Politik & Negara 06 Sep, 2023

Catatan Akademik| Ekonomi Madani Pendidikan Tinggi! Usaha pacu pemerkasaan sistem pendidikan tinggi!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh PROF. TS. DR. MOHD. MUSTAFA AL-BAKRI ABDULLAH

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)


Malaysia Madani satu daripada dasar kepemimpinan negara yang diusulkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, Dato' Seri Anwar Ibrahim menterjemahkan satu sintesis gaya Malaysia, yang menggabung jalin amalan sedia ada dengan kaedah baharu yang direka untuk menangani isu-isu baharu dan ia turut merangkumi isu yang berkisar tentang tranformasi pendidikan tinggi. 

Transformasi pendidikan tinggi bolehlah diterjemahkan sebagai satu proses berterusan yang bertindak balas terhadap perubahan landskap pendidikan, pasaran pekerjaan dan keperluan masyarakat. 

Ia bertujuan untuk mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih relevan dan boleh disesuaikan dan berkesan untuk pelajar, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk berjaya dalam dunia yang semakin berkembang pesat.

Hal ini turut dijelaskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin yang memasukkan elemen madani dalam pemerkasaan pendidikan tinggi Malaysia. 



Antara lainnya, beliau menjelaskan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memberi keutamaan kepada pelaksanaan Ekonomi Madani Pendidikan Tinggi yang merangkumi 4P iaitu penyediaan bakat, penyelidikan dan inovasi, pemindahan ilmu serta pengantarabangsaan.

Dalam konteks ini, ekonomi madani pendidikan tinggi adalah konsep yang mengacu pada pemerkasaan sistem pendidikan tinggi yang didasarkan pada prinsip-prinsip ekonomi Islam atau nilai-nilai kemanusiaan yang universal. 

Ekonomi madani sendiri adalah istilah yang merujuk pada prinsip-prinsip ekonomi dalam Islam yang menekankan pada keadilan dan kesetaraan, transparensi dan akauntibiliti, tanggungjawab sosial, serta pemberdayaan masyarakat. 

Atas dasar itu juga, ekonomi madani Pendidikan tinggi bakal menterjemahkan yang berbeza daripada ekonomi konvensional, dengan tumpuan kepada beberapa lemen iaitu yang pertamanya keadilan dan kesaksamaan. 

Menerusi elemen ini, adalah diharapkan pelaksanaan ekonomi madani pendidikan tinggi dapat menekankan pentingnya kesaksamaan dalam akses dan peluang pendidikan. Ini bermakna setiap individu, tanpa mengira latar belakang ekonomi atau sosial, perlu mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan tinggi.

Elemen kedua yang diberikan tumpuan ialah berkaitan ketelusan dan pertanggungjawaban yang mana ia bakal memastikan bahawa institusi-institusi pendidikan tinggi beroperasi secara jujur dan terbuka dalam pengurusan dana, penggunaan sumber daya, dan dasar-dasar mereka. Ini juga merangkumi penglibatan pelbagai pihak, termasuk mahasiswa, dalam pembuatan keputusan.

Pemberdayaan masyarakat menjadi elemen ketiga yang diberikan tumpuan iaitu dalam usaha mendorong pemberdayaan masyarakat melalui pendidikan yang memberikan pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai yang diperlukan untuk mengatasi cabaran sosial dan ekonomi. Pendidikan tinggi diarahkan untuk menghasilkan graduan yang tidak hanya kompeten secara akademik, tetapi juga memberikan sumbangan positif dalam membangun masyarakat.

Tidak ketinggalan, transformasi ini turut mengetengahkan elemen tanggungjawab sosial yang mana ia menekankan bahawa institusi-institusi pendidikan tinggi mengakui peranan mereka dalam memajukan kesejahteraan sosial. 

Ini boleh dicapai melalui program-program yang memberi tumpuan kepada pemberdayaan masyarakat, penyelidikan yang relevan dengan isu-isu sosial, dan kerjasama dengan sektor-sektor lain untuk mencipta impak positif.

Elemen terakhir yang ditekankan ialah kelestarian berlanjutan yang memberi tumpuan kepada kelestarian ekonomi dan alam sekitar. Institusi-institusi pendidikan tinggi diharapkan mempertimbang kesan ekonomi dan alam sekitar dalam keputusan-keputusan mereka.



Dalam memastikan hala tuju ini dicapai sepenuhnya, semua university awam di negara ini seharusnya menggabungjalinkan kesemua elemen ini dalam membentuk kemenjadian mahasiswa di universiti masing-masing. 

