Politik & Negara 04 Sep, 2024

Malaysia ada peranan penting! Rapatkan hubungan ASEAN dan China bila jadi pengerusi! - Ismail Sabri!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this


Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan rantau ini dengan China apabila mempengerusi ASEAN pada tahun hadapan (2025). 
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN adalah sangat kritikal memandangkan cabaran dan isu-isu semasa sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa semakin getir dan mencabar.
“China sudah tentu boleh memainkan peranan yang penting melalui kerjasama dialog antara ASEAN-China, ASEAN+10 dan Forum Serantau ASEN Regional Forum (ARF).  
“Selaku sebuah badan Bukan Kerajaan atau NGO, Persatuan Muafakat One Belt One Road Malaysia (PMOBOR) sentiasa menghulurkan tangan untuk turut mempromosi kerjasama antara Malaysia dan China,” katanya. 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dalam Ekonomi dan Kerjasama Perdagangan serta Pertukaran Pembangunan dan Jalinan Rangkaian di Haidan, Beijing pada 3 September 2024. 


Terlebih dahulu, pejabat Pusat Kerjasama Perdagangan Kebudayaan Antarabangsa (ICTCC) - PMOBOR telah dirasmikan oleh Datuk Iskandar Sarudin, Presiden PMOBOR yang mewakili Datuk Seri Ismail Sabri di Zon Ekonomi Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing, Beijing.
Ismail Sabri yang juga Penaung PMOBOR berharap masyarakat perdagangan Malaysia dan China mengambil kesempatan ini untuk mempromosi produk-produk khususnya produk halal antara kedua-dua negara untuk meningkatkan lagi jumlah perdagangan. 
“Harapan saya juga agar negara-negara ASEAN menggunakan platform ICTCC ini untuk mempromosi produk-produk mereka secara online atau offline.
“Saya juga sentiasa mengikuti perkembangan dan kemajuan hubungan ini dan sedar bahawa kedua-dua negara saling  komited untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya di bawah Rangka Strategik dan Komprehensif termasuk rangka kerjasama Belt and Road Initiatives (BRI),” katanya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
6
0
13
0
You will be interested