanakan aktiviti dengan dibantu oleh kerajaan dari aspek teknikal dan lain-lain.

"Kerajaan Madani amat ambil berat tentang segmen dan hal ehwal aspek wanita. Kita ingin selaras, seragam dan kukuhkan aktiviti (libat NGO wanita)," katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
13
0
5
0
You will be interested