Dalam konteks Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) misalnya, elemen di atas telah dimasukkan dalam tujuh teras utama kemenjadian Mahasiswa UniMAP iaitu:

  • Teras 1: Kampus Mesra mahasiswa Yang Kondusif dan Lestari Bagi Kesejahteraan mahasiswa

  • Teras 2: Pemerkasaan Mahasiswa, Pembangunan mahasiswa & Jaringan Antarabangsa dan Industri

  • Teras 3: Keterjaminan Kebajikan mahasiswa

  • Teras 4: Pemantapan Ekosistem Keusahawanan & Kebolehpasaran Graduan Dengan Gaji Setimpal

  • Teras 5: Kecemerlangan Bakat Melalui Akademik, Kepimpinan, Inovasi, Sukan, Kebudayaan, Kokurikulum & 7 Pillars

  • Teras 6: Memasyarakatkan Mahasiswa & Warga Hal Ehwal PElajar dan Alumni (HEPA)

  • Teras 7: Melonjakkan Keterlibatan Alumni & Derma Alumni

Semua teras ini dibangunkan untuk memastikan matlamat HEPA@UniMAP yang ingin memanusiakan manusia melalui kemenjadian mahasiswa. 

Pendekatan memanusiakan mahasiswa melibatkan penekanan terhadap kesejahteraan, perkembangan, dan potensi mahasiswa sebagai individu yang bernilai dalam pendidikan tinggi.

Ini melibatkan pengiktirafan terhadap hak, keperluan, dan aspirasi mereka, serta menggalakkan kesejahteraan psikologi, perkembangan kognitif, pembangunan kemahiran, dan penyertaan aktif. Pemanusiaan mahasiswa juga menitikberatkan keadilan, kesaksamaan, dan sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka mencapai potensi maksimum. 

Dengan pendekatan ini, institusi pendidikan tinggi mencipta persekitaran inklusif dan penyokong yang mendorong pertumbuhan yang berterusan. 

Adalah menjadi harapan universiti untuk memberi peluang kepada penglibatan mahasiswa dalam dalam projek-projek penyelidikan dan pembangunan inovatif. 

Secara tidak langsung ia dapat membantu mereka mendapatkan pengalaman latihan “hands on”, meningkatkan kemahiran kreatif, analitikal, dan penyelidikan, serta membangunkan keupayaan kerja berkumpulan dan keusahawanan. 

Pendekatan ini juga menghubungkan mahasiswa dengan dunia profesional, memperkenal mereka kepada isu-isu sosial dan alam sekitar, dan membantu mereka berkembang dalam perspektif akademik dan profesional. 

Melalui penyelidikan dan inovasi juga, mahasiswa dapat membantu komuniti dengan mengenal pasti dan menyelesaikan masalah tempatan, meningkatkan kualiti hidup, memberdayakan komuniti, merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, meningkatkan akses pendidikan, memperkenal teknologi baru, dan menyokong pembangunan lestari. 

Ini tidak hanya memberi manfaat kepada mahasiswa, tetapi juga memberikan impak positif kepada perkembangan komuniti di sekeliling mereka. 

Integrasi penyelidikan dan inovasi dalam pendidikan tinggi mempunyai hubungan yang rapat dengan ekonomi pendidikan tinggi dan pembangunan bakat. 

Pendekatan ini membantu menghasilkan graduan yang bersedia untuk menyumbang kepada pasaran kerja dan industri, merangsang pertumbuhan ekonomi melalui inovasi, membangunkan bakat tempatan, dan memudahkan kerjasama antara pendidikan tinggi dan industri. 



Dengan menggabungkan ketiga-tiga konsep ini, pendidikan tinggi tidak hanya melahirkan individu, tetapi juga mendorong kemajuan ekonomi dan pembangunan bakat yang mampan. 

Gabungan elemen industri dan pasaran juga membantu mahasiswa memahami trend terkini dalam industri dan mencipta solusi praktikal yang sepadan dengan keperluan. 

Ini menjadikan graduan bersedia untuk memberi sumbangan dalam arena pekerjaan dengan tahap daya saing yang lebih tinggi dan peluang pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa. Untuk rekod, UniMAP mencatat kebolehpasaran mahasiswa sebanyak 97 peratus pada tahun 2023 dan melepasi peratusan kebangsaan.

Dalam aspek pengantarabangsaan dalam pendidikan tinggi di Malaysia, adalah diharapkan ia dapat meningkatkan citra universiti pada peringkat antarabangsa dan menarik lebih banyak mahasiswa asing. 

Tumpuan pada nilai-nilai kemanusiaan, pemberdayaan komuniti, dan pembangunan kemahiran lintas budaya akan membezakan universiti-universiti, manakala pengalaman pembelajaran lintas budaya akan mewujudkan persekitaran inklusif dan membentuk rangkaian global. 

Secara keseluruhannya, pendekatan ini kelak diharap memberi impak positif kepada perkembangan masyarakat dan ekonomi, serta memberi sumbangan dalam usaha memartabatkan universiti dan membantu dalam membanteras kemiskinan. 

Ia seterusnya membawa impak positif kepada perkembangan masyarakat dan ekonomi serta memartabatkan peranan universiti dalam membantu membanteras kemiskinan. 


Prof. Ts. Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.



11
17
0
12
0
You will be interested