Politik & Negara 21 Nov, 2025

Ethiopia sokong Malaysia sertai BRICS! Malaysia pula sokong Ethiopia jadi tuan rumah COP32! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Malaysia amat menghargai sokongan Ethiopia terhadap hasrat Malaysia menyertai perkumpulan ekonomi maju BRICS, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Beliau juga berkata, Malaysia turut mengucapkan tahniah atas pemilihan Ethiopia sebagai tuan rumah Persidangan COP32 pada 2027, satu pengiktirafan besar terhadap kepimpinan mereka dalam agenda hijau global.

BRICS yang pada mulanya dianggotai Brazil, Rusia, India dan China pada 2009 dan kemudian Afrika Selatan pada 2010. Ia kini disertai Mesir, Ethiopia, Iran, Indonesia, and Arab Saudi pada 2024.

COP pula ialah Conference of the Parties (atau Persidangan Pihak Berkaitan) yang juga dirujuk sebagai Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



Menurut Anwar, beliau dan Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali telah mengadakan pertemuan empat mata sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang sarat dan penuh makna.

"Kami memperteguh tekad untuk membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa lebih strategik merangkumi peluasan perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu," jelas Anwar lagi selepas pertemuan mereka di Addis Ababa pada Khamis, 20 November 2025.

Katanya, Malaysia menyambut baik kemajuan nyata termasuk persetujuan memulakan mekanisme rundingan berkala dan pelbagai inisiatif yang memperluas ruang kerjasama antara rakyat pembangunan bersama dan keterhubungan antara kedua-dua negara.

"Saya turut menekankan potensi besar dalam kecerdasan buatan, semikonduktor, industri halal, keselamatan siber, serta peluang baharu melalui rangka MoU antara dewan perniagaan kedua-dua negara. 

"Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan lebih aktif syarikat Ethiopia dalam misi dagangan dan padanan perniagaan," ujar beliau.



Menurut Anwar lagi, Malaysia bersedia membuka akses produk seperti ayam, sarang burung dan makanan ternakan, di samping menawarkan kepakaran penanaman sawit dan benih berkualiti. 

"Saya turut menyarankan semakan kadar tarif import ke atas produk sawit Malaysia yang semakin mendapat tempat di pasaran Ethiopia.

"Kami juga bersepakat memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan, kesihatan, TVET dan penyelidikan, di samping meneruskan sokongan Malaysia terhadap agenda reformasi ekonomi Ethiopia melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

"Saya yakin kerjasama Malaysia dan Ethiopia akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat serta masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing," jelas Perdana Menteri Malaysia.



Kedua-dua Perdana Menteri kemudian menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting yang akan memperkukuh kerjasama Malaysia dan Ethiopia merentas pelbagai bidang strategik. 

Dokumen tersebut merangkumi:

  • Perjanjian Perkhidmatan Udara
  • Memorandum Persefahaman Kerjasama Kesihatan
  • Memorandum Persefahaman Bidang Pelancongan
  • Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Bandaraya Addis Ababa
  • Pengumuman Pertukaran Nota bagi memulakan Konsultasi Dua Hala secara berkala

"Langkah ini menzahirkan tekad kedua-dua negara untuk membina rangka hubungan yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing demi membuka ruang kemajuan yang dapat dirasai manfaatnya oleh rakyat Malaysia dan Ethiopia," tegas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media

15
5
0
12
0
You will be interested